Sunday, August 30, 2009

Keistimewaan Ramadan


Solat Tahiyatul Masjid Ketika Berada di Masjid Terapung, Jeddah


Kelebihan Ramadan berdasarkan dalil naqli dan aqli. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-185 yang bermaksud: "Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur."

Jelas al-Qurtubi dalam tafsirnya, ayat ke 184 dan 185 ini menandakan secara jelas kelebihan Ramadan berbanding dengan bulan lain. Ternyata kelebihan Ramadan tidak akan berulang pada waktu lain.

Sabda Nabi Muhammad SAW dalam khutbah yang disampaikan pada hujung bulan Syaaban seperti yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud: "Sesungguhnya datang kepadamu Ramadan yang penuh dengan keberkatan, Allah menetapkan ke atas kamu semua ibadat puasa sebagai kewajipan, dibukakan padanya pintu syurga, ditutupkan padanya pintu neraka, diikat syaitan dalam bulan ini. Dalam bulan ini, terdapat satu malam yang lebih utama daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mendapat kelebihan Ramadan akan terus terhalang daripada memperoleh kebaikannya."


Mengenai kelebihan Ramadan dan mengapa Allah SWT memilih bulan ini, ahli tafsir al-Quran Indonesia yang terkemuka Almarhum Prof Dr Hasbi Siddiqiy, berkata jawapannya terletak pada firman Allah dalam surah al-Qasas, ayat 68 yang bermaksud: "Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu daripada makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan)."

Ayat ini memberikan gambaran bahawa ketetapan Allah meletakkan Ramadan sebagai waktu yang dimuliakan dan penuh keberkatan adalah anugerah-Nya sebagai ihsan dan rahmat kepada manusia, agar mempertingkatkan usaha pada musim yang tertentu. Ini kerana resam manusia sememangnya amat lemah untuk melakukan ibadat secara istiqamah sepanjang tahun. (sumber:Berita Harian:30 Ogos,2009)

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment