Saturday, August 15, 2009

Marah Bukan Penyelesaiannya!

Apabila saya berada di perkarangan tempat tempahan foto sebelah Dewan Sultan Iskandar UTM Skudai, satu peristiwa telah berlaku. Ketika itu, jam 9pagi masih tidak sibuk diperkarangan tersebut. Seorang pelajar telah duduk dan meminta pekerja di kaunter pembayaran untuk menulis semua butiran dirinya pada slip pembayaran dan borang poslaju. Pekerja terlibat enggan kerana menjadi tanggungjawab pelajar untuk melengkapkan butir-butir dalam slip dan borang terlibat. Pelajar yang agak berusia sekitar 40-an dengan nada tinggi enggan berganjak pada tempat duduk sehingga beliau selesai melengkapkan butiran tersebut. Saya berada ketika itu menjadi tanda tanya dengan pelbagai soalan. Antaranya:

"Apakah tujuan pelajar itu berbuat demikian?"
"Bukankah semua pelajar buat perkara sama iaitu melengkapkan sendiri borang tersebut?"
"Adakah pelajar tersebut hendak menunjukkan mereka adalah graduat berbanding pekerja di hadapannya?"

Akhirnya pekerja tersebut langsung tidak melayan pelajar terlibat dengan hanya mendiamkan diri. Saya perhatikan pelajar lain dilayan dengan mesra dan penuh budi bahasa. Saya sangat terharu dengan sikap pekerja terlibat yang tidak melawan malah cuba untuk tidak marah kepada pelanggannya walaupun seorang pelajar.

Memang benar, perasaan marah mampu menghilangkan kewarasan dan kedamaian. Ini jelas ditunjukkan oleh sahabat nabi yang bernama Abu Dardak menyoal nabi, "Ya, Rasulullah, tunjukkan kepada ku satu amalan yang akan membawa aku ke syurga." Nabi menjawab, "Janganlah engkau marah!" (Diriwayatkan oleh Imam Thabrani dan Ibn Abid Dunya).

Saya berpendapat, setiap manusia memilikinya, namun tidak semua manusia mampu mengawalnya. Manusia yang gagah adalah mereka yang mampu mengawal perasaan marah semasa ia menyerang. Malah Nabi Muhammad SAW pernah berkata,"Manusia yang gagah bukanlah dia yang mampu menjatuhkan lawannya sebaliknya yang gagah adalah dia yang mampu mengawal perasaan marahnya."

Dalam surah Ali Imran ayat 134 bermaksund, "Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah, mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga suka memaafkan kesalahan orang lain." Ayat tadi menunjukkah bahawa Allah tidak mengatakan orang-orang yang bertakwa adalah orang yang tidak ada langsung perasaan marah. Sebaliknya, Allah mengatakan mereka adalah golongan yang memiliki perasaan marah tetapi pada masa yang sama mereka memiliki kekuatan mengawalnya.

Malah bukan itu sahaja, Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin dipetik bermaksud, "Sesungguhnya ketiadaan marah sama sekali adalah tercela. Yang terpuji adalah perasaan marah yang disuluhi oleh akal dan agama." Justeru itu, orang yang berjaya adalah orang yang mampu meletakkan perasaan marah di tempat yang sesuai lagi bermanfaat.

Walahu allam

No comments:

Post a Comment