Sunday, February 14, 2010

Jagalah Lidah Kamu!

Kita telah sedia maklum bahawa lidah tidak bertulang malah kata-kata ini juga pernah kita dengar seperti kerana lidah badan binasa. Begitulah beberapa tanggapan masyarakat berkaitan dengan lidah. Justeru, saya ingin bawakan satu kisah ini supaya pembaca dapat menilai dan sentiasa berwaspada dengan kesan terhadap lidah yang tidak terkawal.

Sepasang suami isteri yang hidup penuh bahagia. Kekayaan menjadikan hidup mereka berdua lebih bermakna. Atas rasa cinta, si suami bercadang untuk mendapatkan seorang pembantua bagi meringakan tugas si isteri. Justeru itu, si suami telah bersetuju menerima pembantu rumah bagi membantu kerja-kerja rumah. Sebelum itu, agen pembantu rumah itu telah menyatakan bahawa hanya satu sifat pembantu ini tidak baik iaitu mulutnya agak berbahaya. Tapi si suami menyatakan itu bukanlah masalah besar malah yang penting dia mestilah rajin bekerja.

Pada suatu hari Si suami terpaksa outstation untuk beberapa hari. Jadi tinggallah si isteri dengan pembantu rumah. Apabila tarikh kepulangan si suami telah hampir, pembantu rumah berkata kepada puannya;

"Puan, mahukah saya berikan petua kaum saya yang akan menjadikan suami akan terus saya kepada isteri mereka?" Lalu puannya bersetuju.

"Apa yang puan perlu lakukan ialah mencukur dan mengambil janggut di bahagian bawah dagu suami puan. Puan perlu simpankan ia pada tempat yang paling tinggi dalam rumah ini. Tapi dengan syarat janggut itu mesti diambil ketika tuan sedang tidur lena,"jelas pembantu rumah itu.

Si isteri berasa sangat bertuah kerana mendapat sesuatu yang bakal mengeratkan lagi kasih sayang antara mereka suami isteri.

Apabila tuannya sudah pulang, pembantu rumah segera menyambut dan mengambil barang-barang yang dibawa. Sambil menarik tuannya ke tempat sunyi lalu berkata, "Tuan, syukurlah tuan telah pulang. Apa yang bakal saya ceritakan pasti mengejutkan tuan tetapi saya tidak boleh lagi menyimpan perkara ini sendiri melainkan bercerita dengan tuan yang pada pandangan saya sangat baik dan penyayang."

Tambahan lagi, "Sepanjang tuan bermusafir, puan sebenarnya telah berlaku curang pada tuan! Tentu sukar bagi tuan mempercayai saya kerana apa yang puan selalu tunjukkan hanyalah kebaikan." kata-kata Pembantu rumah mempertahan hujahnya.

Lalu pembantu rumah itu menyambung lagi, "beginilah..nanti apabila tuan sampai ke rumah dan tiba waktu malam, tuan jangan tidur sebaliknya cuba buat-buat seolah tidur. Perhatikan apa yang dilakukan oleh puan, saya mendengar dia merancang untuk membunuh tuan pada malam ini."

Apabila malam tiba, si suami segera memberitahu hendak tidur lebih awal kerana keletihan. Si isteri tersenyum girang, hatinya berkata, "Lebih awal lebih baik, dapat aku lakukan petua lebih cepat."

Dalam samar malam si suami melihat kilauan mata pisau tajam menghampiri lehernya. Sepantas kilat dia bingkas menjerit dan merampas pisau tajam itu dan tanpa berlengah dengan hati hancur luluh kekecewaan dia meradak pisau tersebut sekuat hati ke dada isterinya sambil menjerit, "ïni balasan untuk kasih sayang aku rupanya selama ini."

"Abang..!"jerit si isteri malang ini. tiada ruang untuknya membuat penjelasan. Darah terpercik dan melimpah pada seluruh ruang katil. Berakhirlah kisah cinta suami isteri dalam drama paling menyayat hati. Pembantu rumah keluar malam itu memanggil pihak berkuasa dan jiran tertangga. Mereka menyerbu ke rumah untuk menangkap suami yang masih menggenggam pisau dengan darah berlumuran. Akhirnya si suami pula dijatuhi hukuman mati. (diubah suai daripada buku U-turn Ke Jalan Lurus, Zul Ramli:2009)

Penulis ini meringkaskan bahawa si suami naif ini yang tidak nampak bahayanya apabila agen pembantu rumah ini tentang sifat buruk pembantu rumah iaitu lidahnya yang jahat. Ramai tidak mengetahui lidah memberikan akibat. Lidah seperti sebilah pedang, bagitu berbahaya sehingga boleh memecahkan perpaduan, menghilang rasa persaudaraan serta kasih sayang sehingga mengakibatkan peperangan dan pembunuhan.

Justeru, kita sewajarnya memikirkan bahawanya lidah maka jagalah ia sentiasa serta fikirkan akibat sebelum bercakap. Maka pilihlah percakapan berguna, gantikan dengan zikir.

Fikirkanlah firman Allah Taala yang bermaksud:
"Wahai manusia, tiada kehidupan yang baik umpama tafakur tentang Allah. Tidak ada warak umpama menahan diri daripada menyakiti sesuatu. Tidak ada kasih sayang yang lebih tinggi daripada adab. Tidak ada yang dapat menolong seperti taubat (taubatlah sebenar-benar penolong).

Tidak ada kasih yang lebih tinggi daripada adab. Tidak ada ibadah seperti ilmu. Tidak dikira sembahyang melainkan dengan rasa takut. Tidak ada kemenangan seperti sabar. Tidak ada kebahagiaan melainkan dengan taufik.

Tidak ada perhiasan yang lebih indah daripada akal. Tidak ada teman yang lebih jinak daripada kelembutan. [antara petikan Hadis Qudsi, kitab Imam al-Ghazali]

Oleh itu, pada hemah saya, banyak perkara jika kita buat berlebih-lebihan akan menjadi huru-hara dan bertambah sifat khianat dan dengki tetapi hanya dengan mengingati Allah SWT setiap saat, janji Tuhan akan memberikah rezeki tanpa disangka-sangka. Lagi banyak kita ingat Tuhan, lagi bertambah kerahmatan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Walahu allam.

No comments:

Post a Comment