Wednesday, January 27, 2010

Berundur Setapak Maju Dua Tapak

Australian Open(AO) yang kini sedang berlangsung pertandingan tenis dunia di Melbourne, Australia. Pengacara AO mendedahkan beberapa pemain tenis terhandal dunia telah kecundang seperti Rafeal Nadal (ranking ke-2) dan yang masih meneruskan perjuangan Roger Federer(ranking 1) sedang memasukki separuh akhir. Apa yang menarik perhatian saya adalah R.Federer telah kalah pada game pertama dan kemudian menang pada game kedua dan seterusnya sehinggalah beliau melangkah ke pusingan separuh hari. Kejayaan yang sama diikuti oleh pemain tidak ternama seperti N.Li dan Jie Zheng. Kedua-dua pemain ini juga telah kecundang pada game pertama dan berjaya menang game kedua sehinggalah tamat.

Saya ingin berkongsi pandangan bahawa kita sewajarnya bersikap optimis dan melihat kegagalan pertama sebagai titik permulaan untuk maju mengikut apa yang kita sasarkan. Begitu juga pandangan Maznah Hamid dalam bukunya bertajuk "Motivasi Memburu Kejayaan" menekankan bahawa kita seharusnya mula mencabar potensi diri kita sendiri, yakni mencabar kesempurnaan diri kita dan malulah pada diri kita sendiri yang dilahirkan dengan segala sifat-sifat kesempurnaan tetapi tidak mencabar kesempurnaan kita!

Dr.Walter Doyle Staples (1998) dalam bukunya bertajuk Think Like A Winner menjelaskan bahawa semangat dan keazaman tidak memadai seperti "Saya seorang yang disukai, berfikiran positif. Saya yakin kepada diri sendiri." Beliau menambah lagi, memikirkan kecemerlangan adalah berfikir seperti juara dan kecemerlangan itu ditafsirkan sebagai kerja yang dibuat kerana minat. Jadi, dengan minat itu, inilah kejayaan pertama kedua-dua pemain tenis daripada China berjaya maju sehingga ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan tenis dunia. Sama-sama kita nantikan mampukah kedua-dua pemain China berjaya merangkul Australian Open yang berakhir pada 31 Januari 2010. Inilah kejayaan mereka yang maju ke separuh akhir mereka kalah pada permulaan permainan tetapi mengatur strategi dan cekal memperbaiki kesilapan sehinggalah tamat permainan. Jika saya boleh katakan mereka seolah-olah berundur setapak kemudian maju dua tapak seterusnya dan menang.

Saturday, January 9, 2010

Kenalpasti Transaksi Kad Kredit

Umumnya sesiapa sahaja yang bekerja di Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Begitu juga saya, kira-kira baru sahaja bekerja 3 tahun telah memiliki satu kad kredit. Saya ingin berkongsi pengalaman ketika memiliki kad kredit.

Peristiwa 6 orang pelajar Malaysia menjadi Hacker dan telah menggunakan kad kredit orang ramai hanya melalui urusniaga dalam internet. Antara urusniaga tersebut adalah milik kad kredit saya. Apabila saya semak dan memaklumkan kpd syarikat kad kredit yang saya tidak pernah ke luar negara membuat sebarang urusan. Semakan urusniaga tersebut berlaku di London menggunakan pound sterling. Syarikat kad kredit mengambil masa 2 bulan membuat siasatan dan akhirnya membayar semula gantirugi kepada saya. Oleh itu, saya ingin menyarankan beberapa langkah untuk mengelak fraud kad kredit seperti berikut:-

1-Sila teliti semua butir-butir pada urusniaga sebelum menandatangani atau mengesahkan setiap urus niaga yang dibuat.

2-Simpan semua slip urus niaga dan bandingkan dengan penyata kad kredit anda sebaik sahaja diterima.

3-Maklumkan pengeluar kad kredit anda dengan serta-merta jika terdapat sebarang kesilapan atau kemungkinan berlaku urus niaga tanpa kebenaran berhubung dengan kad kredit dan diikuti oleh laporan bertulis.

4-Tidak sesuka hati mendedahkan butir-butir kad kredit kpd orang yang tidak dikenali.

Sungguhpun begitu, urus niaga melalui internet bukannya tidak boleh dilakukan langsung tetapi harusnya berurus niagalah dengan syarikat yang benar-benar dipercayai seperti Amazon.com

Friday, January 1, 2010

Perginya 2009 Datanglah 2010



Setiap benda yang hidup pasti menghadapi mati. Begitu juga setiap bermula, ada penghujungnya dan tahun 2009 telah pergi maka datang 2010. Setiap tahun baru muncul, bermula individu sehinggalah kumpulan pentadbiran negara mengkaji dan menilai apakah perkara yang telah dirancang 2009 telah dilaksanakan dan berapa pula faedahnya yang diterima. Begitu juga muncul tahun baru 2010, apakah pula rancangan dan faedah baru akan diterima. Di samping itu, menilai tindakan dan rancangan 2009 yang belum dilaksanakan untuk dibuat pada tahun 2010.

Maka dengan itu, Tuhan jadikan setiap perkara ada pasangannya seperti ada lelaki ada perempuan, ada syurga ada neraka, ada pahala ada dosa dan macam-macam lagi. Jadi tahun 2009 tidak lari daripada perkara berikut:

Ada yang membenci, ada yang menyayangi;

Ada yang kita tangguhkan kerja, ada juga yang kita buat bersungguh-sungguh;

Ada perkara kita menuding jari, ada juga kita menghulurkan tangan;

Ada perkara kita mempersoalkan setiap jawapan, ada juga kita jawab setiap persoalan;

Ada juga kita tidak mahu mengalah, ada juga kita sentiasa menawan hati;

Ada perkara kita lihat hanya satu warna kulit, ada juga kita tidak mengenal warna kulit;

Ada juga berbangga dengan satu bangsa, ada pula berbangga jadi bangsa manusia.

Oleh itu, tahun 2010 adalah wajar kita sama-sama fikirkan bahawa bukan mencari persoalan dan perbandingan antara kita malah kita sewajarnya belajar dari tahun 2009 untuk mencapai kecemerlangan di dalam ketidaksempurnaan. Sesungguhnya kesempuranaan adalah milik Allah S.W.T.