Saturday, February 27, 2010

Teladani Sifat Terpuji



Menjelang Maulidul Rasul 1431 kita sering diulang dan diingatkan kisah perjalanan Muhammad Bin Abdul Mutalib ditabalkan menjadi Rasul utusan Tuhan. Bukan itu sahaja, apa yang perlu kita contohi adalah sifat Nabi Muhammad iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia adalah ciri penting untuk mencapai kecemerlangan. Empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasikan bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif.

Pada hemat saya, apabila kita semua mencontohi dan mengamalkan sifat mulia lagi terpuji Nabi Muhammad SAW, sudah tentu banyak perkara mungkar dan jenayah di Malaysia dapat dikurangkan malah mungkin tiada langsung seperti rasuah, fitnah-menfitnah, gejala buang anak, perbuatan bunuh-membunuh dan banyak lagi. Lihatlah sifat amanah yang diberikan kepada kita sebagai seorang pekerja. Dalam waktu kerja, menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab seperti memberi tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab diberikan. Sudah tentu pencapaian dan kecemerlangan dalam pekerjaan dapat dicapai. Jika tidak, berlaku kecuaian dan akhirnya produktiviti merosot sehinggakan keseronokan dalam pekerjaan akan hilang.

Begitu juga sifat lain seperti tabligh, fatanah dan siddiq. Apabila kita jadikan amalan dan tabiat sudah tentu perkara-perkara mungkar dapat dihindarkan. Benarlah kata-kata Steven Covey dalam bukunya 7 habit, untuk menjadikan sesuatu tingkahlaku sebagai tabiat, hendaklah sentiasa diingat-ingatkan supaya menjadi sebati dan membuat kerja tanpa disuruh. Namun begitu, agama Islam menyeru umatnya sentiasa berdoa sepanjang hari. Hal ini kerana doa adalah satu-satunya menunjukkan bahawa hanya Tuhan sahaja yang berkuasa dalam banyak perkara. Soalnya cepat atau lambat, hanya Dia saja yang mengetahui. Ini dibuktikan doa dimakbulkan Tuhan , setelah 3 tahun Mohamad Lazim Yusof, 53, berdoa akhirnya dapat mendengar suara anaknya buat pertama kali pada 18 Februari 2010 yang kini berada di penjara China sebagaimana laporan Berita Harian 27 Februari 2010. Oleh itu, saya mengingatkan diri saya sendiri agar setiap selepas solat sentiasa berdoa kepada Tuhan agar hajat dimakbulkannya.

No comments:

Post a Comment