Monday, February 22, 2010

Susah Tapi Boleh!



Dalam surah Al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud, "Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri." Ayat ini menjelaskan bahawa kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua pekerjaan yang diredhai oleh Allah. Namun begitu, agama Islam tidak menghalalkan cara untuk mencapai segala impian. Justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap individu melakukan apa saja yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Islam.

Apabila saya membaca beberapa kegiatan yang dilakukan oleh penceramah Azizan Osman yang dahulunya beliau tidak pernah terfikir akan perkara itu boleh dilakukan tapi dibuktikan yang beliau boleh buat seperti "Para-sailing". Aktiviti ini, beliau digantung kepada payung terjun dan sebuah bot akan menarik ke atas berlegar-legar di ruang udara. Rupa-rupanya beliau menjadikan pengalaman itu adalah seronok. Wal hal, beliau sangat takut dengan sukan lasak malah beliau diselubungi dengan ketakutan tentang aktiviti lasak. Setelah mencubanya, ketakutan itu hilang sedikit demi sedikit.

Pada hemat saya, banyak perkara kita takut dan ini adalah normal bagi seseorang manusia. Jika tiada perasaan takut, saya fikir banyak perkara dalam dunia ini menjadi huru-hara dan akhirnya aktiviti perniagaan sukan lasak menjadi suram kerana semua orang boleh buat. Justeru dengan adanya perasaan ini, banyak pula peralatan keselamatan dicipta dan juga pegawai keselamatan sukan lasak ada juga gaji diperoleh.

Apa yang saya ingin sampaikan bahawa banyak perkara sebenarnya adalah susah terlebih dahulu sebelum ianya menjadi mudah dan akhirnya menjadikan kita seroanok untuk dilakukan seperti juga solat 5 waktu. Lihatlah sejarah solat, begitu susah manusia untuk mengamalkannya tetapi apabila sedikit demi sedikit malah menjadi senang dan tenang. Kemudian diikut solat tengah malam dan seterusnya lain-lain solat sunat.
Justeru itu, benarlah kata Dharma Mulya dalam bukunya bertajuk "Susah Tapi Boleh." Ini kerana banyak perkara adalah susah dalam kota fikir kita tetapi sikap tidak mahu mencuba menjadikan ianya tidak dilakukan dan keenggannya menerima ganjaran selepas menghadapi kesukaran juga faktor tidak mencuba sebagaimana kata Ainon Abdullah, orang berjaya adalah mereka menangguhkan nikmat masa sekarang untuk mendapat nikmat masa hadapan. Maka dengan itu, kita sama-sama fikirkan nikmat yang mana satukan anda ingin miliki?

Sunday, February 21, 2010

Adakah Anda Menghampiri Suruhan Tuhan?



Saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Ustaz Zahazan Mohamad bertajuk "Jauhkan Anak Daripada Maksiat." Dalam ruangan blog ini saya kemukakan antara perkara yang saya fikir sesuai untuk dikongsi bersama. Ini kerana teknik mendidik anak juga sebahagian daripada tanggungjawab saya untuk mengingatkan diri sendiri dan juga sebagai bapa yang dikurniakan anak untuk diawasi dan diuruskan sebagaimana berikut:-

1-Hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik. Keluarga yang inginkan anak berakhlak mulia perlu mempraktikkan akhlak yang mulia. Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak itu sendiri berkelakuan buruk.

2-Merangsangkan (targhib) dan menakut-nakutkan (tarhib). Kalangan cendekiawan ilmu tarbiah bersepakat bahawa memberi galakan dan memberi ganjaran adalah perkara penting dalam pendidikan apabila anak melakukan perkara-perkara yang baik. Justeru, ibu bapa atau pendidik jangan menyempitkan konsep pemberian hadiah.

3-Mencontohi dan mengikuti. Taklid nilai baik ialah mengikuti apa yang dilakukan oleh ibu bapa yang diterima oleh akal dan yang diyakini olehnya tetapi dia tidak dapat memberi dalil atas apa yang dibuatnya.

4-Memberi pengajaran (nasihat). Al-Quran menyuruh ibu bapa mendidik anak-anak dengan kasih sayang. Inilah yang kita lihat diucap oleh Nabi alaihimussalam kepada anak-anak mereka walaupun anak-anak mereka kadangkalanya derhaka dan tidak mengikuti agama yang dibawa oleh ayah mereka. Contohnya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 131 dan 132 bermaksud: "(Ingatlah ) ketika Tuhan berfirman kepadanya (Ibrahim), "Berserah dirilah (tunduk taat kepada agama)!" Dia menjawab, "Aku berserah diri kepada Tuhan seluruh alam." Dan Ibrahim berpesan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'kub: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah sudah memilih agama ini untuk kamu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim."

5-Bercerita. Cara bercerita juga mungkin boleh dilaksanakan dalam tarbiah untuk menanam sifat baik dalam diri anak. Al-Quran banyak mengandungi cerita untuk diambil pengajaran dan teladan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran."

Begitu juga kisah kalangan sahabat, sebagai contoh, ketika Abdullah bin al-Zubair berumur 12 tahun, pernah Saidina Umar lalu menghampirinya. Kanak-kanak lain yang sedang bermain dengannya bertempiaran lari kecuali Abdullah bin Zubair. Semuanya lari kerana takut dengan ketegasan Saidina Umar kecuali Abdullah yang memandang kepada Amirul Mukminin itu. Umar mengucapkan salam padanya kemudian beliau terus duduk di situ dan bermain sehingga Saidina Umar bertanya: "Kenapa kamu tidak lari seperti kawan-kawanmu?" Abdullah menjawab: "Aku bukan zalim lalu aku takut kepadamu dan jalan pun tidak sempit supaya aku beralih dan aku pun tidak buat dosa sehingga aku perlu lari." Umar gembira dengan keberanian pemuda sekecil itu dan mengusap kepala anak itu lalu berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Anak ini akan hidup dengan kehebatan."

6-Membuat perumpamaan. Antara cara pendidikan yang berjaya ialah dengan membuat perumpamaan dalam percakapan dengan anak dan dalam mendidiknya. Tidak ada syak cara ini juga ada digunakan oleh al-Quran dengan banyak sekali. Contohnya, Allah SWT membuat perumpamaan lemahnya aqidah yang batil itu seperti sarang labah-labah pada ayat 41 surah al-Ankabut yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang mengambil pelindung selain Allah SWT adalah seperti labah-labah yang membuat rumah (sarang). Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui."

Kesimpulan, apa pun yang kita hendak lakukan dan mencapainya sebenarnya kita semakin hampir menuju kepada kebenaran dan suruhan Tuhan seperti apabila kita hendak ke selatan, maka jalan yang kita akan lalui adalah untuk ke selatan dan jalan itu semakin hari semakin hampir dengan tempat yang hendak dituju. Justeru, usah risau malah yakinlah dengan janji Tuhan dan tinggalkan segala apa yang dilarang nescaya kita beroleh kebahagian dan kemenangan sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.

Saturday, February 20, 2010

Bagaimana Untuk Jadi Sihat

Baru-baru ini saya menonton cerita pendek yang disiarkan dalam Channel 5 Media Corp milik stesen penyiaran Singapura berkaitan langkah-langkah untuk menjadi badan kelihatan anggun. Setengah individu mengambil langkah mudah dengan membeli pil-pil menguruskan badan atau krim kecantikan wajah tanpa mendapat nasihat oleh pakar kesihatan terlebih dahulu. Apabila mengambil pil atau krim kecantikan hanya semata-mata bergantung kepada preskrip pada botol atau iklan sahaja tidak mencukupi. Justeru, adalah wajar mendapat nasihat daripada doktor perubatan atau pengamal kesihatan yang bertauliah adalah digalakkan agar pengambilan ubat-ubatan mahupun aktiviti yang dilakukan tidak mencederakan otot badan.

Menurut penulis Mona Ahmad (BH,19 Feb 2010) telah mencadangkan beberapa cara gaya hidup yang sihat agar mampu mengekalkan keremajaan.

1-Amalkan pengambilan makanan secara seimbang dan teratur .

2-Elakkan obesiti dengan mengambil makanan rendah lemak dan lebihkan sayur-sayuran serta buah-buahan berserat tinggi seperti lobak emas, jambu batu dan nanas.

3-Pengambilan makanan tambahan seperti vitamin E. Ini kerana vitamin E dapat melambatkan penuaan di samping melindungi kemusnahan sel-sel kesihatan.

4-Herba juga dikatakan boleh membantu pengaliran darah. Antara herba yang popular adalah bawang putih, ginseng dan lada hitam yang didakwa dapat mencegah selsema.

5-Senaman berterusan boleh meningkatkan ketahanan fizikal dan mental.Ini kerana senaman juga dapat mengurangkan tekanan, mengawal tahap gula serta meningkatkan sistem imuniti. Namun begitu, saya berpendapat terdapat juga kajian mendapati mereka yang bersenam secara berterusan bukan sahaja sihat tubuh badan malah penyakit juga dapat dihindarkan. Ini dibuktikan oleh pelumba berbasikal dunia Lance Amstrong yang mengidap kancer. Bukan itu sahaja, Dr Pat Harper dan Richard Laliberte dalam bukunya Change One (2004) telah menggariskan program aktiviti hanya bermula 10-15 minit setiap hari dengan bersenam boleh membantu sistem imunisasi badan.

6-Tidur yang mencukupi juga dapat menguatkan daya ingatan di samping minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.

7-Amalan membaca Al-Quran setiap hari bagi umat Islam. Amalan ini telah banyak dibuktikan oleh mereka yang mengamalkannya malah mereka ini antara yang dipanjangkan umurnya (yang diredhai oleh Allah). Saya berpendapat, banyak juga solat yang dapat membantu badan kita jadi sihat. Antaranya solat Tahajud telah dibuktikan mempunyai korelasi antara pelaksanaan solat Tahajud dengan keadaan kesihatan tubuh badan. Bagi mendapatkan penjelasan terperinci bagaimana dan apakah kajian oleh beberapa universiti di Indonesia tentang solat Tahajud, boleh memiliki buku Terapi Solat Tahajud yang ditulis Dr Mohammad Salleh (2009).

Akhir sekali, lakukan sebarang aktiviti mengikut kemampuan individu. Kemampuan bukan hanya tahap keupayaan melaksanakan aktiviti malah juga keupayaan untuk membelanjakan sejumlah wang tertentu agar ianya tidak berlebihan dan tidak mengikut-ikut apa orang lain buat dan beli semata-mata.

Sunday, February 14, 2010

Jagalah Lidah Kamu!

Kita telah sedia maklum bahawa lidah tidak bertulang malah kata-kata ini juga pernah kita dengar seperti kerana lidah badan binasa. Begitulah beberapa tanggapan masyarakat berkaitan dengan lidah. Justeru, saya ingin bawakan satu kisah ini supaya pembaca dapat menilai dan sentiasa berwaspada dengan kesan terhadap lidah yang tidak terkawal.

Sepasang suami isteri yang hidup penuh bahagia. Kekayaan menjadikan hidup mereka berdua lebih bermakna. Atas rasa cinta, si suami bercadang untuk mendapatkan seorang pembantua bagi meringakan tugas si isteri. Justeru itu, si suami telah bersetuju menerima pembantu rumah bagi membantu kerja-kerja rumah. Sebelum itu, agen pembantu rumah itu telah menyatakan bahawa hanya satu sifat pembantu ini tidak baik iaitu mulutnya agak berbahaya. Tapi si suami menyatakan itu bukanlah masalah besar malah yang penting dia mestilah rajin bekerja.

Pada suatu hari Si suami terpaksa outstation untuk beberapa hari. Jadi tinggallah si isteri dengan pembantu rumah. Apabila tarikh kepulangan si suami telah hampir, pembantu rumah berkata kepada puannya;

"Puan, mahukah saya berikan petua kaum saya yang akan menjadikan suami akan terus saya kepada isteri mereka?" Lalu puannya bersetuju.

"Apa yang puan perlu lakukan ialah mencukur dan mengambil janggut di bahagian bawah dagu suami puan. Puan perlu simpankan ia pada tempat yang paling tinggi dalam rumah ini. Tapi dengan syarat janggut itu mesti diambil ketika tuan sedang tidur lena,"jelas pembantu rumah itu.

Si isteri berasa sangat bertuah kerana mendapat sesuatu yang bakal mengeratkan lagi kasih sayang antara mereka suami isteri.

Apabila tuannya sudah pulang, pembantu rumah segera menyambut dan mengambil barang-barang yang dibawa. Sambil menarik tuannya ke tempat sunyi lalu berkata, "Tuan, syukurlah tuan telah pulang. Apa yang bakal saya ceritakan pasti mengejutkan tuan tetapi saya tidak boleh lagi menyimpan perkara ini sendiri melainkan bercerita dengan tuan yang pada pandangan saya sangat baik dan penyayang."

Tambahan lagi, "Sepanjang tuan bermusafir, puan sebenarnya telah berlaku curang pada tuan! Tentu sukar bagi tuan mempercayai saya kerana apa yang puan selalu tunjukkan hanyalah kebaikan." kata-kata Pembantu rumah mempertahan hujahnya.

Lalu pembantu rumah itu menyambung lagi, "beginilah..nanti apabila tuan sampai ke rumah dan tiba waktu malam, tuan jangan tidur sebaliknya cuba buat-buat seolah tidur. Perhatikan apa yang dilakukan oleh puan, saya mendengar dia merancang untuk membunuh tuan pada malam ini."

Apabila malam tiba, si suami segera memberitahu hendak tidur lebih awal kerana keletihan. Si isteri tersenyum girang, hatinya berkata, "Lebih awal lebih baik, dapat aku lakukan petua lebih cepat."

Dalam samar malam si suami melihat kilauan mata pisau tajam menghampiri lehernya. Sepantas kilat dia bingkas menjerit dan merampas pisau tajam itu dan tanpa berlengah dengan hati hancur luluh kekecewaan dia meradak pisau tersebut sekuat hati ke dada isterinya sambil menjerit, "ïni balasan untuk kasih sayang aku rupanya selama ini."

"Abang..!"jerit si isteri malang ini. tiada ruang untuknya membuat penjelasan. Darah terpercik dan melimpah pada seluruh ruang katil. Berakhirlah kisah cinta suami isteri dalam drama paling menyayat hati. Pembantu rumah keluar malam itu memanggil pihak berkuasa dan jiran tertangga. Mereka menyerbu ke rumah untuk menangkap suami yang masih menggenggam pisau dengan darah berlumuran. Akhirnya si suami pula dijatuhi hukuman mati. (diubah suai daripada buku U-turn Ke Jalan Lurus, Zul Ramli:2009)

Penulis ini meringkaskan bahawa si suami naif ini yang tidak nampak bahayanya apabila agen pembantu rumah ini tentang sifat buruk pembantu rumah iaitu lidahnya yang jahat. Ramai tidak mengetahui lidah memberikan akibat. Lidah seperti sebilah pedang, bagitu berbahaya sehingga boleh memecahkan perpaduan, menghilang rasa persaudaraan serta kasih sayang sehingga mengakibatkan peperangan dan pembunuhan.

Justeru, kita sewajarnya memikirkan bahawanya lidah maka jagalah ia sentiasa serta fikirkan akibat sebelum bercakap. Maka pilihlah percakapan berguna, gantikan dengan zikir.

Fikirkanlah firman Allah Taala yang bermaksud:
"Wahai manusia, tiada kehidupan yang baik umpama tafakur tentang Allah. Tidak ada warak umpama menahan diri daripada menyakiti sesuatu. Tidak ada kasih sayang yang lebih tinggi daripada adab. Tidak ada yang dapat menolong seperti taubat (taubatlah sebenar-benar penolong).

Tidak ada kasih yang lebih tinggi daripada adab. Tidak ada ibadah seperti ilmu. Tidak dikira sembahyang melainkan dengan rasa takut. Tidak ada kemenangan seperti sabar. Tidak ada kebahagiaan melainkan dengan taufik.

Tidak ada perhiasan yang lebih indah daripada akal. Tidak ada teman yang lebih jinak daripada kelembutan. [antara petikan Hadis Qudsi, kitab Imam al-Ghazali]

Oleh itu, pada hemah saya, banyak perkara jika kita buat berlebih-lebihan akan menjadi huru-hara dan bertambah sifat khianat dan dengki tetapi hanya dengan mengingati Allah SWT setiap saat, janji Tuhan akan memberikah rezeki tanpa disangka-sangka. Lagi banyak kita ingat Tuhan, lagi bertambah kerahmatan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Walahu allam.

Wednesday, January 27, 2010

Berundur Setapak Maju Dua Tapak

Australian Open(AO) yang kini sedang berlangsung pertandingan tenis dunia di Melbourne, Australia. Pengacara AO mendedahkan beberapa pemain tenis terhandal dunia telah kecundang seperti Rafeal Nadal (ranking ke-2) dan yang masih meneruskan perjuangan Roger Federer(ranking 1) sedang memasukki separuh akhir. Apa yang menarik perhatian saya adalah R.Federer telah kalah pada game pertama dan kemudian menang pada game kedua dan seterusnya sehinggalah beliau melangkah ke pusingan separuh hari. Kejayaan yang sama diikuti oleh pemain tidak ternama seperti N.Li dan Jie Zheng. Kedua-dua pemain ini juga telah kecundang pada game pertama dan berjaya menang game kedua sehinggalah tamat.

Saya ingin berkongsi pandangan bahawa kita sewajarnya bersikap optimis dan melihat kegagalan pertama sebagai titik permulaan untuk maju mengikut apa yang kita sasarkan. Begitu juga pandangan Maznah Hamid dalam bukunya bertajuk "Motivasi Memburu Kejayaan" menekankan bahawa kita seharusnya mula mencabar potensi diri kita sendiri, yakni mencabar kesempurnaan diri kita dan malulah pada diri kita sendiri yang dilahirkan dengan segala sifat-sifat kesempurnaan tetapi tidak mencabar kesempurnaan kita!

Dr.Walter Doyle Staples (1998) dalam bukunya bertajuk Think Like A Winner menjelaskan bahawa semangat dan keazaman tidak memadai seperti "Saya seorang yang disukai, berfikiran positif. Saya yakin kepada diri sendiri." Beliau menambah lagi, memikirkan kecemerlangan adalah berfikir seperti juara dan kecemerlangan itu ditafsirkan sebagai kerja yang dibuat kerana minat. Jadi, dengan minat itu, inilah kejayaan pertama kedua-dua pemain tenis daripada China berjaya maju sehingga ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan tenis dunia. Sama-sama kita nantikan mampukah kedua-dua pemain China berjaya merangkul Australian Open yang berakhir pada 31 Januari 2010. Inilah kejayaan mereka yang maju ke separuh akhir mereka kalah pada permulaan permainan tetapi mengatur strategi dan cekal memperbaiki kesilapan sehinggalah tamat permainan. Jika saya boleh katakan mereka seolah-olah berundur setapak kemudian maju dua tapak seterusnya dan menang.

Saturday, January 9, 2010

Kenalpasti Transaksi Kad Kredit

Umumnya sesiapa sahaja yang bekerja di Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Begitu juga saya, kira-kira baru sahaja bekerja 3 tahun telah memiliki satu kad kredit. Saya ingin berkongsi pengalaman ketika memiliki kad kredit.

Peristiwa 6 orang pelajar Malaysia menjadi Hacker dan telah menggunakan kad kredit orang ramai hanya melalui urusniaga dalam internet. Antara urusniaga tersebut adalah milik kad kredit saya. Apabila saya semak dan memaklumkan kpd syarikat kad kredit yang saya tidak pernah ke luar negara membuat sebarang urusan. Semakan urusniaga tersebut berlaku di London menggunakan pound sterling. Syarikat kad kredit mengambil masa 2 bulan membuat siasatan dan akhirnya membayar semula gantirugi kepada saya. Oleh itu, saya ingin menyarankan beberapa langkah untuk mengelak fraud kad kredit seperti berikut:-

1-Sila teliti semua butir-butir pada urusniaga sebelum menandatangani atau mengesahkan setiap urus niaga yang dibuat.

2-Simpan semua slip urus niaga dan bandingkan dengan penyata kad kredit anda sebaik sahaja diterima.

3-Maklumkan pengeluar kad kredit anda dengan serta-merta jika terdapat sebarang kesilapan atau kemungkinan berlaku urus niaga tanpa kebenaran berhubung dengan kad kredit dan diikuti oleh laporan bertulis.

4-Tidak sesuka hati mendedahkan butir-butir kad kredit kpd orang yang tidak dikenali.

Sungguhpun begitu, urus niaga melalui internet bukannya tidak boleh dilakukan langsung tetapi harusnya berurus niagalah dengan syarikat yang benar-benar dipercayai seperti Amazon.com

Friday, January 1, 2010

Perginya 2009 Datanglah 2010



Setiap benda yang hidup pasti menghadapi mati. Begitu juga setiap bermula, ada penghujungnya dan tahun 2009 telah pergi maka datang 2010. Setiap tahun baru muncul, bermula individu sehinggalah kumpulan pentadbiran negara mengkaji dan menilai apakah perkara yang telah dirancang 2009 telah dilaksanakan dan berapa pula faedahnya yang diterima. Begitu juga muncul tahun baru 2010, apakah pula rancangan dan faedah baru akan diterima. Di samping itu, menilai tindakan dan rancangan 2009 yang belum dilaksanakan untuk dibuat pada tahun 2010.

Maka dengan itu, Tuhan jadikan setiap perkara ada pasangannya seperti ada lelaki ada perempuan, ada syurga ada neraka, ada pahala ada dosa dan macam-macam lagi. Jadi tahun 2009 tidak lari daripada perkara berikut:

Ada yang membenci, ada yang menyayangi;

Ada yang kita tangguhkan kerja, ada juga yang kita buat bersungguh-sungguh;

Ada perkara kita menuding jari, ada juga kita menghulurkan tangan;

Ada perkara kita mempersoalkan setiap jawapan, ada juga kita jawab setiap persoalan;

Ada juga kita tidak mahu mengalah, ada juga kita sentiasa menawan hati;

Ada perkara kita lihat hanya satu warna kulit, ada juga kita tidak mengenal warna kulit;

Ada juga berbangga dengan satu bangsa, ada pula berbangga jadi bangsa manusia.

Oleh itu, tahun 2010 adalah wajar kita sama-sama fikirkan bahawa bukan mencari persoalan dan perbandingan antara kita malah kita sewajarnya belajar dari tahun 2009 untuk mencapai kecemerlangan di dalam ketidaksempurnaan. Sesungguhnya kesempuranaan adalah milik Allah S.W.T.