Friday, September 11, 2009

Pimpinlah Roh & Jasad

Renungkan artikel yang ditulis oleh Dr.Aminudin Mansor dalam Berita Harian (10 Sept,2009)menyebut bahawa pemimpin yang baik akan menjadi ikutan dan teladan kepada orang bawahannya. Baik percakapan, tingkah laku dan perbuatan pemimpin akan menjadi ukuran dan ikutan orang yang dipimpinnya.

Antaranya daya kepemimpinan seorang pemimpin adalah keadilan dan juga mahir dalam bidang politik dan bidang lain. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; “ Semua kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang suami pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang isteri pemimpin dan bertanggungjawab atas penggunaan harta suaminya. Seorang pembantu (pekerja) bertanggungjawab atas harta majikannya. Seorang anak bertanggungjawab atas penggunaan harta ayahnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ada juga beberapa pandangan daripada ulama antaranya Imam Al-Ghazali pernah menyatakan, seseorang yang mencintai kepemimpinan itu dapat menyebabkan dirinya menjadi munafik, pendengki, suka sombong, riak dan selalu memendam sifat yang buruk dan tercela.

Selain daripada tanggungjawab sebagai pemimpin sifat amanah juga wajar ada dalam kepemimpinan. Jika pemimpin tidak amanah seseorang yang di bawah pimpinannya akan teraniaya dan tidak mendapat faedah daripada kepimpinannya.

Ma’qil Ibnu Yasar berkata; “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin golongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pemimpin juga wajar memberikan didikan dan pimpinan yang baik kepada orang yang di bawah pimpinannya. Tindakan kontroversi yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat haruslah dielakkan oleh pemimpin.

Sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang memimpin rakyat atau orang bawahan ke jalan kebaikan dan sentiasa mendoakan kebaikan kepada orang di bawah pimpinannya dan mereka ini akan disayangi dan dicintai oleh orang yang dipimpinnya.

Sungguhpun begitu, saya menyeru agar bukan semata-mata memimpin rakyat atau orang bawahan malah mendisiplinkan hawa nafsu, roh seterusnya jasad ke jalan benar merupakan tanggungjawab yang utama. Hal ini, dapat ditunjukkan apabila individu tidak mengajak hawa nafsu, roh dan jasad mengejar apa yang disuruh oleh Allah SWT dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh agama sudah barang tentu, individu itu tidak dapat memimpin orang lain. Apabila seseorang menagih dadah maka rosaklah ketiga-tiga elemen tadi. Jadi tidak mungkin individu terlibat berupaya memimpin orang lagi sedangkan hawa nafsu rakus telah merosakkan roh dan jasad tadi. Kesimpulannya, berilah keutamaan untuk menjadikan tabiat kepada hawa nafsu untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan meningkatkan keimanan roh kepada Allah SWT seterusnya menjadikan jasad tadi kelihatan sihat dan berkat bukan hanya pada luaran malah disisi Tuhan.

Walahu 'allam

No comments:

Post a Comment