Monday, September 14, 2009

Islam Adalah Suatu Cara Hidup

Manusia dan agama adalah ibarat irama dan lagu, jasad dan roh. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Sejak dahulu hingga kini, walaupun di mana sahaja manusia berada pasti memerlukan agama. Mengapa? Ini jelas beragama adalah fitrah dan tabiat semula jadi yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia.

Dalam ruangan kali ini, saya ingin menyeru diri saya dan pembaca blog yang Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap. Maka dengan itu, kita sama-sama renungkan penulis Zainul Rijal Abu Bakar (seorang Peguam bela, Peguam cara dan Peguam Syarie) menulis artikel bertajuk Peraturan Islam pentingkan hubungan sesama manusia. Kenapa? Saya dan tuan/puan yang beragama Islam sudah barang tentu adalah contoh kepada mereka yang tidak beragama Islam. Jadi, sehingga kini masih terdapat golongan yang fanatik tentang Islam lalu memingkirkan orang bukan Islam. Pada hemat saya, ini tidak wajar sebab Islam itu mengajak semua mahkluk di dunia bersikap toleransi dan memupuk perpapuan tanpa mengira kaum. Tapi terdapat juga had-had yang sewajarnya kita pelihara seperti makanan halal atau haram, aurat sesama muhrim, bercakap jujur dan benar dan banyak lagi. Justeru itu, saya tampilkan artikel yang saya maksudkan untuk kita jadikan panduan bermasyarakat di Malaysia dan akhirnya mencapai hasrat Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan SATU MALAYSIA.

Masyarakat Islam adalah sebuah komuniti yang berpegang teguh kepada akidah dan ideologi yang kemudian muncul cabang seperti undang-undang, hukum, peradaban dan tata susila. Namun, ini bukan bermakna orang Islam memutuskan seluruh kehidupannya dengan orang bukan Islam sama ada di peringkat individu, tempatan mahupun antarabangsa.

Undang-undang Islam sebenarnya mementingkan hubungan sesama manusia menjangkaui batasan agama. Umat Islam menjalinkan hubungan sesama mereka dan begitu juga dengan orang bukan Islam. Dasar tetap digariskan merangkumi prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada bukan Islam. Prinsip utama dalam melayani orang bukan Islam ialah mereka hendaklah diberi layanan sama rata dengan umat Islam melainkan atas beberapa aspek saja. Pengecualian ini amat terhad dan selalunya hanya berkisar dalam perkara yang membabitkan ibadat saja.

Orang bukan Islam berhak mendapat perlindungan dalam negara Islam. Hak ini merangkumi perlindungan daripada pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam negara. Golongan bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup. Hak ini adalah hak sama yang dikecapi orang Islam. Pemerintah Islam bertanggungjawab untuk melindungi walaupun setitik darah mereka. Orang Islam di dalam negara Islam juga adalah dilarang sama sekali menyakiti orang bukan Islam atau mencerobohi diri, keluarga harta atau agama mereka sama ada melalui tangan (kekuasaan) ataupun lidah mereka. Apatah lagi umat Islam ditegah daripada membunuh mereka ini. Ini adalah disebabkan hak perlindungan yang tetap ini meliputi darah, jiwa dan tubuh mereka, begitu juga harta benda dan kemuliaan mereka.

Islam menjamin orang bukan Islam mengamalkan agama mereka. Orang bukan Islam bebas menganuti agama, kepercayaan dan beribadat mengikut agama mereka. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama Islam dan tidak akan ditekan semata-mata agar mereka memeluk Islam. Sejarah membuktikan bahawa Islam disebarkan bukan melalui mata pedang tetapi kerana keindahan dan keadilan Islam itu yang menambat hati orang bukan Islam memeluk Islam.

Orang bukan Islam juga bebas menjawat jawatan di dalam kerajaan Islam selain jawatan yang membabitkan hal keagamaan seperti ketua negara, ketua angkatan tentera, ketua hakim dan sebagainya yang mana jawatan itu membabitkan urusan agama. Dalam urusan lain tiada halangan bagi orang bukan Islam menyandang jawatan kerajaan berkenaan.

Bagi jawatan ketua negara umpamanya, jawatan pentadbiran sebuah negara Islam yang adalah negara ideologi. Maka wajar bagi orang Islam sendiri mengendalikannya, begitu juga dalam hal jawatan ketua angkatan tentera yang mana dalam Islam sebenarnya mempertahankan kedaulatan negara adalah satu ibadat. Jihad adalah kemuncak seluruh ibadat di dalam Islam.

Oleh itu dalam hal ibadat seperti ini adalah tidak wajar diserahkan kepada orang bukan Islam. Namun begitu orang bukan Islam tidak dilarang bersama-sama dengan orang Islam berjuang mempertahankan kedaulatan negara. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menjadi askar di dalam sebuah negara Islam.

Dalam hal muamalah pula orang bukan Islam mempunyai hak yang tidak boleh disangkal untuk bekerja, berniaga dan mendapat untung. Ini boleh dilakukan dengan berkongsi sesama mereka ataupun dengan orang Islam ataupun bekerja secara sendirian. Keadaan mereka dari aspek ini langsung tidak berbeza dengan keadaan orang Islam yang diberi peluang untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan bagi memajukan diri masing-masing.

Dalam Islam, umat Islam dan orang bukan Islam perlu bersaing demi untuk memajukan diri mereka sendiri. Orang bukan Islam tidak ditindas di dalam mencari kekayaan dan ini memberi peluang kepada semua rakyat bersaing dalam keadaan yang memberi keadilan kepada semua pihak.

Syariat Islam memperuntukkan hak asasi yang jelas bagi orang bukan Islam dan kebebasan ini dijamin pemerintah Islam. Adalah menjadi kesalahan bagi umat Islam sekiranya mereka melanggar ataupun mengugut untuk melanggar hak asasi orang bukan Islam. Dari aspek ini sebenarnya, syariat Islam dilihat lebih melindungi hak orang bukan Islam berbanding dengan mana-mana agama lain di dunia ini.

Masyarakat Islam secara kolektif bertanggungjawab menjalankan syariat Islam dan melaksanakan hukum yang termaktub di dalamnya termasuklah perkara berhubungan dengan hak orang bukan Islam. Sekiranya berlaku kecuaian atau penyelewengan dilakukan oleh orang Islam dan melampaui batas yang dibenarkan, maka umat Islam sendiri perlu memperbetulkan keadaan.

Syariat Islam sebenarnya sentiasa memihak kepada orang yang dizalimi atau dicerobohi termasuk bukan Islam. Pembelaan akan diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira faktor keagamaan hatta pemerintah Islam yang zalim terhadap rakyat bukan Islam boleh diambil tindakan kerana kezaliman yang dilakukan.

Hak orang bukan Islam ini sebenarnya wajib dipelihara orang Islam kerana ia tuntutan yang wajib dipatuhi setiap umat Islam. Membenarkan hak ini adalah suatu kewajipan dan menafikannya adalah suatu tegahan.

No comments:

Post a Comment