Sunday, June 6, 2010

Renungan Untuk Bertaubat

Saya ingin berkongsi maklumat kepada pembaca blog ini beberapa saranan oleh Ustaz Zahazan Mohamed dalam artikel beliau di akhbar Berita Minggu bertarikh 6 Jun 2010. Harapan saya kita sama-sama jadikan panduan hidup utk beramal mendapat keredhaan Tuhan agar bahagia bukan sahaja utk duniawi malah akhirat.

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Zumar ayat 53 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), wahai hamba-Ku yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan berbuat maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah berkata: “Sewaktu Nabi SAW menceritakan wahyu yang diterima oleh Allah, Baginda bersabda yang bermaksud: “Seorang hamba berdosa, kemudian dia berdoa: Wahai Allah ampunilah dosaku, maka Allah pun berfirman yang bermaksud: Hamba-Ku berbuat dosa kemudian ia mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menuntut dosa.”

Kemudian ia berbuat dosa lagi dan berdoa: “Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku, maka Allah berfirman yang bermaksud: “Hamba-Ku berbuat dosa kemudian ia mengetahui bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menuntut dosa.”
Kemudian ia berbuat dosa lagi dan berdoa: “Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Maka Allah berfirman yang bermaksu: “Hambaku berbuat dosa, kemudian dia mengetahui bahawa ia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menuntut dosa. Aku benar-benar memberi ampunan kepada hamba-Ku, maka berbuatlah apa yang dikehendakinya.”

Satu lagi hadis riwayat Muslim daripada Abu Zarr berkata, Rasulullah SAW bersabda: Allah Azza wa Jalla berfirman: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan, maka dia dibalas dengan 10 kali ganda atau bahkan lebih. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan maka balasannya adalah sesuai dengan kejahatan yang ia kerjakan atau bahkan Aku mengampuninya. Barang siapa yang taqarrub (menghampiri) kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan menghampirinya sehasta. Barang siapa yang menghampiri-Ku sehasta, maka Aku akan menghampirinya sedepa. Barang siapa yang datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari. Dan barang siapa yang mengadap kepada-Ku membawa dosa seisi bumi tetapi ia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, maka Aku akan menerimanya dengan ampunan sebanyak isi bumi pula.”
Hadis riwayat Muslim, daripada al-Agharr bin Yasar al-Muzanny r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya kerana sesungguhnya saya bertaubat seratus kali setiap hari.”

Begitu juga sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Musa ‘Abdullah bin Qais al-Asy’ari, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah sentiasa membentangkan tangan-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu siang, dan membentangkan tangan-Nya pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu malamnya. Yang demikian itu berlangsung terus menerus sampai matahari terbit di sebelah barat (iaitu Hari Kiamat).

Demikianlah indahnya semua pesanan yang dibentangkan bagi kita. Apabila saudara sudah memahami pesanan daripada Allah SWT dan Rasul-Nya, eloklah anda mengambil langkah yang sewajarnya sebagai terapi diri.

Antaranya:

Pertama, pastikan makanan dan minuman yang masuk dalam tubuh saudara adalah halal dan baik kerana ia akan mempengaruhi jiwa saudara.

Kedua, pastikan saudara tidak berada pada tempat dan suasana yang mudah menjerumuskan saudara kepada maksiat. Oleh itu, bergaullah dengan kalangan orang yang soleh dan sentiasa menghadiri majlis ilmu.

Ketiga, tetapkan usaha mengerjakan solat berjemaah di masjid.

Keempat, banyakkan beristighfar dan berzikir.

Kelima, banyakkan bersedekah.

Keenam, hubungankan silaturahim.

Ketujuh, tanamkan keinginan untuk mendalami al-Quran dan al-Sunnah.
Wallahualam.