Thursday, August 20, 2009

Kritikan Ada Di Mana-mana?

Dalam ruangan blog Dr.Ridhuan Tee Abdullah telah dikritik oleh akhbar Cina berhubung pandangan beliau tentang banyak hal. Tidak cukup dengan itu, beliau dikecam dengan menuduh saudara Ridhuan telah menghina orang-orang Cina. Beliau dikritik. Begitu juga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dikritik kerana cara mereka bertindak. Walau apapun, kita sedar atau tidak perkara ini memang berlaku terutamanya negara yang mengamalkan kebebasan bersuara. Namun, apakah semua tindakan mereka itu tidak baik?

Dalam ruangan yang terbatas ini, saya ingin berkongsi maklumat bahawa kalau kita ditipu, dikhianati, dicucuk dari belakang atau ditolak ke dalam sungai oleh salah seorang daripada sahabat karib kita, maka kita tidak boleh terus berasa sedih hati atas kejadian tersebut. Sebaliknya kita perlu tetap tenang dan mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Mengapa?

Dale Carnegie (1997) menceritakan bahawa Presiden American International Corporation di 40 Wall Street iaitu Matthew C.Brush mudah tersinggung apabila mendapat kritikan. Beliau menjawab, "Ya, dahulu saya memang mudah tersinggung. Saya inginkan pegawai organisasi yang saya pimpin ini menganggap saya sempurna. Kalau tidak, saya berasa sedih." Akhirnya semakin saya cuba mengelakkan dan menangkis kritikan, semakin bertambah sakit hati orang lain. Selepas kejadian itu, beliau membuat kesimpulan, "Kalau kedudukan anda lebih tinggi daripada kebanyakan orang, anda pasti akan dikritik." Hal ini telah banyak menolong Matthew dan sejak saat itu beliau menggunakan pegangan hidup. Pegangan hidup ini menaungi dirinya daripada hujan kritikan.

Eleanor Rosevelt memberitahu bahawa sewaktu masih kecil, beliau sangat pemalu dan takut terhadap apa yang mungkin dikatakan oleh orang tentang dirinya. Beliau sangat takut dikritik orang. Lalu meminta nasihat daripada ibu saudaranya, Theodore Roosevelt. Ketika itu, saudara perempuan beliau memandangnya seraya berkata, "Jangan pedulikan percakapan orang, selama kamu yakin bahawa kamu benar." Eleanor Rosevelt merasa nasihat tersebut ternyata menjadi benteng kuat baginya. Ekoran itu, beliau menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk menghindari segala kritikan ialah dengan mengambil sikap berdiam diri.

"Kerjakanlah apa saja yang benar menurut hati nuranimu. Kerana kamu akan tetap dikritik. Kalau kamu kerjakan, kamu akan dicela. Kalau kamu tidak kerjakan pun kamu pun akan dicela," begitulah nasihatnya.

Sungguhpun begitu, kata-kata berani kerana benar takut kerana salah tidak selalunya betul. Justeru itu, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT supaya menunjukkan perkara itu benar adalah lebih baik daripada yang lain. Contoh lain, Dr.Mahathir dikritik kerana tambatan Ringgit Malaysia, tapi hasilnya berbaloi malah dipuji lagi oleh beberapa pengamal perbankan di dunia. Pembinaan jambatan dikutuk oleh penduduk Australia, apabila presiden Australia ketika itu berhasrat membelanjakan berjuta dolar untuk membina jambatan di ibu negara. Lihat sekarang, jambatan tersebut menjadi mercu tanda Australia.

Kesimpulannya,, kalau kita dikritik secara tidak adil, tidak benar dan tidak sepatutnya, marilah kita renungkan kata-kata di bawah ini:

"Laksanakan apa yang anda kerjakan dengan sebaik-baiknya. Kemudian bukalah payung anda agar hujan kritikan tidak mengalir membasahi tengkuk anda." (Dale Carnegie, 1997)

No comments:

Post a Comment