Sunday, September 27, 2009

Tujuh Dosa Besar Dalam Kehidupan

Pernahkah kita mendengar bahawa kegunaan sebatang lidi manfaatnya adalah terhad iaitu mungkin mampu dijadikan sebatang mencucuk daging dijadikan satay atau hanya sebagai pencungkil gigi. Apabila lidi itu dikumpul dan diikat dalam bilangan yang banyak sudah tentu manfaatnya menjadi lebih seperti menjadi sebatang penyapu yang boleh membersihkan laman rumah atau dijadikan sebagai pemukul untuk menghalau lalat dan juga kucing. Jadi seiring dengan perumpamaan bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Namun, dalam kebanyakan situasi bersatu untuk mencari penyelesaian agak sukar dalam mentadbir kerja.Cuba kita perhatikan kemelut situasi semasa yang berlaku, antaranya kisah seorang Exco PAS di Selangor, beliau dibiar keseorangan bergelut dengan prinsip dan nilai integriti yang dipegangnya. Malah rakan seperjuangannya seorang ahli Parlimen juga ‘membelasahnya tanpa belas kasihan’ atas prinsip dan integriti yang dipegangnya. Parti dan pemimpin atasannya juga membiarkan dia bersendirian mempertahankan prinsipnya.(Petikan artikel bertajuk Jangan Lupa Prinsip dan Integriti, Berita Minggu 27 Sept,2009)

Apa yang hendak sama-sama fikirkan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak. Sesungguhnya, sebagai masyarakat ke arah negara berkemajuan sewajarnya harus dielakkan. Kita sewajarnya membincangkan apakah tindakan perlu dilakukan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat setempat kerana tujuan kita hidup adalah untuk memakmurkan dunia yang bersifat sementara. Malah mereka yang memperjuangkan prinsip dan integriti dianggap pengkhianat. Perkara ini juga telah wujud dalam masyarakat Melayu dalam kisah Singapura dilanggar todak. Apabila seorang budak kecil telah mencadangkan bagaimana untuk menghalang kemaraan todak yang membunuh masyarakat Melayu Singapura ketika itu. Tapi malangnya, budak kecil itu telah difitnah lalu dihukum dan dibunuh. Apakah kita tidak melihat perkara itu sebagai Constructive Idea?

Mohamed Mustafa Ishak adalah Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia telah menulis bahawa Mahatma Gandhi pada 1925, telah memberi ucapan yang dikatakannya sebagai “tujuh dosa besar dalam kehidupan” (seven deadly social sins) - “Politics without principles (politik tanpa prinsip), Wealth without work (kekayaan tanpa bekerja), Pleasure without conscience (keseronokan tanpa kesedaran), Knowledge without character (pengetahuan tanpa keperibadian), Commerce without morality (perdagangan tanpa moral), Science without humanity (sains tanpa kemanusiaan), Worship without sacrifice (beribadat tanpa pengorbanan).”

Politik tanpa prinsip ialah satu ‘dosa besar’. Namun pada hari ini, ‘dosa besar inilah yang paling banyak berlaku dalam dunia politik’. Justeru, tidaklah menghairankan apabila dalam politik hari ini ‘matlamat boleh menghalalkan cara’ asalkan menang dan mendapat kuasa.

Perbuatan menggadaikan prinsip dan integriti bukan saja khusus kepada dunia politik. Namun perbuatan menggadaikan prinsip dan berkompromi dalam soal integriti paling ketara dan sangat berleluasa dalam politik kerana ‘pertaruhannya’ lebih besar. Justeru, menjadi pemimpin politik menjanjikan kuasa yang tiada tolok bandingnya.
Maka atas dasar inilah pertarungan politik demi kuasa boleh saja menjadi begitu jelek sekali jika prinsip digadai dan integriti dikompromikan.

Namun kita masih boleh mendidik rakyat supaya memilih prinsip dan integriti asas menentukan pilihan mereka. Jika perkara ini dijadikan sebagai satu amalan, nescaya suatu hari nanti kita akan dapat mengurangkan bilangan orang yang tidak berprinsip dan berintegriti dalam politik. Sekaligus, yang bakal diangkat menjadi pemimpin dan kemudiannya memimpin kita semua diharapkan adalah pemimpin yang berprinsip dan ada integriti dan bukannya sekadar popular kerana bijak berpidato dan retorik semata-mata.

Dalam satu kajian mengenai kepemimpinan yang dilakukan dua sarjana iaitu Kouzes dan Posner (2002) secara berterusan selama 20 tahun di kalangan eksekutif kerajaan dan perniagaan merentasi semua benua bagi melihat ciri-ciri utama yang diharapkan wujud kepada seseorang pemimpin, terdapat empat ciri utama yang dipilih responden mereka sebagai ciri-ciri pilihan yang harus dimiliki oleh seseorang pemimpin . Pertama - ‘honest’ (jujur/amanah), kedua - ‘forward-looking’ (berwawasan), ketiga - ‘competent’ (berkeupayaan), keempat - ‘inspiring’ (mencetus idea/ilham).

Dalam kajian perbandingan itu, didapati 95 peratus responden di Malaysia memilih ciri kejujuran atau amanah sebagai ciri terpenting yang harus dimiliki oleh seseorang pemimpin. Apa yang dipilih di Malaysia adalah juga perkara yang sama yang menjadi pilihan responden di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Mexico, New Zealand, dan negara Scandinavia.

Berdasarkan kajian ilmiah dilakukan secara konsisten selama dua dekad apakah kita masih mahu lagi mempertikaikan mengenai ciri penting amanah atau kejujuran yang terasnya ialah berpegang kepada prinsip moral dan integriti? Nyatalah bahawa orang Malaysia masih percaya dan berpegang teguh kepada nilai orang berprinsip dan berintegriti. Populariti barangkali boleh memberikan pulangan dalam jangka pendek apabila orang dipengeruh emosi ketika membuat sesuatu pilihan.

Inilah perkara yang harus diberikan perhatian oleh ahli politik jika mereka mahu melahirkan sebuah negara, sistem dan masyarakat yang bermaruah, dihormati dan bebas rasuah. Inilah asas bagi pembinaan negara-bangsa yang harus kita pertahan dan perjuangkan. Inilah juga perkara yang harus kita terapkan di bilik darjah dan di dewan kuliah universiti. Bahawa menjadi individu yang berprinsip dan berintegriti adalah lebih mulia daripada menjadi individu yang hanya popular.

Walau apa jua yang ingin kita jadi, jadilah seseorang yang berprinsip dan berintegriti. Inti sarinya ialah orang yang tidak berprinsip dan tiada integriti tidak boleh dipercayai. Integriti, keperibadian (character) dan prinsip adalah sama dengan amanah dan kejujuran. Bagi membolehkan seseorang pemimpin itu terus diyakini dan dipercayai, beliau harus memiliki keperibadian yang unggul, berprinsip dan memiliki integriti yang padu. Tidak ada sesiapa pun yang suka dirinya ditipu atau diperolok-olokkan. Lebih-lebih lagi apabila ia ditipu oleh pemimpin idolanya sendiri. Rakyat tidak mahu mereka dipimpin ke jalan yang salah oleh seseorang pemimpin yang menipu dalam proses mencapai sesuatu kemenangan. Seseorang pemimpin yang jujur dan amanah adalah juga lambang dan manifestasi kepada pengikutnya yang jujur dan beramanah. Imej, prinsip hidup dan integriti kita sebagai pengikut juga tercemar apabila ketuanya pemimpin yang tidak berprinsip dan berintegriti. Seluruh masyarakat akan dilanda korupsi moral paling dahsyat dan luar biasa apabila pengikut sama-sama reda dan merestui penipuan dan pembohongan pemimpin dan terus menerus menyokong pemimpin yang menipu, tidak berprinsip dan tiada integriti.

Ringkasnya, kita tidak mahu hanya dikenal sebagai Gladiator apabila mempunyai kuasa sahaja tetapi sebagai tabiat serta disegani oleh masyarakat secara keseluruhannya yang apabila melaksanakan apa jua pekerjaan mengikut prinsip serta tidak berkompromi dalam soal integriti. Jadi kita berupaya bekerja di mana-mana sahaja tanpa mengira golongan tertentu.

No comments:

Post a Comment