Thursday, August 6, 2009

Siratulrahim Dituntut Dalam Mengekalkan Kejayaan

Pernahkah anda menonton filem Windtalker lakonan Nicolas Cage? Filem ini bukanlah filem keseluruhannya berbentuk aksi tetapi kisahnya bagaimana memikul tanggungjawab dan semangat berpasukan. Cage adalah seorang Sarjan dan bertanggungjawab melindungi pembaca kod radio yang asal usulnya bukan rakyat Amerika. Namun disebabkan tanggungjawabnya beliau menjaga keseluruhan pasukan tentera Amerika tanpa mengira asal usul keturunan. Kejayaan Cage menakluki beberapa kawasan, membolehkan pihak pengurusan atas tentera Amerika telah menganugerahkan pingat keberanian.

Persoalannya, bagaimanakah respon anda apabila dianugerahkan khidmat cemerlang dalam pekerjaan? Menunjuk-nunjuk kepada kakitangan bawahan anda atau hati anda berkata hanya aku sahaja yang boleh buat? Malah berbagai-bagai kata-kata hati yang berbentuk riak meluak-luak. Namun, Cage yang menerima pingat keberanian itu dengan berkata, "Ini bukan kerja saya seorang, dia juga (prebet Ben)". Justeru pekerjaan yang dilakukan dengan cemerlang sudah tentu bukan kejayaan satu orang ketua malah dibantu oleh rakan sekerja lain.

Pada hemat saya, untuk menjamin kejayaan bersama adalah menjadi tanggungjawab setiap insan memperkukuhkan silaturahim. Imam Ath-Thabari menjelaskan bahawa Allah SWT mengajak hamba-Nya supaya menjalinkan hubungan kekeluargaan dan dengan orang yang memiliki hubungan rahim serta tidak memutuskannya.

Namun begitu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa menjalinkan hubungan silaturahim memiliki hubung kait dengan keimanan terhadap Allah SWT dan hari kemudian seperti sabda Baginda yang bermaksud, "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menjalinkan silaturahim" (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Tambahan lagi, menjalinkan silaturahim, Allah akan melapangkan rezeki dan memanjangkan umur kita sementara orang yang memutuskan silaturahim, Allah SWT akan menyukarkan rezekinya atau tidak memberikan keberkatan kepada harta dimiliki. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tidak masuk syurga mereka yang memutuskan silaturahim." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jelas menunjukkan hadis di atas menggambarkan bahawa berjayanya sesuatu pekerjaan dan berpanjangan hasilnya adalah dengan memperkukuhkan silaturahim bukan hanya dengan pertalian keluarga terdekat malah masyarakat sekeliling kita. Jadi kita tidaklah merasa angkuh dan bongkak apabila memperoleh penghargaan hasil kerja yang dilakukan. Malah dengan menjalin silaturahim antara masyarakat sekeliling menjamin kejayaan demi kejayaan akan ditunjukkan oleh Allah SWT. Ini digambarkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan mempergunakan namaNya akmu saling meminta satu sama lain, dan peliharlah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah an-Nisaa':Ayat 1)

Ringkasnya, bagi pembaca yang ingin meningkatkan semangat berpasukan, tontonlah filem Remember The Titan. Bagaimana seorang ketua mengenepikan warna kulit serta bangsa untuk mencapai matlamat. Namun begitu, sebagai ketua yang berlaku adil dalam mengejar kejayaan banyak sekali cabarannya dan ini ditunjukkan dalam filem Gladiator.

No comments:

Post a Comment