Tuesday, July 20, 2010

Apakah Petua Elak Nyanyuk?

Kita sering didedahkan persepsi negatif terhadap mengambil minuman kopi. Hal ini sering dikaitkan dengan kafien yang menyebabkan masalah kesihatan. Walau pun begitu, terdapat kajian bahawa teh, kacang walnut, aktiviti bersenam malah pengambilan kopi boleh menghindarkan masalah dementia atau nyanyuk seperti Alzheimer.

Satu kes baru penyakit nyanyuk itu dilaporkan setiap tujuh saat dan menjelang 2050, dianggarkan 100 juta pesakit nyanyuk dilaporkan di seluruh dunia. Malah, Alzheimer ketika ini dihidapi kira-kira 18 juta orang di seluruh dunia terutama warga emas berusia lebih 65 tahun.

Antara tanda awal masalah ini adalah kesukaran atau hilang ingatan untuk jangka masa yang singkat - mereka boleh mengingati peristiwa yang sudah lama berlaku di sekolah tetapi lupa mengenai sarapan diambil pagi tadi, mudah lupa untuk ke tempat biasa dan tersalah letak barang yang biasa baginya.

Namun kini, kajian mendakwa masih ada cara untuk menghindarinya. Dalam kajian pertama, sekumpulan penyelidik Universiti California, AS mendakwa secawan kopi atau teh sehari, dapat melindungi diri daripada mudah nyanyuk. Kedua-dua minuman itu dikatakan dapat mengurangkan masalah nyanyuk sebanyak 40 peratus.

Mereka mendakwa, warga emas berusia 65 tahun ke atas yang kerap minum teh, mencatatkan 37 peratus kekurangan tanda-tanda penuaan berbanding mereka yang tidak minum teh langsung.

Responden yang minum kopi sekurang-kurangnya lima kali seminggu pula dikatakan dapat mengurangkan masalah ingatan terjejas sehingga 20 peratus berbanding yang tidak minum kopi sama sekali.

Kajian Intitut Penyelidikan Asas Pembangunan Keupayaan New York, pula mengaitkan pengambilan kacang walnut juga membantu mengelak Alzheimer. Penyelidikan ke atas tikus makmal menunjukkan pemakanan kaya kekacang itu secara drastik dapat memulihkan keupayaan pembelajaran dan daya ingatan.

Penyelidik itu mendakwa pengambilan kekacang itu oleh manusia juga boleh memberi kesan sama. Namun, resipi tangani ancaman nyanyuk itu tidak lengkap tanpa peranan faktor penting iaitu gaya hidup sihat.

Kajian ke atas 1200 respondan oleh Fakulti Perubatan Universiti Boston, Massachussets, mendakwa warga emas yang melakukan senaman seperti golf atau jogging, dapat mengurangkan risiko nyanyuk sehingga 40 peratus. Ini secara langsung menunjukkan kesan aktiviti fizikal yang memberi impak besar dalam aspek pengurangan daya ingatan, terutama dalam kalangan lelaki.

Jurucakap Persatuan Alzheimer Amerika Syarikat, Profesor Clive Ballard, mengalu-alukan kajian itu yang disifatkannya bukti jelas peranan senaman sebagai jaminan kesihatan fizikal dan mental. "Senaman adalah antara cara terbaik mengurangkan risiko nyanyuk. Ringkasnya, apa yang baik untuk jantung, itu jugalah yang elok untuk diri dan pemikiran anda. Tidak kiralah sama ada satu pusingan golf, berjalan kaki atau pun menggunakan peralatan senaman lain, tempoh senaman 30 minit lima kali sehari amat baik kepada individu walau apa pun usia mereka," katanya.
(Sumber: Berita Minggu 18 Julai, 2010)

Saturday, July 17, 2010

Tahukah Anda Seks Adalah Senaman

Berlari, berjoging dan seumpamanya adalah bentuk senaman. Namun kita tidak boleh juga lupakan aktiviti seks menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan. Oleh itu, saya bawakan kelebihan-kelebihan seks menurut pakar perubatan iaitu Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras

1. Sejenis senaman.

Hubungan seks ialah salah satu bentuk aktiviti fizikal. Ketika hubungan berlaku, berlaku pelbagai perubahan fisilogi yang berlaku dalam badan seolah-olah seperti seseorang lelaki sedang menjalani aktiviti senaman.

Contohnya, semasa hubungan seks, tahap kadar pernafasan akan meningkat. Peningkatan pernafasan dan pernafasan yang dalam akan meningkatkan tahap oksigen dalam badan dan boleh memperbaiki sel-sel yang rosak. Kapasiti paru-paru juga akan meningkat. Begitu juga dengan degupan jantung, ia akan meningkat ketika hubungan seks dan ini akan meningkatkan aliran darah dalam badan.

Ketika hubungan seks, pelbagai otot mengalami kontraksi dan selepas hubungan seks, sering kali saudara dapati saudara letih dan berpeluh. Ini bermakna ada aktiviti fizikal yang membakar kalori berlaku semasa hubungan seks. Dianggarkan, jika saudara melakukan hubungan seks tiga kali seminggu dan setiap kali hubungan memakan masa 15 minit, saudara akan menggunakan 7,500 kalori setahun. Ini umpama saudara berjoging sejauh 120 km. Hormon testosterone yang dikeluarkan ketika hubungan seks juga akan meningkatkan kekuatan otot dan menguatkan tulang.

2. Penawar kesakitan.

Semasa hubungan seksual, sejenis hormon yang dipanggil ‘endophine’ akan dirembeskan. Hormon endophine ini mempunyai fungsi melegakan kesakitan dan sejenis hormon penahan sakit.

Satu kajian dijalankan menunjukkan semasa hubungan seksual terutama semasa orgasma, seseorang tidak akan merasa kesakitan dan selepas hubungan seksual, kesakitan ringan akan berkurangan.

3. Perlindungan kepada kelenjar prostat.

Sebahagian besar dari cecair yang dikeluarkan semasa ejakulasi datangnya dari kelenjar prostat. Hubungan seks yang kerap dapat membantu meningkat produksi cecair yang baru serta dapat mengeluarkan cecair yang berada dalam kelenjar. Jika ejakulasi lama tidak berlaku, akan terjadi pengumpulan cecair dalam kelenjar dan ini boleh menimbulkan inflamasi atau keradangan pada kelenjar prostat.

4. Pengurangan risiko mendapat masalah mati pucuk (ED)

Lima puluh peratus dari lelaki yang berumur lebih dari 40 tahun akan mengalami masalah mati pucuk. Salah satu langkah pencegahan ialah dengan kerap melakukan hubungan seks.

Semasa proses ereksi berlaku, banyak darah dari arteri akan dipamkan ke batang zakar dan darah ini akan membawa oksigen dan nutrien kepada tisu batang zakar.

Proses ini akan mengekalkan kesihatan batang zakar dan ketegangan batang zakar.

5. Mengurangkan stress.

Sudah terbukti dari segi kajian saintifik bahawa hubungan seks yang kerap dapat mengurangkan stress. Ini adalah kerana semasa hubungan seks, badan akan menghasilkan dopamine iaitu sejenis kimia dalam badan yang boleh mengurangkan stress.

Sejenis kimia lagi yang dikenali sebagai oxytocin, juga dirembeskan dan hormon ini bertindak sebagai hormon yang memberi kesan kelegaan serta kesan positif terhadap keinginan dan nafsu seseorang lelaki.

6. Lain-lain kelebihan.

Kajian di negara Barat menunjukkan hubungan seks yang dinikmati dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan sakit kepala, mengurangkan kemurungan serta dapat memberi kebaikan pada otot dan sendi. Selain itu, hubungan seks juga dapat mengukuhkan hubungan dan mengeratkan kasih sayang antara pasangan suami-isteri.

Ringkasnya kepada pembaca blog ini agar melakukan seks yang dihalalkan oleh agama. Perlulah bernikah seterusnya tidak dilayarkan dalam tayangan umum bagi mendapat kerahmatan seks itu. Sesungguhnya, perkara yang baik di sisi Allah SWT adalah melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang.

Friday, July 16, 2010

Solat Juga Terapi Kesihatan

Saya ingin membawa pembaca blog ini bahawa Allah SWT telah memerintahkan solat sebagai alat untuk hambanya bersyukur kepadaNya. Namun kelebihan itu tidak terhenti di situ malah banyak lagi kelebihannya bagi mereka yang benar-benar yakin dan khusyuk ketika solat. Justeru itu, saya bawakan paparan ini sebagaimana ditulis oleh wartawan Mohd Fadly Samsudin dalam Harian Metro bertajuk "Solat Untuk Kesihatan".

Kajian saintifik membuktikan kesahihan perkara itu. Penyakit berpunca daripada makanan kita makan setiap hari dan tabiat buruk yang diamalkan. Dalam soal pemakanan, Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia yang amat teliti dan bijak mengatur pola makanan seharian.

Nabi Muhammad turut menekankan ibadah yang pintar bermula dengan wuduk yang menyimpan 1001 rahsia.

Melalui wuduk, kesihatan bertambah baik, wajah berseri-seri dan tampak awet muda jika dilaksanakan dengan sempurna.

Dalam buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah karya Dr Mohammad Ali Toha, Prof Dr Syahathah dari Fakulti Perubatan, Universiti Alexandria, Mesir membuat kajian bahawa 'istinsyaq' atau memasukkan air melalui hidung ketika berwuduk membersihkan hidung daripada kuman.

Cara melakukannya ialah dengan memasukkan air seperti menarik nafas dengan kekuatan sederhana kemudian mengeluarkan air itu dengan hembusan yang kuat.

Kaedah itu jika dilakukan dengan sempurna mampu mencegah 17 penyakit berbahaya, antaranya mata, telinga kulit, radang kerongkong, batuk dan penyakit paru-paru dan penyakit mental. Percayalah, jika Allah memerintahkan sesuatu ibadah itu, pasti ada hikmah dan manfaat kepada manusia.

Apakah kesan langsung dalam setiap pergerakan yang dilakukan ketika kita menunaikan solat lima waktu? Di dalam sebuah kitab fiqh ada menyentuh mengenai solat iaitu Muniyatul Musalli. Ia menggambarkan solat adalah persembahan terbaik kepada Khaliq (Allah). Solat yang tidak khusyuk ibarat persembahan hadiah yang tidak bernilai. Justeru, setiap Muslim perlu mempunyai hati yang bersih bagi khusyuk dalam solat. Pernahkah kita berfikir mengapa perintah bersolat lebih awal dari ibadat puasa atau amalan lain? Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Allah memberikan perintah bersolat kepada Nabi Muhammad s.a.w. secara terus tanpa perantaraan sesiapa di Sidratul Muntaha. Kelebihan bersolat dibuktikan sendiri Rasulullah, apabila ditimpa kesukaran dan kesedihan, Baginda akan berkata kepada Bilal: "Tenteramkanlah hatiku, wahai Bilal." Maka Bilal pun mengalunkan azan. Kemudian mereka mengerjakan solat secara berjemaah.

Pakar perubatan mengakui solat yang khusyuk adalah amalan meditasi yang ideal. Bacaan dalam solat menyebabkan manusia berada dalam keadaan antara jaga dan tidur.

Cuba praktikan kepada diri sendiri, apabila menghadapi masalah, kerjakan solat sunat dua rakaat dan lihat hasilnya.

Malah, pergerakan dalam solat mempunyai maksud penghambaan kepada Allah apabila dilakukan dengan fokus dan toma'ninah.

Ia lebih mujarab jika kita memahami setiap bacaan dalam solat. Memang bukan mudah untuk khusyuk dalam solat kerana syaitan sering mengganggu dan melalaikan manusia.

Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w menganjurkan kita jangan tidur selepas makan, tetapi berzikir dan bersolat.

Diceritakan, suatu hari Abu Hurairah sakit perut lalu Nabi berkata: "Bangkit dan bersolatlah kerana sesungguhnya ada perubatan dalam solat." Menurut kajian penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya (UM) solat boleh merawat pelbagai penyakit kronik.

Ketua Penyelidiknya, Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim, berkata setiap gerakan solat mempunyai manfaat besar yang mampu meningkatkan kesihatan manusia secara optimum. "Hasil kajian membuktikan gerakan dalam solat seperti berdiri betul, takbiratul ihram, iktidal, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tahiyat menyamai senaman ringan.

"Solat yang lengkap lima kali sehari semalam, memahami makna bacaan, rukuk dengan betul serta melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyat akhir akan mendapat komposisi tubuh yang baik.

"Berbeza dengan mereka yang tidak melakukan perkara berkenaan komposisi tubuh mereka kurang baik," katanya.

"Keputusan kajian juga mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, melakukan rukuk pada kedudukan 90 darjah, sakit pinggang berkurangan," katanya. Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Jika kamu rukuk, letaklah kedua-dua tanganmu pada kedua-dua lututmu, kemudian renggangkanlah jari-jarimu, kemudian tenanglah sampai ruas tulang belakangmu mantap di tempatnya." (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban) Selain itu, pergerakan sujud pula membuatkan seseorang bukan saja menjadikan otot besar dan kuat, tetapi saluran darah seperti arteri, vena serta urat limfa akan terurus.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Aku diarahkan untuk sujud di atas tujuh anggota sujud: di atas dahi dan Nabi menunjukkan ke arah dahinya (termasuk hidung) dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung kaki." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Dengan mengamalkan jari kaki membengkok ketika gerakan sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir mendapati ia mampu membakar lemak dalam badan selain mengurangkan risiko penyakit jantung.

Fatimah berkata setiap pergerakan dalam solat iaitu bermula dari berdiri tegak sehingga selesai memberi salam mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing. "Memberi salam ke kanan dan ke kiri adalah amalan baik bagi menyelesaikan masalah kerapuhan tulang tengkuk," katanya. Bagi Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, solat yang dilaksanakan lima kali sehari cukup dijadikan asas senaman rutin. "Solat boleh dianggap senaman fizikal yang istimewa kerana di dalamnya mengandungi pergerakan yang menyamai senaman regangan otot.

"Ia memberi kesan positif terhadap psikologi, tulang otot dan serebral. Semasa bersolat, otot dan sendi turut bergerak," katanya. Sementara itu, seorang lagi penyelidik, Ng Siew Cheok menyifatkan ibadah solat yang dilakukan seorang Muslim menghasilkan keadaan otak yang tenang.

Keadaan itu dicapai sebelum seorang itu bergerak untuk sujud. Selain itu, solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan seseorang. "Ketika toma'ninah (berhenti seketika) di dalam solat adalah waktu seseorang itu dijangkakan akan berada dalam keadaan tenang. Justeru, setiap perbuatan dalam solat perlu dilakukan dengan teratur dan tidak tergesa-gesa," katanya.

Kesimpulan, solat menyimpan 1001 rahsia yang perlu dikaji dan dipelajari kerana jika perintah itu datang dari Allah, pasti ia mempunyai kebaikan untuk manusia.

Friday, July 9, 2010

Usaha Orang Berjaya Melawan Syaitan

Paparan ini saya peroleh daripada sebuah buku bertajuk "Taubat.Tasbih.Tahajud" yang dikarang oleh Zaini Ali Akbar. Pandangan saya, perkara ini adalah wajar kita sama-sama menggalakkan usaha ini supaya kita sama-sama sedar akan tanggungjawab menyampaikan perkara baik kepada sesiapa sahaja.

1-Dia segera jatuh cinta kepada solat. Dia berasa senang melaksanakan solat fardhu dan juga solat sunat. Dia tidak lagi melaksanakan solat itu sebagai kewajipan. Sebaliknya, dia menganggap solat sebagai keperluan hidup utama sama seperti makan dan minum.

2-Apabila dia melaksanakan solat berjemaah di surau mahupun di masjid, hatinya menyedari betapa ramai saudara-saudaranya tidak khusyuk dalam solat. Perasaan ini menjadikannya kasihan kepada mereka sehingga dia tidak mampu menahan air mata. Dia menangis kerana menyedari saudara-saudaranya dijerat oleh nafsu mereka oleh iblis.

3-Dia tidak kagum kepada rakan dan saudaranya yang memiliki harta yang melimpah dan pangkat yang tinggi. Hatinya tenteram bersama zikir dan tasbih kepada Tuhannya.

4-Apabila dia melihat hamba Allah yang mengalami kecacatan fizikal atau pun mental, hatinya tersayat dan air mata mula meleleh di pipinya. Dia dapat merasakan derita orang itu, lalu dia menyeru kepada Allah, "Ya, Allah, dia adalah makhluk ciptaanmu. Curahkanlah rahmat dan kasih sayangmu kepadanya.

5-Ketika dia menghadap Allah dalam keheningan malam, Allah mendidiknya dengan ilmunya. Allah memperlihatkan hal-hal ghaib yang sebelum ini tidak diketahuinya.

Namun, apa pun yang digalakkan oleh agama sewajarnya kita sebagai seorang yang beragama Islam tidak perlulah banyak bertanya. Hal ini kerana banyak perkara sukar diterima logik akal manusia. Justeru, saya berpendapat tanamkanlah sikap Just Do It dalam sebarang pekerjaan yang disuruh oleh Tuhan dan begitu juga tinggalkan segera yang dilarang oleh agama. Sesungguhnya mereka yang mengamalkannya, hanya Tuhan sahaja menilai besar atau kecilnya amalan seseorang.

Sunday, June 6, 2010

Renungan Untuk Bertaubat

Saya ingin berkongsi maklumat kepada pembaca blog ini beberapa saranan oleh Ustaz Zahazan Mohamed dalam artikel beliau di akhbar Berita Minggu bertarikh 6 Jun 2010. Harapan saya kita sama-sama jadikan panduan hidup utk beramal mendapat keredhaan Tuhan agar bahagia bukan sahaja utk duniawi malah akhirat.

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Zumar ayat 53 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), wahai hamba-Ku yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan berbuat maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah berkata: “Sewaktu Nabi SAW menceritakan wahyu yang diterima oleh Allah, Baginda bersabda yang bermaksud: “Seorang hamba berdosa, kemudian dia berdoa: Wahai Allah ampunilah dosaku, maka Allah pun berfirman yang bermaksud: Hamba-Ku berbuat dosa kemudian ia mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menuntut dosa.”

Kemudian ia berbuat dosa lagi dan berdoa: “Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku, maka Allah berfirman yang bermaksud: “Hamba-Ku berbuat dosa kemudian ia mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menuntut dosa.”
Kemudian ia berbuat dosa lagi dan berdoa: “Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Maka Allah berfirman yang bermaksu: “Hambaku berbuat dosa, kemudian dia mengetahui bahawa ia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menuntut dosa. Aku benar-benar memberi ampunan kepada hamba-Ku, maka berbuatlah apa yang dikehendakinya.”

Satu lagi hadis riwayat Muslim daripada Abu Zarr berkata, Rasulullah SAW bersabda: Allah Azza wa Jalla berfirman: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan, maka dia dibalas dengan 10 kali ganda atau bahkan lebih. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan maka balasannya adalah sesuai dengan kejahatan yang ia kerjakan atau bahkan Aku mengampuninya. Barang siapa yang taqarrub (menghampiri) kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan menghampirinya sehasta. Barang siapa yang menghampiri-Ku sehasta, maka Aku akan menghampirinya sedepa. Barang siapa yang datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari. Dan barang siapa yang mengadap kepada-Ku membawa dosa seisi bumi tetapi ia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, maka Aku akan menerimanya dengan ampunan sebanyak isi bumi pula.”
Hadis riwayat Muslim, daripada al-Agharr bin Yasar al-Muzanny r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya kerana sesungguhnya saya bertaubat seratus kali setiap hari.”

Begitu juga sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Musa ‘Abdullah bin Qais al-Asy’ari, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah sentiasa membentangkan tangan-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu siang, dan membentangkan tangan-Nya pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu malamnya. Yang demikian itu berlangsung terus menerus sampai matahari terbit di sebelah barat (iaitu Hari Kiamat).

Demikianlah indahnya semua pesanan yang dibentangkan bagi kita. Apabila saudara sudah memahami pesanan daripada Allah SWT dan Rasul-Nya, eloklah anda mengambil langkah yang sewajarnya sebagai terapi diri.

Antaranya:

Pertama, pastikan makanan dan minuman yang masuk dalam tubuh saudara adalah halal dan baik kerana ia akan mempengaruhi jiwa saudara.

Kedua, pastikan saudara tidak berada pada tempat dan suasana yang mudah menjerumuskan saudara kepada maksiat. Oleh itu, bergaullah dengan kalangan orang yang soleh dan sentiasa menghadiri majlis ilmu.

Ketiga, tetapkan usaha mengerjakan solat berjemaah di masjid.

Keempat, banyakkan beristighfar dan berzikir.

Kelima, banyakkan bersedekah.

Keenam, hubungankan silaturahim.

Ketujuh, tanamkan keinginan untuk mendalami al-Quran dan al-Sunnah.
Wallahualam.

Friday, April 23, 2010

Tahukah Anda? Tidur Seketika Ada Manfaatnya




Syoknya tengok kucing tidur..macam kita pun nak tidur!

TIDUR sekejap di waktu siang terutama pada waktu tengah hari didapati amat berkesan untuk meningkatkan tenaga, tumpuan dan produktiviti seseorang pekerja.

HILANG TUMPUAN... kelesuan boleh menyebabkan seseorang hilang tumpuan dan menggugat prestasi kerja.

Biarpun ada yang beranggapan ia bukan sesuatu yang elok untuk diamalkan di tempat kerja, jika diteliti dengan lebih mendalam, tidur sekejap di waktu rehat tidaklah bermakna seseorang itu curi tulang atau ponteng kerja.

Di negara barat terutama Amerika Syarikat (AS), pelbagai kajian sudah dijalankan dan mendapati bahawa 92.5 peratus pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengah hari mempunyai daya kreativiti serta keupayaan mereka menyelesaikan masalah adalah jauh lebih tinggi.

Ia disebabkan waktu tengah hari adalah masa yang paling sesuai untuk berehat seketika kerana sistem badan kita dikatakan memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu berkenaan yang juga dikenali sebagai kelesuan pada pertengahan hari.

Ini disebabkan keletihan bekerja lebih memuncak pada waktu tengah hari dan ia mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah. Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala dapat membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah.

Ia dapat membantu melancarkan pengaliran darah serta oksigen selain berupaya memperbaiki sel badan dan mengendurkan otot yang digunakan secara aktif ketika bekerja. Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda pekerja yang berpeluang berehat dengan tidur seketika akan menjadi lebih tenang daripada tekanan serta dikatakan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif dan berkesan.

Kajian penyelidik Nasa menunjukkan, tidur siang selama 24 minit mampu memperbaiki kepekaan dan prestasi juruterbang dan tidak hairan jika tidur seketika di waktu tengah hari itu sudah menjadi amalan di negara maju seperti AS, Itali serta Sepanyol.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata merehatkan diri dengan melelapkan mata seketika di siang hari mampu meningkatkan lagi produktiviti kerja seseorang individu.

Menurutnya, waktu tengah hari adalah masa paling sesuai untuk tidur seketika dan sistem pekerjaan yang diamalkan di negara ini memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari bagi dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak serta berehat.

Tidur sekejap selama lebih kurang 10 minit mampu mengembalikan tenaga yang hilang dan amalan berkenaan amat sesuai bagi mereka yang sering berjaga malam atau bangun untuk sembahyang tahajud.

Jelasnya, pada waktu berkenaan minda manusia biasanya senang terganggu serta mudah hilang fokus yang boleh menyebabkan produktiviti kerja terganggu.

“Sebenarnya amalan tidur sekejap ini sudah lama diamalkan di negara barat. Majikan di sana amat menggalakkan pekerja mereka untuk berehat dan melelapkan mata seketika pada waktu tengah hari.

“Tidur seketika pada waktu berkenaan mampu mengembalikan kesegaran badan serta fikiran. Jika badan dan fikiran segar, produktiviti kerja pun akan bertambah,” katanya.

Penyelidik tidur Universiti Pennsylvania, Dr David Dinges, pula berpendapat bahawa tidur sekejap sebenarnya boleh ‘membayar balik’ hutang tidur pada waktu malam.

“Tetapi tidur tidak boleh terlalu lama kerana jika melebihi 30 minit, seseorang itu sukar untuk bangun kerana terlalu nyenyak,” katanya.

Dalam pada itu, profesor psikologi, Universiti Cornell, AS, Dr James Maas, berpendapat bahawa tidur pada waktu tengah hari sekitar 15 hingga 20 minit sebenarnya sudah mencukupi untuk menjaga kesihatan dan mengembalikan tenaga.

Menurut Dr James, waktu tidur yang mencukupi untuk golongan dewasa adalah sekitar lapan hingga sembilan jam manakala remaja, sembilan hingga 10 jam, kanak-kanak (12 hingga 13 jam) dan bayi, 17 jam sehari.

Berdasarkan kajian Dr Maas, individu yang tidak mendapatkan tidur yang cukup mudah mengalami gejala kemurungan, potensi melakukan kesalahan dalam pekerjaan, sukar memberi tumpuan, prestasi kerja yang buruk serta boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan.

“Dengan mendapatkan jumlah tidur yang mencukupi, seseorang itu boleh mengawal perasaan dengan baik dan pada masa sama, dapat menjaga kesihatan serta kecantikan,” katanya.

Dr William A Anthony dan Camile W Anthony dalam buku mereka The Art of Napping at Work menyifatkan bahawa tidur seketika di tempat kerja adalah sesuatu yang semula jadi dan satu cara paling mudah untuk meningkatkan lagi produktiviti pekerja.

“Tidur seketika di waktu siang hari mampu meningkatkan semula tenaga. Ia umpama menjana semula bateri yang semakin berkurangan dan mengharmonikan kembali minda yang berserabut,” kata mereka. Kesimpulannya, jika berpeluang mendapat rehat di waktu tengah hari, ambil masa sekitar 10 hingga 20 minit untuk tidur bagi merehatkan seketika badan dan fikiran.

Ia boleh dilakukan sama ada di meja kerja, di dalam kereta mahupun di bilik rehat bagi syarikat yang menyediakan kemudahan berkenaan.

Tidak rugi berehat seketika kerana selain mendapat banyak kebaikan, ia juga mampu meningkatkan lagi daya tumpuan kita.

Thursday, April 22, 2010

Mendidik Bukan Setakat Mendidik Saja

Saya tertarik dengan penulis Nor Awin Tasmian seorang pemegang Bacelor Pendidikan Moral dari UPM, Malaysia yang menulis tentang kegusaran beliau terhadap golongan pendidik. Dalam artikel beliau bertajuk Penghasilan Pendidik: Pembelajaran Banyak Berdasarkan Falsafah Barat (BH,22 April 2010) yang masyarakat kita terdedah dengan pembelajaran berorientasikan barat. Justeru, beliau telah menggariskan panduan kepada pendidik agar mencontohi Al-Ghazali yang ditulis oleh H.M Asád Al Hafiz seperti berikut:-

  • Sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik.
  • Sentiasa bersifat kasih sayang dan tidak pilih kasih.
  • Jika guru duduk hendaklah dengan bersopan dan tunduk serta tidak riak.
  • Tidak sombong (takbur) kecuali terhadap orang zalim.
  • Bersifat tawaduk dalam perbincangan.
  • Menanam sifat bersahabat dalam dirinya terhadap semua pelajarnya.
  • Bersabar dan tidak mengherdik pelajar bodoh.
  • Membimbing dan mendidik pelajar yang bodoh dengan cara terbaik.
  • Menampilkan hujah yang benar apabila berada di pihak yang salah.

Namun begitu, pada hemah saya, pendapat di atas juga wajar diterapkan kepada sesiapa sahaja yang menghadapi kerenah-kerenah pekerja yang diselia. Hal ini disebabkan mereka yang diselia mempunyai pelbagai ragam. Masalah yang timbul itu juga menuntut penyelia atau ketua dalam sesebuah organisasi untuk diselesaikan. Jadi sebagai penyelesai masalah, seharusnya meletakkan diri sebagai pendidik dan ini membantu orang bermasalah melihat penyelianya bukan sekadar ketua atau penyelia kerja malah lebih daripada itu. Maka benarlah kata-kata punjangga, High Tech is Human Touch.

Wallahu alam.