Wednesday, August 19, 2009

Orang Berilmu Juga Memerlukan Nasihat

Berjuang untuk melengkapkan diri ke menara gading adalah suatu cabaran yang sangat besar. Apatah lagi mereka yang mempunyai tanggungan keluarga, ibu bapa, masyarakat sekeliling serta kerjaya. Namun, semua perkara perlu dilalui dengan penuh kesabaran dan menuntut kepada kebijaksanaan merancang masa untuk memenuhi setiap tuntutan tadi.

Pada tanggal 15-19 Ogos, 2009 telah berlangsung Majlis Konvokesyen ke-43 Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Majlis ini menunjukkan kepada mereka yang telah berjaya menamatkan pengajian mengikut tempoh yang telah ditetapkan dan begitu juga saya telah selesai menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia).


Bergambar di Perkarangan Masjid UTM


Ibu Sumber DoaKu


Anak-anak Sumber InspirasiKu



Isteri Sumber IlhamKu


Namun, peningkatan akademik menunjukkan berlaku peningkatan ilmu pengetahuan mengikut bidang tertentu. Tidak bermakna kita perlu angkuh dengan pencapaian akademik yang diperoleh berbanding dengan orang lain. Hal ini diceritakan oleh Umar bin Al-Khatab. Apabila beliau masih lagi meminta nasihat daripada orang alim yang lain.

Umar Al-Khatab minta kepada Ka'ab, seorang alim besar menceritakan tentang cerita yang bersangkutan dengan hari akhirat. Umar tidak bertanya sesuatu yang dia tidak ketahuinya, bahkan pertanyaan itu sesuatu yang sudah diketahuinya. Ini kerana kadang-kadang cara seseorang itu menyampaikan nasihat lebih berkesan daripada apa yang sudah kita ketahuinya. Kemungkinan nasihat orang lain terperinci fakta-faktanya sehingga ia menambahkan lagi keyakinan terhadap sesuatu perkara.

Suatu persoalan yang sama kadangkala terasa lain jika orang lain pula yang menjelaskannya. Ibarat orang makan nasi di rumah bersama keluarga, kadangkala ia merasa lebih selera jika makan bersma keluarga di tempat berkelah umpamanya, hingga makan lebih daripada biasa, meskipun hidangannya sama dengan apa yang dimakan di rumah.

Oleh itu, walaupun seseorang itu sudah merasa mempunyai banyak ilmu, janganlah dirinya merasa tidak perlu lagi mendengar penjelasan ilmu daripada orang lain. Barangkali ada beberapa fakta yang ada pada orang lain, misalnya mungkin kerana keikhlasan orang itu memberi nasihat, sehingga segala nasihatnya itu diberkati oleh Allah, berkesan dengan kesan yang amant mendalam ke dalam hati pendengarnya.

Abdullah Yasin (1989) dalam buku Tafsir Al-Fatiha menegaskan golongan Yahudi dimurkai oleh Allah kerana sikap mereka yang selalu berkata tapi mengingkari. Begitu juga golongan Nasrani digolongkan kesesatan kerana sikap mereka yang terlalu ta'sub kepada paderi mereka dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain.

Justeru itu, kita hendaklah membezakan selalu sikap kita dengan sikap kedua-dua golongan tersebut. Jadi membezakan sikap kita dengan Nasrani, kita hendaklah suka mendengar pandangan orang lain dan tidak ta'sub dengan pandangan tertentu sama ada kepada guru atau mazhab atau golongan, tetapi hendaklah selalu terbuka dan suka mendengar. Sikap demikian kita akan terhindar daripada kesesatan.

Begitu juga, membezakan sikap kita dengan golongan yang dimurkai iaitu Yahudi. Orang Yahudi dikutuk oleh Allah adalah kerana mereka mengetahui kebenaran tetapi tidak melaksanakannya. Ini digambarkan oleh Al-Quran dalam Al-Fatiha Ayat Ke-7 bahawa mereka selalu berkata , mahu mendengar tetapi enggan mengikutinya (Jalan Kebenaran). Oleh sebab itulah maka kita hendaknya selalu berkata kami mendengar dan kami patuhi(ajaran Al-Quran). Oleh itu, sikap orang berilmu itu adalah mengamalkan ilmu dan berani menegakkan kebenaran mengikut bidang masing-masing agar kita tidak dikelas ke dalam kedua-dua golongan yang dimurkai oleh Allah SWT. Seterusnya bertepatan sarjana Barat dalam teori Tingkap Johari iaitu "Ada Yang Kita Tahu, Orang Lain Pun Tahu; Ada Yang Kita Tidak Tahu Orang Lain Tahu; Ada Yang Kita Kita Tahu Orang Lain Tidak Tahu dan Ada Yang Kita Tidak Tahu Orang Lain Pun Tak Tahu."

No comments:

Post a Comment