Monday, December 21, 2009

Kajian Terhadap Perkahwinan Baik Untuk Kesihatan Mental

Cuti persekolahan di Malaysia pada bulan November dan Disember sering dikaitkan dengan percutian bersama keluarga sama ada dalam negara mahupun luar negara. Namun begitu, majlis perkahwinan juga mendapat perhatian oleh mereka yang ingin mendirikan rumahtangga. Dalam kesempatan cuti sekolah, ibu bapa sibuk mengadakan kenduri kendara untuk majlis perkahwinan.

Perkahwinan dalam Islam dikaitkan sebagai satu ibadah. Oleh itu, hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh SaƔd bin Abi Waqqah R.A bermaksud;

"Nafkah apa pun yang engkau berikan dengan harapan memperoleh keredhaan Allah, pasti engkau akan mendapat pahalanya, bahkan apa saja yang engkau suapkan ke mulut isterimu."

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa apabila berkahwin dan mereka berniat hendak menjaga kesucian diri daripada perbuatan yang diharamkan Allah (berzina) dan berniat menambah jumlah umat Nabi Muhammad SAW dengan kelahiran anak-anak soleh dan menjadi pendakwah agama Islam serta memperjuangkan prinsip-prinsip Islam maka dianggap sebagai ibadah.

Sungguhpun begitu, perkahwinan bukan hanya tuntutan agama semata-mata. Justeru terdapat beberapa kebaikan terutama kesihatan mental yang dibuktikan oleh beberapa kajian oleh masyarakat Barat.

Kajian di Universiti Otaga, New Zealand menunjukkan bahawa pasangan yang berkahwin kurang berisiko menghidap kemurungan, kebimbangan mahupun penyalahgunaan bahan terlarang seperti ubat, alkohol dan dadah.(BM, 20 Dis,2009:11)

Penyelidikan berkenaan menunjukkan hubungan perkahwinan menawarkan banyak manfaat kepada kesihatan lelaki dan wanita. Hal ini dapat dilihat situasi kepada pasangan yang berpisah lebih mudah mengalami kemurungan yang membawa kepada penyalahgunaan dadah di kalangan lelaki dan penyalahgunaan alkohol dalam kalangan wanita.

Di samping itu, wanita yang mengandung atau yang mempunyai anak kecil juga dilihat lebih mudah mengelak diri daripada menyalahguna bahan berbahaya berbanding mereka yang tidak berkahwin.

Maka berkahwin atau memiliki pasangan hidup bukan sekadar bersuka-ria serta menunjuk kepada rakan taulan yang anda memiliki pasangan tercantik di dunia. Hal ini adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah serta suatu cara untuk beribadah.