Friday, July 9, 2010

Usaha Orang Berjaya Melawan Syaitan

Paparan ini saya peroleh daripada sebuah buku bertajuk "Taubat.Tasbih.Tahajud" yang dikarang oleh Zaini Ali Akbar. Pandangan saya, perkara ini adalah wajar kita sama-sama menggalakkan usaha ini supaya kita sama-sama sedar akan tanggungjawab menyampaikan perkara baik kepada sesiapa sahaja.

1-Dia segera jatuh cinta kepada solat. Dia berasa senang melaksanakan solat fardhu dan juga solat sunat. Dia tidak lagi melaksanakan solat itu sebagai kewajipan. Sebaliknya, dia menganggap solat sebagai keperluan hidup utama sama seperti makan dan minum.

2-Apabila dia melaksanakan solat berjemaah di surau mahupun di masjid, hatinya menyedari betapa ramai saudara-saudaranya tidak khusyuk dalam solat. Perasaan ini menjadikannya kasihan kepada mereka sehingga dia tidak mampu menahan air mata. Dia menangis kerana menyedari saudara-saudaranya dijerat oleh nafsu mereka oleh iblis.

3-Dia tidak kagum kepada rakan dan saudaranya yang memiliki harta yang melimpah dan pangkat yang tinggi. Hatinya tenteram bersama zikir dan tasbih kepada Tuhannya.

4-Apabila dia melihat hamba Allah yang mengalami kecacatan fizikal atau pun mental, hatinya tersayat dan air mata mula meleleh di pipinya. Dia dapat merasakan derita orang itu, lalu dia menyeru kepada Allah, "Ya, Allah, dia adalah makhluk ciptaanmu. Curahkanlah rahmat dan kasih sayangmu kepadanya.

5-Ketika dia menghadap Allah dalam keheningan malam, Allah mendidiknya dengan ilmunya. Allah memperlihatkan hal-hal ghaib yang sebelum ini tidak diketahuinya.

Namun, apa pun yang digalakkan oleh agama sewajarnya kita sebagai seorang yang beragama Islam tidak perlulah banyak bertanya. Hal ini kerana banyak perkara sukar diterima logik akal manusia. Justeru, saya berpendapat tanamkanlah sikap Just Do It dalam sebarang pekerjaan yang disuruh oleh Tuhan dan begitu juga tinggalkan segera yang dilarang oleh agama. Sesungguhnya mereka yang mengamalkannya, hanya Tuhan sahaja menilai besar atau kecilnya amalan seseorang.

No comments:

Post a Comment