Friday, August 21, 2009

Hebatnya Puasa!

Tanggal 22 Ogos, 2009 bermula umat Islam di Malaysia berpuasa. Puasa adalah rukun Islam yang keempat dan pokok ibadat yang begitu tingi nilainya di sisi Allah SWT. Perkataan al-Syiam berasal daripada bahasa Arab. Maknanya di dalam bahasa Melayu adalah puasa. Al-Syiam daripada segi bahasa adalah menahan diri daripada sesuatu secara mutlak dan dikatakan kepada orang yang menahan diri daripada bercakap itu juga dikatakan sebagai puasa.

Allah SWT menjelaskan dalam surah Mariam ayat 26 yang bermaksud:

"Sesungguhnya saya bernazar diam membisu kerana Allah ar-Rahman; (setelah aku menyatakan demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun daripada kalangan manusia pada hari ini."

Manakala pengertian daripada segi syarak adalah menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai daripada waktu fajar hingga pada waktu ghaib matahari seperti menahan diri daripada makan dan minum, berjimak dan sebagainya dengan syarat-syarat tertentu.

Dalil Kewajipan Berpuasa
Allah menjelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."

Ayat lain, Allah SWT menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud:
"Oleh itu, barangsiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) hendaklah ia berpuasa pada bulan itu."

Nabi Muhammad SAW berkata yang bermaksud, "Islam terbina atas lima perkara iaitu mengakui tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah. Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, menunaikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa pada bulan Ramadhan dan naik haji bagi orang yang berkuasa."

Dato' Dr.Haron Din(2007) dalam bukunya bertajuk Islam ibadah pembina tamadun manusia telah menggariskan kehebatan puasa seperti berikut:-

1-Dapat menguatkan peribadi, meluhurkan kesusilaan dan membersihkan jiwa insan. Puasa sebagai latihan rohani yang setiap orang Islam menahan diri daripada nafsu perut, nafsu jantina dan mencegah moral yang rendah. Seorang Islam yang benar-benar puasa tidak mencela, mencaci, mengumpat, bercakap kotor dan tidak mengikut keinginan nafsu yang rendah. Ini adalah cara yang berkesan membentuk peribadi yang mulia.

2-Memuliakan Ramadhan. Ini kerana pada bulan Ramadhan ini, Al-Quran mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Allah SWT menggalakkan setiap orang Islam supaya melakukan ibadat yang lebih dan mewajibkan puasa pada bulan yang mulia ini. Ini bagi menambahkan lagi ganjaran pahala kepada hambanya dan sempena menyambut Al-Quran mula diturunkan sebagai perlembagaan hidup manusia demi mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat.

3-Dapat membentuk peribadi mulia melalui sikap individu. Ini kerana, puasa menjadikan manusia sabar dalam mengharungi setiap perkara. Contohnya, orang yang sibuk dengan kerja-kerja harian, dengan berpuasa walaupun letih, dapat melahirkan sifat sabar di samping berzikir dengan menyebut nama Allah. Mudah-mudahan daripada perbuatan itu Allah mempermudahkan segala pekerjaan yang dilakukan.

Seorang pengarang bangsa Jerman bernama Jeharadat, menulis serta memuji hikmat puasa seperti berikut: "Bagi menguatkanperasaan dan jiwa perlu dijadikan puasa itu sebagai asas kehidupan. Ini kerana ia menjadi cara yang berkesan bagi meninggalkan pengaruh rohani ke atas jasmani.". Oleh yang demikian manusia dapat menguasai dirinya sendiri sebaliknya ia tidak menjadi hamba kepada naluri kebendaan.

4-Sebagai rawatan penyakit. Perut manusia diibaratkan sebagai enjin kereta. Apabila enjin sentiasa berjalan tentu ia cepat rosak. Begitu juga perut dan alat-alat pencernaan manusia perlu direhatkan selama sebulan dalam masa setahun. Ini bertujuan membersih dan memperbaiki proses-proses alat-alat pencernaan. Sekiranya tidak, perut mudah dihinggapi penyakit.

Tabrani melaporkan hadis daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW berkata, "Berperanglah kamu pasti kamu dapat rampasan perang, berpuasalah kamu pasti kamu sihat dan bermusafirlah kamu pasti kamu senang."

Jadi, saya mengingatkan diri saya dan pembaca sama-samalah kita menjaga tatasusila berpuasa agar mendapat rahmat daripada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment