Thursday, July 23, 2009

Pokok Pangkalnya Hati

Satu kisah yang berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW. Apabila seorang lelaki bertanya kepada Nabi, "Ya, Rasulullah, siapakah manusia terbaik?" Nabi menjawab, "Mereka adalah orang mukmin yang berhati makhmum." Orang itu bertanya lagi, "Apakah hati makhmum itu?" Nabi bersabda yang bermaksud, "Ia adalah hati yang bertakwa lagi bersih yang tidak ada dalamnya penipuan, sikap melampaui batas, tipu daya, khianat dan hasad."

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim menjelaskan Nabi bersabda, "Tidak berjalan Omar di suatu lorong melainkan syaitan memilih jalan lain (supaya tidak bertembung dengan Omar)." Kisah Omar menunjukkan perasaan gerun Syaitan terhadap kecemerlangan takwa yang wujud dalam hati Omar.

Kisah lain menunjukkan Allah mengilhamkan kepada hati itu pelbagai ilmu dan petunjuk. Antara ilham yang mungkin terhasil adalah firasat mukmin. Menurut Imam Tirmizi, nabi bersabda, "Takutlah kamu dengan firasat mukmin kerana sesungguhnya dia melihat dengan nur Allah.

Ini digambarkan, apabila Anas bin Malik terpandang seorang wanita dan terpegun dengan kecantikannya. Kemudian beliau bertemu dengan Uthman bin Affan. Lalu Uthman berkata, "Telah masuk ke majlisku seorang lelaki yang terdapat di matanya tanda-tanda zina." Anas terkejut dengan perkataan Uthman dan terus bertanya, "Adakah masih ada wahyu selepas Nabi?" Jawab Uthman, "Tidak, tetapi yang ada adalah mata hati dan firasat yang benar." Oleh yang demikian, bentuk-bentuk ilham yang dianugerahkan Allah merupakan mereka yang mempunyai hati yang bersih.

Justeru itu, kita seharusnya mengenali sifat hati supaya hati kita tergolong dalam hati yang cemerlang. Jadi, Imam Ghazali telah menggariskan empat sifat hati iaitu:-

1-Sifat buas
2-Sifat binatang
3-Sifat syaitan
4-Sifat tuhan.

Pendedahan ini membantu diri saya dan juga para pembaca mengetahui serta berfikir seketika sebelum melakukan sesuatu dengan bertanya, "apakah kelakuan ku ini mempunyai sifat hati yang mana satu?"

Apabila hati dikuasai perasaan marah, maka sudah pasti melahirkan sifat buas seumpama binatang buas. Pada masa itu, lahir sifat suka bermusuhan, bersengketa, menyerang dan memaki hamun. Ini ditunjukkan kepada kaum nabi Ibrahim selepas beliau menyampaikan risalah Allah kepada mereka. Dalam surah al-Anbiya ayat 68 Allah berfirman yang bermaksud, "Mereka (kaum nabi Ibrahim) berkata, bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu jika kamu benar-benar hendak bertindak." Pada masa itu, kaum nabi Ibrahim bersikap buas tanpa dapat dikawal.

Apabila hati manusia dikuasai nafsu syahwat pula, lahirlah sifat binatang. Ketika ini terserlah kerakusan, ketamakan, keangkuhan dan sifat mementingkan diri. Sifat-sifat ini yang menguasai Qarun sebelum ini seperti mana yang dinyatakan Allah dalam surah Al-Qasas ayat 78 yang bermaksud,"Qarun berkata, sesungguhnya akau diberikan hata kerana ilmu yang aku miliki. Apakah dia tidak mengetahui bahawa Allah telah membinasakan umat-umat sebelumnya sedangkan mereka lebih kuat dan lebih banyak menghimpun harta daripadanya." Jelas menunjukkan bahawa manusia seumpama ini berkedudukan seperti binatang yang sesat. Nafsu syahwat dalam diri mereka menutup pemikiran serta hati sehingga menjadi buta daripada kebenaran.

Bayangkan sifat-sifat syaitan menguasai hati, semua kehebatan ini disalahgunakan oleh manusia. Ketika itu, berlaku tipu daya dan putar belit sebagai landasan hidup bagi memperoleh kemuliaan dan kehebatan diri. Maka Allah berfirman dengan maksudnya, "Sesungguhnya Firaun berbuat sewenang-wenang di muka bumi. Dia menjadikan penduduknya berpecah belah dengan cara menindas sebahagian drpd mereka. Dia juga membunuh anak-anak mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk dalam golongan yang melakukan kerosakan."

Firaun memiliki kuasa, hebat dan merdeka. Semua ini adalah sifat-sifat ketuhanan yang baik. Namun begitu, sifat-sifat syaitan lebih menguasai dirinya, segala kelebihan yang dimiliki digunakan ke arah kemungkaran.

Lihat pula, sifat-sifat terpuji ini terus menerus bersinar, hati berada di atas landasan kebenaran. Ketika ini, hati boleh diumpamakan seperti cermin yang cemerlang cahaya dan sinarannya disebabkan ia tidak diselimuti dengan debu. Hati yang bersih seumpama ini mampu mengilhamkan nasihat dan petunjuk kepada manusia.

Sabda Nabi yang bermaksud,"Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang, Dia menjadikan bagi orang itu penasihat di hatinya." Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Mansur. Hal ini menunjukkan apabila hati sentiasa mengingati Allah dan pada masa yang sama ketenangan dan ketenteraman terhasil. Allah berfirman dalam surah ar-Ra'd ayat 28 yang bermaksud, "Ketahuilah dengan mengingati Allah sajalah hati akan tenang."

Kesimpulannya, apabila hati dikuasai sifat-sifat buas, binatang dan syaitan maka seperti cermin yang diselaputi wap pernafasan. Semakin kukuh individu menguasai sifat-sifat ini, semakin pudar cahaya dan sinaran di hati sehingga akhirnya menjadi gelap dan hitam.

Walahu a'llam

No comments:

Post a Comment