Wednesday, September 16, 2009

Bergembiralah di Aidil Fitri!

Tidak sampai seminggu lagi, umat Islam di Malaysia akan meraikan Aidil Fitri. Maka sudah tentu banyak persiapan sama ada keperluan diri sendiri hinggalah keperluan kediaman dihias dengan cantik. Namun begitu, adakah itu pengertian Aidil Fitri? Persoalannya, sejauhmanakah pengisian Aidil Fitri itu? Apa pula pandangan agama berhubung fitrah menyambut Aidil Fitri?

Oleh yang demikian, Allah menegaskan bahawa ‘fitrah’ adalah ‘ketetapan Allah yang telah ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.

Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Maka sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan dalam suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka-ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah-menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang di Ramadan yang lalu.

Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah-menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.

Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk saja di rumah menonton rancangan menarik yang disajikan. Daripada sudut ekstrem, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah-menziarahi yang digalakkan di Aidilfitri.

Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

No comments:

Post a Comment