Saturday, August 29, 2009

Renungan Drpd Naib Canselor UTM

Pemenang Anugerah Merdeka 2009 diumumkan 19 Ogos lalu. Penerima Anugerah Merdeka tahun lalu ketika mula diperkenalkan buat julung kali adalah di kalangan tokoh atau organisasi yang memang tersohor. Justeru, penerimaan Anugerah Merdeka dianggap ramai sebagai satu lagi pengiktirafan bagi mereka yang memang sudah dikenali menyumbang jasa dan bakti, selain deretan berjela bintang dan darjah kebesaran. Dua daripada empat penerima tahun ini adalah staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Malah Tun (Dr) Fatimah Hashim adalah bekas Pro-Canselor UTM dan penerima Ijazah Doktor Kehormat 2000.

Pada hemat saya, Anugerah Merdeka 2009 bukanlah bertujuan berbangga-bangga dan angkuh tetapi bagaimana kecemerlangan ilmu itu diperhebatkan yang akhirnya untuk memakmurkan kehidupan manusia. Semakin tinggi orang itu mempunyai ilmu semakin terasa rendah ilmu yang dimiliki. Demikianlah penaksiran ilmu kepada orang yang berakal. Allah berfirman bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad) perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan ke Esaan Allah dan kuasaNya)"


Kita sering mendengar orang berkelulusan tinggi adalah orang yang berilmu, walaupun daripada kalangan mereka ada yang melakukan kesalahan dosa. Ramai orang yang tidak berkelulusan tinggi dianggap berilmu juga hasil usaha sendiri, mereka membaca sehingga diiktiraf oleh masyarakat sebagai orang yang berilmu. Justeru antara amal dengan ilmu ada perbezaannya. Orang berilmu tidak semestinya tidak melakukan kemungkaran, oleh kerana itu terdapat daripada kalangan orang yang berkelulusan tinggi apabila berjawatan ada yang tidak amanah, mengamalkan rasuah dan mementingkan diri sendiri serta berbagai-bagai gejala buruk yang dilakukan. Mereka inilah yang mencicirkan akal hingga tertinggal ke belakang dari tindakan, lalu dikutip oleh iblis untuk dirosakkan akal itu, maka jadilah manusia itu berstatus seperti binatang dan adakalanya lebih daripada itu.

Jadi, penganugerahan Prof Datuk Dr Zaini Ujang adalah orang yang dikatakan berilmu sentiasa mempersiapkan dirinya untuk memperhebatkan keilmuan kepada sesiapa saja dengan kesabaran sebagaimana pandangan Dr.Hj.Faisal Hj.Othman(2004) dalam bukunya Akal Kepada Berakal. Berikut adalah antara petikan Prof Datuk Dr Zaini Ujang dalam artikelnya untuk direnungkan bersama.

Banyak cara kita boleh buktikan komitmen, jasa bakti dan pengorbanan untuk negara. Penguat kuasa undang-undang misalnya berkorban memastikan negara aman, adil dan stabil. Kakitangan sektor awam berbakti dengan berkhidmat lebih produktif memacu kemajuan dalam segala bidang. Sektor swasta pula memerdekakan negara menerusi kemajuan ekonomi. Biar apapun bentuk khidmat kita, peranan dan modus operandi pengisian kemerdekaan memerlukan rakyat berilmu, berakhlak mulia, bersatu, berprestasi tinggi, integriti, bijaksana, tabah, setia, inovatif dan menghargai masa. Menerusi ilmu dan inovasi, kita berupaya berkhidmat lebih efektif dan efisien mempertahankan kemerdekaan dalam semua bidang, termasuk pelestarian alam sekitar dan ekosistem intelektual. Anugerah Merdeka, jika difahami sebaiknya, adalah penanda aras sesuai untuk kita mengetahui bukan saja sumbangan dan ketokohan seseorang penerimanya. Malah, yang penting ialah ekosistem intelektual dan tahap inovasi sesebuah organisasi termasuk universiti sehingga membolehkan penerima dapat memberi tumpuan dan sepenuh komitmen menyumbang kecemerlangan dalam sesuatu bidang." (Berita Harian:28 Ogos,2009)

Selamat Ulang Tahun ke-52 Malaysia!

No comments:

Post a Comment