Tuesday, August 25, 2009

Lagi Kehebatan Berpuasa

Pengamal Perubatan dan Penceramah Motivasi, Dr Danial Zainal Abidin, berkata selepas sekian lama badan menerima makanan dan minuman yang memudaratkan, puasa Ramadan memberi peluang kepada manusia mengembalikan ketahanan tubuh badan.

Katanya, makanan serta minuman yang diambil sepanjang 11 bulan sebelum kedatangan Ramadan mungkin halal dari segi sumber dan bahan asasnya tetapi tidak semestinya makanan itu baik kepada kesihatan.

Oleh itu, sebulan Ramadan yang ditetapkan Allah untuk umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga membawa bersama hikmah kefarduannya menurut pandangan sains berdasarkan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kaitan puasa dari aspek kesihatan.

"Memang asasnya niat puasa itu penting supaya kita tidak terbabas. Jangan kata niat kita puasa untuk kuruskan badan atau kurangkan kolesterol kerana tujuan utama puasa adalah mencapai status takwa dengan mentaati, sentiasa mengingati serta mensyukuri nikmat Allah.

"Namun di sebalik kewajipan itu tidak dinafikan banyak kebaikan diperoleh berdasarkan kajian dibuat mengenai kesan ibadat puasa terhadap sistem badan. Ini kerana makanan halal yang kita makan tidak semestinya toyyibah atau berkhasiat kepada tubuh badan," katanya.

Dr Danial menjelaskan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kesan makanan terhadap sikap manusia serta keberkesanan puasa membantu mengatasi masalah kesihatan yang dihadapi sesetengah pihak sebagai panduan masyarakat umum.

Antara diketengahkan ialah laporan CNN.com mengenai makanan ringan boleh menyebabkan kerosakan jantung dan kumpulan berisiko adalah remaja belasan tahun yang ketagih makanan ringan. Kajian oleh Universiti Toronto pula mendapati makanan ringan boleh merosakkan otak.

Sahur jika kita lakukan dikira ibadat dan faedah sains membuktikan dalam tempoh 24 jam, makanan paling penting ialah sarapan pagi. Yang malas sarapan adalah calon untuk penyakit obesiti, dia-betes dan sakit jantung. Jadi sahur ambil tempat sarapan pagi dan jika tidak makan 12 jam selepas itu pun kita tak ada apa-apa.

"Nabi galakkan kita bersahur pun sudah cukup saintifik. Begitu juga amalan makan kurma ketika berbuka puasa kerana kelebihan kurma mengandungi vitamin A, B1, B2, B3, B5 dan 20 asid amino yang bagus untuk sistem penghadaman selain memberi tenaga," katanya.

Katanya, Ramadan bulan pendidikan untuk mentarbiah fikriah, jasadiah serta ruhiah dengan memastikan niat yang betul melaksanakan ibadat puasa dan pada masa sama mengambil kesempatan diberi Allah menggandakan ibadat sunat bagi merebut ganjaran dijanjikan.

Dr Danial berkata, kajian oleh Dr Ebrahim Kazim dari Akademi Islam, Trinidad, menunjukkan pada bulan Ramadan hormon yang banyak mempengaruhi tingkah laku manusia dinamakan opioids dirembeskan dalam tubuh menjadikan orang yang berpuasa dengan betul, banyak bertadarus serta berzikir lebih tenang.

Sementara Dr Ahmad E Kadi yang membuat kajian mengenai solat serta penyembuhan merumuskan hanya dengan mendengar bacaan al-Quran dapat menurunkan tekanan darah, mengurangkan nadi serta memberi kerehatan kepada otot.

"Satu lagi kajian tetapi belum disahkan, sebutan kalimah al-Quran seperti Alif Lam Min dan Ya Sin, baik untuk jantung serta otak. Namun, ini masih dalam kajian lagi. Apapun, nasihat saya kepada umat Islam, Ramadan ini jangan fokus masalah tetapi fokus kepada Allah, masalah akan reda," katanya.

(sumber berita harian 25 Ogos,2009)

No comments:

Post a Comment