Sunday, July 12, 2009

Bermulalah Perubahan Ikut Kemampuan

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'd:11)

Setiap hari kita berhadapan dengan perubahan. Berubah dari negatif kepada perubahan yang bersifat positif. Apa yang pasti, perubahan merupakan satu keperluan kerana perubahan adalah suatu tuntutan hidup. Jadi setiap orang Islam perlu ada semangat dan cita-cita untuk berubah.

Persoalannya, apakah hijrah yang mendapat keredhaan Allah? Marzulina Omar dalam artikelnya bertajuk "Hijrah:Pengorbanan untuk Perubahan." menjelaskan bahawa terdapat empat bentuk hijrah yang diredhai Allah:-

1-Hijrah dalam persoalan aqidah.
Sebagai contoh mengubah aqidah syrikik kepada tauhid, mengubah sikap mendewa-dewakan manusia kepada mengagungkan Allah SWT.

2-Hijrah dalam persoalan ekonomi.
Mengubah punca rezeki yang haram kepada punca rezei yang halal bagi menyara diri dan keluarga.

3-Hijrah dalam persoalan sosial.
Mengubah perpecahan kepada keamanan dan kerjasama, penindasan kepada pembelaan dan seumpamanya.

4-Hijrah dalam persoalan akhlak.
Umpamanya berubah daripada perbuatan buruk dan keji kepada akhlak yang mulia dan terpuji. Jadi hijrah akhlak adalah berkaitan dengan hijrah hati dan minda yang perlu dibersihkan, dididik, digilap dan dijaga sentiasa kerana hati adalah rohaniah bagi seseorang Muslim/Muslimah.

Bagaimana pula hubungan hijrah dengan iman? Hakikatnya, tiada ujian tiadalah iman. Maka iman akan diuji sama ada dengan kedudukan, harta dan kekayaan, keseronokan, kesenangan dan kemewahan dan juga akan teruji dengan hawa nafsu dan keindahan dunia yang bersifat sementara.

Oleh itu, hijrah akan menguji sejauh mana tahap pergorbanan seseorang individu tersebut terhadap agamanya kerana hijrah bukan dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya tetapi memerlukan sifat sabar, sanggup berjihad dan menerima apa jua rintangan dan cubaan yang melanda serta sanggup berkorban jiwa, harta mahupun keluarga. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 218 bermaksud, "Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) mereka inilah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani."

Namun begitu, perubahan itu jangalah sekadar melepaskan batuk di tangga. Bila merasa bosan kita kembali ke asal semula. Jadi hijrah memerlukan kesungguhan dan niat yang betul sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesiapa yang berhijrah semata-mata kerana taat kepada Allah dan RasulNya, maka hijrah itu adalah kerana Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan duniawi yang dikejarnya atau kerana perempuan yang akan dinikahinya, maka hijrahnya terhenti kepada apa yang ia niatkan itu." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Walau apa pun hijrah yang anda ingin buat, pada pendapat saya bermulalah dengan sedikit-sedikit kerana "to start not to be great but to be great have to start". Ini sesuai dengan saranan Dr.Rusly Abdullah menyatakan bahawa biar kecil asalkan berhasil berbanding besar bubar.Antara intipati buku Jutawan Senyap adalah bermulalah dengan apa yang ada..berniagalah tanpa perlu berhutang. Berjiwa besarlah bukan berhati besar. Dekatkanlah diri dengan Tuhan dan fahamilah jiwa sendiri dan ambillah iktibar daripada mereka yang telah berjaya. Justeru dalam agama Islam juga menjadi amalan sunat apabila kita menuruti ciri-ciri hijrah oleh Rasulullah SAW.

Walahu a'allam

No comments:

Post a Comment