Sunday, February 21, 2010

Adakah Anda Menghampiri Suruhan Tuhan?



Saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Ustaz Zahazan Mohamad bertajuk "Jauhkan Anak Daripada Maksiat." Dalam ruangan blog ini saya kemukakan antara perkara yang saya fikir sesuai untuk dikongsi bersama. Ini kerana teknik mendidik anak juga sebahagian daripada tanggungjawab saya untuk mengingatkan diri sendiri dan juga sebagai bapa yang dikurniakan anak untuk diawasi dan diuruskan sebagaimana berikut:-

1-Hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik. Keluarga yang inginkan anak berakhlak mulia perlu mempraktikkan akhlak yang mulia. Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak itu sendiri berkelakuan buruk.

2-Merangsangkan (targhib) dan menakut-nakutkan (tarhib). Kalangan cendekiawan ilmu tarbiah bersepakat bahawa memberi galakan dan memberi ganjaran adalah perkara penting dalam pendidikan apabila anak melakukan perkara-perkara yang baik. Justeru, ibu bapa atau pendidik jangan menyempitkan konsep pemberian hadiah.

3-Mencontohi dan mengikuti. Taklid nilai baik ialah mengikuti apa yang dilakukan oleh ibu bapa yang diterima oleh akal dan yang diyakini olehnya tetapi dia tidak dapat memberi dalil atas apa yang dibuatnya.

4-Memberi pengajaran (nasihat). Al-Quran menyuruh ibu bapa mendidik anak-anak dengan kasih sayang. Inilah yang kita lihat diucap oleh Nabi alaihimussalam kepada anak-anak mereka walaupun anak-anak mereka kadangkalanya derhaka dan tidak mengikuti agama yang dibawa oleh ayah mereka. Contohnya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 131 dan 132 bermaksud: "(Ingatlah ) ketika Tuhan berfirman kepadanya (Ibrahim), "Berserah dirilah (tunduk taat kepada agama)!" Dia menjawab, "Aku berserah diri kepada Tuhan seluruh alam." Dan Ibrahim berpesan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'kub: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah sudah memilih agama ini untuk kamu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim."

5-Bercerita. Cara bercerita juga mungkin boleh dilaksanakan dalam tarbiah untuk menanam sifat baik dalam diri anak. Al-Quran banyak mengandungi cerita untuk diambil pengajaran dan teladan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran."

Begitu juga kisah kalangan sahabat, sebagai contoh, ketika Abdullah bin al-Zubair berumur 12 tahun, pernah Saidina Umar lalu menghampirinya. Kanak-kanak lain yang sedang bermain dengannya bertempiaran lari kecuali Abdullah bin Zubair. Semuanya lari kerana takut dengan ketegasan Saidina Umar kecuali Abdullah yang memandang kepada Amirul Mukminin itu. Umar mengucapkan salam padanya kemudian beliau terus duduk di situ dan bermain sehingga Saidina Umar bertanya: "Kenapa kamu tidak lari seperti kawan-kawanmu?" Abdullah menjawab: "Aku bukan zalim lalu aku takut kepadamu dan jalan pun tidak sempit supaya aku beralih dan aku pun tidak buat dosa sehingga aku perlu lari." Umar gembira dengan keberanian pemuda sekecil itu dan mengusap kepala anak itu lalu berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Anak ini akan hidup dengan kehebatan."

6-Membuat perumpamaan. Antara cara pendidikan yang berjaya ialah dengan membuat perumpamaan dalam percakapan dengan anak dan dalam mendidiknya. Tidak ada syak cara ini juga ada digunakan oleh al-Quran dengan banyak sekali. Contohnya, Allah SWT membuat perumpamaan lemahnya aqidah yang batil itu seperti sarang labah-labah pada ayat 41 surah al-Ankabut yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang mengambil pelindung selain Allah SWT adalah seperti labah-labah yang membuat rumah (sarang). Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui."

Kesimpulan, apa pun yang kita hendak lakukan dan mencapainya sebenarnya kita semakin hampir menuju kepada kebenaran dan suruhan Tuhan seperti apabila kita hendak ke selatan, maka jalan yang kita akan lalui adalah untuk ke selatan dan jalan itu semakin hari semakin hampir dengan tempat yang hendak dituju. Justeru, usah risau malah yakinlah dengan janji Tuhan dan tinggalkan segala apa yang dilarang nescaya kita beroleh kebahagian dan kemenangan sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment