Thursday, September 24, 2009

Don't Worry Be Happy!



Sewaktu berkunjung ke rumah saudara-mara sempena Hari Raya, bukan sepanjang hari kita beroleh kegembiraan dan ada juga peristiwa yang tidak diingini berlaku sebelum menjelang Hari Raya. Peristiwa kehilangan wang ringgit serta barang kemas sungguh memilukan bagi setengah-setengah orang. Apabila dilihat raut wajah sepupu saya tidak terfikir bahawa sebelum menyambut Hari Raya, beliau telah ditimpa musibah. Ini adalah pengakuannya sendiri. Namun, dengan nada gembira, beliau tidak merasakan perkara itu perlu ditangisi. Musibah yang dimaksudkan adalah rumah beliau telah dinaiki pencuri kira-kira jam 2.00 pagi seminggu sebelum Hari Raya. Gril tingkap rumah dipotong kemudian cermin tingkap dikeluarkan satu persatu sehingga membolehkan badan pencuri itu masuk ke dalam rumah. Beberapa barang kemas dan wang tunai telah dilarikan. Mereka sekeluarga tidak sedar sehinggalah terjaga untuk bersahur jam 3.30 pagi.

Beliau tidak sedikit pun meratapi peristiwa tersebut malah berpendapat bahawa sama ada kita solat banyak atau tidak, peristiwa itu telah dicatat dalam dairi kita dan Tuhan ingin menguji hambanya apabila nikmat dunia ditarik balik. Tambah beliau lagi, mujur pencuri masuk sebab sudah tentu ada juga barang akan tertinggal untuk diambilnya tetapi jika berlaku kebakaran, sudah tentu tiada satu pun akan ditinggalkan malah hancur menjadi debu. Saya pun berfikir, memang ada juga kebenarannya.

Apa jua kecelakaan, musibah atau sebarang bentuk bencana yang kita hadapi sudah ditentukan oleh Allah SWT. Persoalannya, bagaimana kita melihat perkara tersebut sebagai positif dan apakah tindakan selepas kejadian itu adalah lebih penting. Maka sama-sama kita renungkan pendapat Richie Rachman, Editor Majalah Remaja yang telah menggariskan beberapa perkara tentang Be Happy!:-
1-Jangan Ada Benci. Tak kiralah sama ada pada keluarga, kawan-kawan, bos mahupun guru dan pensyarah. Perasaan benci itu akan merosakkan niat dan keikhlasan . Benci itu ibarat api dalam sekam, yang akan membangkitkan dendam dan seterusnya satu pergaduhan.

2-Jangan Bimbang. Kebimbangan tanpa sebab akan membuatkan kamu sentiasa berada dalam keadaan serba salah, cemas dan tidak tenteram.Buang perasaan demikian.

3-Hidup Secara Sederhana Adalah Tuntutan Agama Kita.Kesederhanaan adalah kunci kesempurnaan.Biarpun hidup kamu tidak kaya, tidak mewah, tidak sempurna dan tidak popular tetapi sekurang-kurangnya kamu mempunyai ketenangan hati.Itu adalah yang paling penting. Jadi, pilihlah hidup serba sederhana dan bersyukur kerana masih ramai yang lagi menderita dan sengsara di serata dunia.

4-Jangan Terlalu Mengharap.Kadang-kadang pengharapan itu akan mengecewakan kamu.Belajarlah menerima kenyataan, biarpun kecil tapi bermakna dan jangan terlalu mengharap yang besar dan terbaik yang tidak mungkin akan menjadi milik kamu.

5-Banyakkan Memberi.Terapi untuk membersihkan minda dan diri. Kepuasan orang yang memberi lebih bermakna drpd menerima.Ini termasuklah bersedekah, membantu yang memerlukand dan berjihad ke jalan Allah.

6-Sentiasa Tersenyum.Orang yang mudah menghadiahkan senyuman bererti mempunyai jiwa yang damai, niat yang baik dan jujur.Itu adalah kualiti bagi penderma senyuman.Senyuman adalah sedekah menurut punjagga.Dengan menarik otot kiri dan kanan bibir akan membuat wajah anda nampak lebih cantik dan menarik, menceriakan suasana. Maka lengkapkan penampilan anda dgn senyuman.

7-Berkawan.Setiap orang memerlukan individu lain untk saling berteman, saling memahami, saling menghormati, Pilihlah kawan yang berkongsi kesedihan ketika berduka.Selalu mengirimkan sms bertanya khabar dan carilah insan yang dikategorikan sbg good friends.

Justeru, marilah kita bergembira mengikut lunas-lunas agama dan tidak berlebih-lebihan. Ini kerana banyak perkara jika berlebih-lebihan memudaratkan tetapi berlebihan wirid dan zikir kepada Allah SWT, sudah barang tentu menambahkan keberkatan dan rezeki daripadaNya.

No comments:

Post a Comment