Thursday, September 3, 2009

Memperkasakan Rukun Islam & Rukun Iman




Kita pernah dengar kisah seorang pelajar kolej swasta tergamam seketika apabila didatangi seorang wanita yang kemudian meninggalkan seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dan memintanya menjaga bayi terbabit, di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang perlu diberi perhatian serius.

Kekerapan berita mengenai pembuangan bayi di media elektronik dan media cetak menunjukkan gejala buang bayi bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, kadar jenayah pembuangan bayi terus meningkat tahun demi tahun.

Pada 2007, sebanyak 76 kes dilaporkan, berbanding 83 kes pada 2006 di seluruh negara. Di sepanjang tempoh 2004 hingga 2007, daripada 252 kes yang dilaporkan, seramai 61 bayi disahkan meninggal dunia. Mengapakah kegiatan membuang bayi tiada penghujungnya? Apakah yang perlu ibu bapa lakukan agar kejadian ini tidak berlaku?

Pada pandangan saya, sejak kecil lagi masyarakat tidak memberi penekanan terhadap memperkasakan akal. Hal ini berlaku kerana fitrah alam, manusia dilahirkan bermula dengan mempunyai akal yang lemah, kecerdasan akal itu mengikut usia serta asuhan atau pendidikan yang diterima terutama dari ibu bapa atau penjaganya terpengaruh dari sekolah melalui guru dan kawan-kawannya. Apabila usia meningkat remaja, lazimnya akal belum begitu matang berfikiran mudah dipengaruhi keadaan sekeliling yang mencorakkan dunia sebagai cabaran berganding juga dengan kemajuan sains dan teknologi canggih, menyebabkan nafsu lebih bertenaga dari kematangan fikiran mereka.

Justeru, pelajaran adalah asas memperoleh ilmu sedikit demi sedikit, umpama zat dari pemakanan untuk menguatkan badan hingga akal memberi tenaga fikiran. Jadi sebagai umat Islam, diwajibkan kepada ibu bapa memberikan penekanan asas keislaman itu melalui Rukun Islam dan Rukun Iman.

Pemahaman kepada kedua-dua rukun tersebut hendaklah diberikan sesuai dengan keadaan semasa serta seimbang dengan tahap kecerdasan akalnya. Sikap berhati-hati itu perlu, kerana nafsu keremajaannya amat diminati oleh iblis untuk merosakkan akal fikiran mereka seperti kejadian melakukan zina hingga membuang bayi. Justeru percaya kepada Rukun Iman tidak tinggal dalam hanya kepercayaan sahaja atau sebagai adat beragama Islam tanpa mahu melakukan sesuatu yang dapat membuktikan kepercayaan itu untuk menghalang dan memerangi kemaraan godaan iblis dari bantuan hawa nafsu yang berada dalam diri sendiri.

1-Menghalang: Mengukuhkan keimanan bahawa sebenarnya wujud sesuatu yang ghaib kepunyaan Allah SWT

2-Memerangi: Jihad yang paling besar adalah melawan hawa nafsu yang menjurus sifat-sifat melampau dalam semua perkara urusan kehidupan.(Dr Hj Faisal Othman,2004)

Sekiranya akal itu tidak diberikan tenaga dengan ilmu yang bermanfaat, maka tidaklah berupaya mencergaskan fikiran bagi melalui jalan yang lurus atau jalan yang dipertunjukkan oleh Allah SWT, kebiasaannya menyimpang pemikiran itu atau dengan kata lain disesatkan menyebabkan hati yang fitrahnya putih dan bersih menjadi kotor.

Apabila hati yang kotor memberikan sumbangan besar kepada iblis untuk menguasai diri manusia itu, lalu pada peringkat awalnya hati itu berkeinginan mencuba sesuatu yang beridentiti keburukan seperti merokok, meraba, berpasangan dan seumpamanya. Maka akal adalah cahaya yang boleh dipadamkan dengan maksiat.

No comments:

Post a Comment