Thursday, March 25, 2010

Rehat seketika di pusat jualan Tomok, Pulau Samosir



Pemandangan Danau Toba dari Air Terjun Sipisopiso

Sarapan pagi di Danau Toba International Cottage, Parapat


Dalam feri dari Parapat ke Pulau Samosir


Selepas menaiki beca bermotosikal di Banda Medan


Kecoh! kerenah anak-anak pertama kali berada di luar negara.


Cuti sekolah selalunya ibu bapa akan memikirkan ke mana hendak membawa anak-anak bercuti. Inilah kesempatan kepada keluarga untuk bergembira. Ada setengah pendapat, musim cuti sekolah adalah masa berkualiti yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa dan anak-anak. Oleh itu, dikesempatan ini, saya bersama anak-anak pergi bercuti di Sumatera Utara iaitu Danau Toba.


Penerbangan dari Terminal Tambang Murah (LCCT) ke lapangan terbang Polonia di Medan mengambil masa 50 minit. Saya bersyukur pada waktu itu, cuaca sangat menarik dan tiadagangguan penerbangan jadi tiba di Banda Medan cepat 5 minit seperti yang dijadualkan.

Setibanya di Banda Medan, kami dibawa ke kedai makan 24 jam milik penuh pengusaha Muslim. Lokasinya di belakang Hotel Madani. Hotel ini juga menjadi tempat penginapan kami untuk semalam sebelum berangkat ke Parapat dan Brastagi. Uniknya hotel ini adalah berhadapan dengan Masjid Negeri. Masjid ini adalah masjid kebanggaan orang-orang di Medan.


Keesokan harinya, bermulalah perjalanan ke Danau Toba. Seperti di Malaysia, banyak juga ladang kelapa sawit ditanam. Semakin lama menempuh perjalanan, semakin terasa kedinginan tanah tinggi. Kami berehat di Restoran Garuda Siatar untuk makan tengahari. Selepas 35 minit berhenti, kami meneruskan perjalanan ke Danau Toba.

Kami menginap di Danau Toba International Cottage Hotel. Hotel ini terletak dipinggir pantai dan di kaki bukit, terasa dinginnya walhal pada ketika itu, jam 4.30 petang. Sejuk juga.
Kami menginap dan makan malam di situ. Dari hotel, indah sekali pemandangan Danau Toba. Oleh kerana, saya tidak bawa pakaian mandi maka kami keluar berjalan untuk membeli pakaian mandi. Kira-kira 300 meter dari tempat penginapan kami. Yang letihnya apabila pulang dari berbelanja kerana terpaksa menaiki bukit.

Jam 8.00 pagi kami bersarapan. Pada pendapat saya inilah saat yang sangat indah apabila dapat menikmati suasana pagi dan dingin di Danau Toba. Keajaiban Tuhan ciptakan gunung, bukit, hutan hijau dan dalam Danau Toba terdapat pulau iaitu Pulau Samosir yang didiami oleh orang-orang Batak.

Eksplorasi diteruskan dengan menaiki feri dari Parapat ke Pulau Samosir. Kira-kira 45 minit perjalanan untuk sampai ke pulau itu. Kami mengunjungi perkampungan tradisi orang Batak. Di sana melihat sendiri rumah tradisi Batak yang sehingga kini masih didiami. Suasana pagi di sini terasa dingin dan kicauan burung nyata menghangatkan suasana di pulau ini. Kemudian kami menaiki feri ke perkampungan Tomok yang juga tempat kesan peninggalan Batak.

Kembaraan diteruskan menuju Brastagi. Kami singgah di kawasan Air Terjun Sipiso-Piso yang berketinggian lebih 100 meter. Dari kawasan air terjun ini juga jelas kelihatan bahagian utara Danau Toba yang begitu indah. Di Brastagi kami menginap semalam dan suasana malamnya lebih dingin sedikit berbanding di Parapat. Lihatlah di Brastagi, aktiviti utama adalah menanam sayur-sayuran seperti lobak, kobis, kekacang dan banyak lagi.

Setelah mengunjungi keindahan dan kedamaian Danau Toba, rasa tenang sekali. Inilah nikmat yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia yang mengerti tentang keajaiban alam dan sudah tentu menjadi tarikan tiada bandingan andainya khazanah alam ini dipelihara malah menjadi tempat mencari pendapat kepada golongan setempat.


Tuesday, March 2, 2010

Kelebihan Pada Diri Adalah Tanggungjawab


Kita sering mendengar kisah Qarun yang mempunyai harta kekayaan. Apakah Qarun bersyukur terhadap kekayaan yang melimpah ruah? Apa pula nilai yang dipegang oleh Qarun? Bagaimana pula reaksi Qarun terhadap orang yang meminta pertolongan? Kekayaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Sulaiman juga tidak kurang hebatnya. Persoalannya yang mana satukah nilai yang sewajarnya kita pegang?

Qarun sebelum itu adalah seorang yang susah dalam hidupnya sehinggalah beliau datang kepada Nabi Musa mengadu tentang kesusuhan hidupnya. Apabila Nabi Musa berdoa kepada Tuhan dan permohonan itu dimakbulkan. Sedikit modal diberikan bersama sekalung harapan juga doa.

Qarun tekun bekerja dan bangkit dengan bersemangat. Apa yang diusahakan tidak sia-sia, kerja kerasnya kian menampakkan hasil sehinggalah perniagaannya berkembang pesat sehingga terbina empayar sendiri. Simpanan dan kekayaannya begitu banyak sehingga beliau sendiri pun tidak mampu untuk menghitungnya.

Kehidupannya sama sekali berubah, gaya dan lagaknya mengikut sama. Qarun memiliki segala-galanya, beliau berada di puncak dunia! Apabila Nabi Musa mengutus utusan kepada Qarun bagi meminta bantuan. Qarun dengan penuh bongkak mengusir keluar utusan ini. Qarun terpesona dengan dirinya sendiri, nafas bongkaknya ketara sekali.

Kita renungkan pula, kisah Nabi Sulaiman juga memiliki kekayaan yang tidak terhitung. Tetapi setiap kali bertambah baginya kekayaan, dengan penuh keredhaan beliau berkata, "ini kelebihaan dariapda Tuhan Ku bagi menguji Ku. Adakah aku bersyukur atau kufur?"

Oleh itu, apabila diberikan kepada kelebihan seperti kepandaian, kekayaan harta, kecantikan, kekuatan atau apa saja, seseorang itu boleh jadi seperti Qarun atau Nabi Sulaiman. Jadi, kita sewajarnya berfikir, adakah kita memilih untuk memegang watak hero sepanjang zaman atau seorang penyangak sepanjang zaman? Nilai apakah yang kita pegang?

Cuba kita fikirkan kisah Spiderman berpegang pada suatu nilai menarik. Kelebihan luar biasa yang ada padanya, dia mampu bergayut-gayut di kota New York menggunakan jaring ajaib, merangkak pada dinding bagunan pencakar langit, terkenal dengan kekuatan dan kepantasan yang tiada tandingannya. Dia mempunyai kelebihan melampau. Apakah nilai yang dipegangnya?

Dia berpegang pada prinsip, "with the great power comes great responsibility." Dia sedar kenapa dia mempunyai kelebihan. Untuk memikul lebih tanggungjawab. Jadi, kelebihan tidak menjadikan seseorang itu bangga diri, malah sedar kelebihan itu adalah anugerah dan sumbangan yang perlu dikembalikan kepada masyarakat.

Saturday, February 27, 2010

Teladani Sifat Terpuji



Menjelang Maulidul Rasul 1431 kita sering diulang dan diingatkan kisah perjalanan Muhammad Bin Abdul Mutalib ditabalkan menjadi Rasul utusan Tuhan. Bukan itu sahaja, apa yang perlu kita contohi adalah sifat Nabi Muhammad iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia adalah ciri penting untuk mencapai kecemerlangan. Empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasikan bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif.

Pada hemat saya, apabila kita semua mencontohi dan mengamalkan sifat mulia lagi terpuji Nabi Muhammad SAW, sudah tentu banyak perkara mungkar dan jenayah di Malaysia dapat dikurangkan malah mungkin tiada langsung seperti rasuah, fitnah-menfitnah, gejala buang anak, perbuatan bunuh-membunuh dan banyak lagi. Lihatlah sifat amanah yang diberikan kepada kita sebagai seorang pekerja. Dalam waktu kerja, menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab seperti memberi tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab diberikan. Sudah tentu pencapaian dan kecemerlangan dalam pekerjaan dapat dicapai. Jika tidak, berlaku kecuaian dan akhirnya produktiviti merosot sehinggakan keseronokan dalam pekerjaan akan hilang.

Begitu juga sifat lain seperti tabligh, fatanah dan siddiq. Apabila kita jadikan amalan dan tabiat sudah tentu perkara-perkara mungkar dapat dihindarkan. Benarlah kata-kata Steven Covey dalam bukunya 7 habit, untuk menjadikan sesuatu tingkahlaku sebagai tabiat, hendaklah sentiasa diingat-ingatkan supaya menjadi sebati dan membuat kerja tanpa disuruh. Namun begitu, agama Islam menyeru umatnya sentiasa berdoa sepanjang hari. Hal ini kerana doa adalah satu-satunya menunjukkan bahawa hanya Tuhan sahaja yang berkuasa dalam banyak perkara. Soalnya cepat atau lambat, hanya Dia saja yang mengetahui. Ini dibuktikan doa dimakbulkan Tuhan , setelah 3 tahun Mohamad Lazim Yusof, 53, berdoa akhirnya dapat mendengar suara anaknya buat pertama kali pada 18 Februari 2010 yang kini berada di penjara China sebagaimana laporan Berita Harian 27 Februari 2010. Oleh itu, saya mengingatkan diri saya sendiri agar setiap selepas solat sentiasa berdoa kepada Tuhan agar hajat dimakbulkannya.

Wednesday, February 24, 2010

Berbakti Kepada Ibu Bapa


Saya menghadiri satu kenduri arwah di kampung. Ketika itu, terdetik dalam hati saya ingin mengetahui beberapa orang yang telah lama saya tidak jumpa. Jadi saya bertanya kepada saudara yang berada di sebelah saya. Beliau juga hampir sebaya dengan orang berkenaan. Lalu saya bertanyakan siapakan orang itu? Beliau telah bersara pegawai kerajaan. Anak-anaknya ramai dan tinggal seorang sahaja belum bekerja. Kini duduk rumah sahaja. Kemudian saya bertanya lagi. Siapa pula pakcik yang sebelahnya. Beliau juga pesara dan mempunyai 2 orang anak dan kini berniaga kedai makan.

Kemudian lalu seorang pakcik lain pula. Saya bertanya kepada saudara sebelah saya, siapa pula dia ni? Pakcik ini hanya bekerja mengurus tanah keluarga dan sepanjang hidupnya menjaga ibu bapanya ketika itu masih hidup. Kini pakcik ini mengurus dan menjaga bapa mertuanya. Saudara itu menyambung perbualannya lagi, pakcik ini baru sahaja menanggung kesemua anak-anaknya menunaikan umrah dan membelikan semua anak-anak kereta. Al maklum lah duduk bandar perlukan kereta yang kelima-lima anaknya telah bekerja.

Saya petik kata-kata Zul Ramli M. Razali (2009) dalam bukunya bertajuk U-Turn Ke Jalan Lurus menyatakan bahawa hati boleh diibaratkan seperti raja dalam kerajaan diri. Dialah pemutus kata bagi setiap keputusan. Jika begitu tinggi sekali kedudukan hati dalam proses kefahaman, amat wajar keutamaan diberikan kepada usaha bagi memastikan hati mendapat apa yang sepatutnya, iaitu pengajaran.

Berdasarkan kisah tadi, apakah pengajaran yang kita boleh ambil? Sudah tentu berbakti keapda ibu bapa adalah jaminan Tuhan kepada mereka yang dijanjikan kebahagiaan di dunia mahupun di akhir. Bayangkan betapa susahnya mengendali dan mengurus ibu bapa. Kalau mereka sihat, sudah tentu kurang masalahnya tetapi jika mereka ada penyakit kronik. Bagaimana? Jadual pemakanan ubat. Hendak disuap. Hendak dipapah dan bermacam-macam lagi kerenahnya.

Dalam ayat 23 Surah Al-Isra yang bermaksud "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripada Dia dan hendaklah kamu berbakti kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sampai berumur lanjut pemeliharaanmu..."

Bukan itu sahaja, Allah SWT menjelaskan bahawa perbuatan menyakiti hati ibu bapa walaupun hanya sekelumit perkataan äh , sudah cukup membuat mereka merasa tersinggungh. Ini ditegaskan oleh Ibnu Umar meriwayatkan bahawa "orang yang membuat ibu bapanya bersedih, dianggap satu penderhakaan, Dosa besar pertama adalah mensyirikkan Allah dan yang kedua menderhaka kepada kedua-dua orang tua."

Malah terdapat juga galakkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud, "sesiapa yang ingin dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, hendaklah berbakti kepada kedua-dua orang tuanya." Justeru, sesiapa sahaja termasuk diri saya agar tidak bakhil menyerahkan duit belanja kepada kedua-dua orang tua. Oleh itu, kita sama-sama mengambil pengajaran Si Tanggang yang derhaka kepada orang tuanya.

Tuesday, February 23, 2010

Adakah Anda Mendengar & Bertindak?


Umumnya kita mudah mendengar. Persoalannya adakah memang anda mendengar? Perkara ini telah menjadi amalan setengah organisasi besar yang mengutamakan pelanggannya. Banyak organisasi juga mengamalkan strategi mendengar keluhan dan rungutan pelanggan. Namun sekadar mendengar tanpa sebarang tindakan, adakah itu dikatakan mendengar? Meletakkan kotak cadangan memanglah strategi untuk mendapatkan maklumbalas pelanggan tetapi berapa cepat pelanggan dimaklumkan tentang rungutan itu? Adakah rungutan itu dimaklumkan tindakan selanjutnya?

Cuba kita renungkan beberapa organisasi terkemuka seperti Toyota. Baru-baru ini pihak Toyota telah menarik balik beberapa model kereta yang telah berada di pasaran untuk diperbaiki beberapa masalah dalam kenderaan tersebut. Begitu juga Honda telah berbuat demikian hasil daripada maklumbalas pelanggannya tentang beberapa bahagian kenderaan terlibat tidak selamat digunakan dan mengambil dan memanggil semula kenderaan berkenaan untuk diperbaiki.

Perkara yang sama telah berlaku kepada IKEA. Apabila peralatan permainannya didapati seorang pelanggannya telah menggunakan dan berlaku kecederaan. Selepas insiden itu, semua barangan permainan tersebut diminta untuk dikembalikan dan dilarang untuk dijual dalam gudangnya. Bayangkanlah betapa prihatinnya syarikat berkenaan terhadap maklumbalas pelanggannya. Justeru adakah cukup kita hanya mendengar saja rungutan dan cadangan oleh pelanggan? Bagaimana pula dengan tindakan seterusnya?

Bagaimana pula dengan kita, sekiranya pelanggan mengadu masalah kepada syarikat? Malah kita sering memberi jawapan menyalahkan pihak lain terlebih dahulu. Kita tidak menganalisis masalah itu terlebih dahulu. Adakan perbincangan kepada semua bahagian. Seterusnya menyenaraikan alternatif ke atas cadangan itu. Kita boleh lihat organisasi terkemuka menyelesaikan maklumbalas pelanggannya dalam buku Disney Way karangan Bill Capodaqli & Lynn Jackson (2006) dan Toyota Way ditulis oleh Jeffrey Liker & David Meier (2004). Banyak lagi buku berkaitan yang dapat membantu menyelesaikan maklumbalas pelanggan secara maksimum.

Jelaslah bahawa Feedback is a Food of Champion yang ditulis oleh Ron Kaufman. Namun sekadar adanya peti cadangan atau seumpamanya belum menjamin kepuasan pelanggan yang akhirnya klien inginkan keputusan selepas sebarang rungutan yang dikemukakan. Jadi lebih baik ada pelanggan yang merungut tentang perkhidmatan yang diterima daripada pelanggan yang berdiam diri lalu pergi dan tidak membeli langsung.

Monday, February 22, 2010

Susah Tapi Boleh!



Dalam surah Al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud, "Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri." Ayat ini menjelaskan bahawa kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua pekerjaan yang diredhai oleh Allah. Namun begitu, agama Islam tidak menghalalkan cara untuk mencapai segala impian. Justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap individu melakukan apa saja yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Islam.

Apabila saya membaca beberapa kegiatan yang dilakukan oleh penceramah Azizan Osman yang dahulunya beliau tidak pernah terfikir akan perkara itu boleh dilakukan tapi dibuktikan yang beliau boleh buat seperti "Para-sailing". Aktiviti ini, beliau digantung kepada payung terjun dan sebuah bot akan menarik ke atas berlegar-legar di ruang udara. Rupa-rupanya beliau menjadikan pengalaman itu adalah seronok. Wal hal, beliau sangat takut dengan sukan lasak malah beliau diselubungi dengan ketakutan tentang aktiviti lasak. Setelah mencubanya, ketakutan itu hilang sedikit demi sedikit.

Pada hemat saya, banyak perkara kita takut dan ini adalah normal bagi seseorang manusia. Jika tiada perasaan takut, saya fikir banyak perkara dalam dunia ini menjadi huru-hara dan akhirnya aktiviti perniagaan sukan lasak menjadi suram kerana semua orang boleh buat. Justeru dengan adanya perasaan ini, banyak pula peralatan keselamatan dicipta dan juga pegawai keselamatan sukan lasak ada juga gaji diperoleh.

Apa yang saya ingin sampaikan bahawa banyak perkara sebenarnya adalah susah terlebih dahulu sebelum ianya menjadi mudah dan akhirnya menjadikan kita seroanok untuk dilakukan seperti juga solat 5 waktu. Lihatlah sejarah solat, begitu susah manusia untuk mengamalkannya tetapi apabila sedikit demi sedikit malah menjadi senang dan tenang. Kemudian diikut solat tengah malam dan seterusnya lain-lain solat sunat.
Justeru itu, benarlah kata Dharma Mulya dalam bukunya bertajuk "Susah Tapi Boleh." Ini kerana banyak perkara adalah susah dalam kota fikir kita tetapi sikap tidak mahu mencuba menjadikan ianya tidak dilakukan dan keenggannya menerima ganjaran selepas menghadapi kesukaran juga faktor tidak mencuba sebagaimana kata Ainon Abdullah, orang berjaya adalah mereka menangguhkan nikmat masa sekarang untuk mendapat nikmat masa hadapan. Maka dengan itu, kita sama-sama fikirkan nikmat yang mana satukan anda ingin miliki?

Sunday, February 21, 2010

Adakah Anda Menghampiri Suruhan Tuhan?



Saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Ustaz Zahazan Mohamad bertajuk "Jauhkan Anak Daripada Maksiat." Dalam ruangan blog ini saya kemukakan antara perkara yang saya fikir sesuai untuk dikongsi bersama. Ini kerana teknik mendidik anak juga sebahagian daripada tanggungjawab saya untuk mengingatkan diri sendiri dan juga sebagai bapa yang dikurniakan anak untuk diawasi dan diuruskan sebagaimana berikut:-

1-Hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik. Keluarga yang inginkan anak berakhlak mulia perlu mempraktikkan akhlak yang mulia. Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak itu sendiri berkelakuan buruk.

2-Merangsangkan (targhib) dan menakut-nakutkan (tarhib). Kalangan cendekiawan ilmu tarbiah bersepakat bahawa memberi galakan dan memberi ganjaran adalah perkara penting dalam pendidikan apabila anak melakukan perkara-perkara yang baik. Justeru, ibu bapa atau pendidik jangan menyempitkan konsep pemberian hadiah.

3-Mencontohi dan mengikuti. Taklid nilai baik ialah mengikuti apa yang dilakukan oleh ibu bapa yang diterima oleh akal dan yang diyakini olehnya tetapi dia tidak dapat memberi dalil atas apa yang dibuatnya.

4-Memberi pengajaran (nasihat). Al-Quran menyuruh ibu bapa mendidik anak-anak dengan kasih sayang. Inilah yang kita lihat diucap oleh Nabi alaihimussalam kepada anak-anak mereka walaupun anak-anak mereka kadangkalanya derhaka dan tidak mengikuti agama yang dibawa oleh ayah mereka. Contohnya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 131 dan 132 bermaksud: "(Ingatlah ) ketika Tuhan berfirman kepadanya (Ibrahim), "Berserah dirilah (tunduk taat kepada agama)!" Dia menjawab, "Aku berserah diri kepada Tuhan seluruh alam." Dan Ibrahim berpesan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'kub: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah sudah memilih agama ini untuk kamu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim."

5-Bercerita. Cara bercerita juga mungkin boleh dilaksanakan dalam tarbiah untuk menanam sifat baik dalam diri anak. Al-Quran banyak mengandungi cerita untuk diambil pengajaran dan teladan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran."

Begitu juga kisah kalangan sahabat, sebagai contoh, ketika Abdullah bin al-Zubair berumur 12 tahun, pernah Saidina Umar lalu menghampirinya. Kanak-kanak lain yang sedang bermain dengannya bertempiaran lari kecuali Abdullah bin Zubair. Semuanya lari kerana takut dengan ketegasan Saidina Umar kecuali Abdullah yang memandang kepada Amirul Mukminin itu. Umar mengucapkan salam padanya kemudian beliau terus duduk di situ dan bermain sehingga Saidina Umar bertanya: "Kenapa kamu tidak lari seperti kawan-kawanmu?" Abdullah menjawab: "Aku bukan zalim lalu aku takut kepadamu dan jalan pun tidak sempit supaya aku beralih dan aku pun tidak buat dosa sehingga aku perlu lari." Umar gembira dengan keberanian pemuda sekecil itu dan mengusap kepala anak itu lalu berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Anak ini akan hidup dengan kehebatan."

6-Membuat perumpamaan. Antara cara pendidikan yang berjaya ialah dengan membuat perumpamaan dalam percakapan dengan anak dan dalam mendidiknya. Tidak ada syak cara ini juga ada digunakan oleh al-Quran dengan banyak sekali. Contohnya, Allah SWT membuat perumpamaan lemahnya aqidah yang batil itu seperti sarang labah-labah pada ayat 41 surah al-Ankabut yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang mengambil pelindung selain Allah SWT adalah seperti labah-labah yang membuat rumah (sarang). Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui."

Kesimpulan, apa pun yang kita hendak lakukan dan mencapainya sebenarnya kita semakin hampir menuju kepada kebenaran dan suruhan Tuhan seperti apabila kita hendak ke selatan, maka jalan yang kita akan lalui adalah untuk ke selatan dan jalan itu semakin hari semakin hampir dengan tempat yang hendak dituju. Justeru, usah risau malah yakinlah dengan janji Tuhan dan tinggalkan segala apa yang dilarang nescaya kita beroleh kebahagian dan kemenangan sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.