Wednesday, February 24, 2010

Berbakti Kepada Ibu Bapa


Saya menghadiri satu kenduri arwah di kampung. Ketika itu, terdetik dalam hati saya ingin mengetahui beberapa orang yang telah lama saya tidak jumpa. Jadi saya bertanya kepada saudara yang berada di sebelah saya. Beliau juga hampir sebaya dengan orang berkenaan. Lalu saya bertanyakan siapakan orang itu? Beliau telah bersara pegawai kerajaan. Anak-anaknya ramai dan tinggal seorang sahaja belum bekerja. Kini duduk rumah sahaja. Kemudian saya bertanya lagi. Siapa pula pakcik yang sebelahnya. Beliau juga pesara dan mempunyai 2 orang anak dan kini berniaga kedai makan.

Kemudian lalu seorang pakcik lain pula. Saya bertanya kepada saudara sebelah saya, siapa pula dia ni? Pakcik ini hanya bekerja mengurus tanah keluarga dan sepanjang hidupnya menjaga ibu bapanya ketika itu masih hidup. Kini pakcik ini mengurus dan menjaga bapa mertuanya. Saudara itu menyambung perbualannya lagi, pakcik ini baru sahaja menanggung kesemua anak-anaknya menunaikan umrah dan membelikan semua anak-anak kereta. Al maklum lah duduk bandar perlukan kereta yang kelima-lima anaknya telah bekerja.

Saya petik kata-kata Zul Ramli M. Razali (2009) dalam bukunya bertajuk U-Turn Ke Jalan Lurus menyatakan bahawa hati boleh diibaratkan seperti raja dalam kerajaan diri. Dialah pemutus kata bagi setiap keputusan. Jika begitu tinggi sekali kedudukan hati dalam proses kefahaman, amat wajar keutamaan diberikan kepada usaha bagi memastikan hati mendapat apa yang sepatutnya, iaitu pengajaran.

Berdasarkan kisah tadi, apakah pengajaran yang kita boleh ambil? Sudah tentu berbakti keapda ibu bapa adalah jaminan Tuhan kepada mereka yang dijanjikan kebahagiaan di dunia mahupun di akhir. Bayangkan betapa susahnya mengendali dan mengurus ibu bapa. Kalau mereka sihat, sudah tentu kurang masalahnya tetapi jika mereka ada penyakit kronik. Bagaimana? Jadual pemakanan ubat. Hendak disuap. Hendak dipapah dan bermacam-macam lagi kerenahnya.

Dalam ayat 23 Surah Al-Isra yang bermaksud "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripada Dia dan hendaklah kamu berbakti kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sampai berumur lanjut pemeliharaanmu..."

Bukan itu sahaja, Allah SWT menjelaskan bahawa perbuatan menyakiti hati ibu bapa walaupun hanya sekelumit perkataan äh , sudah cukup membuat mereka merasa tersinggungh. Ini ditegaskan oleh Ibnu Umar meriwayatkan bahawa "orang yang membuat ibu bapanya bersedih, dianggap satu penderhakaan, Dosa besar pertama adalah mensyirikkan Allah dan yang kedua menderhaka kepada kedua-dua orang tua."

Malah terdapat juga galakkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud, "sesiapa yang ingin dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, hendaklah berbakti kepada kedua-dua orang tuanya." Justeru, sesiapa sahaja termasuk diri saya agar tidak bakhil menyerahkan duit belanja kepada kedua-dua orang tua. Oleh itu, kita sama-sama mengambil pengajaran Si Tanggang yang derhaka kepada orang tuanya.

No comments:

Post a Comment