Saturday, July 11, 2009

Berubahlah Seiring Dgn Perkembangan Semasa

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melonggarkan Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing(FIC) dan mewujudkan model ekonomi baru yang akan dilaksanakan oleh Malaysia adalah antara perubahan aktiviti yang difikirkan untuk merancakkan kegiatan ekonomi khusus untuk rakyat Malaysia amnya kepada masyarakat seluruh dunia.

Persoalannya mengapakah perubahan di atas perlu? Prof Datuk Dr Zaini Ujang dalam penulisannya bertajuk Ekonomi Berteras Kreativiti, Inovasi berpendapat bahawa pertama kerana model ekonomi terdahulu tidak lagi mampu menyediakan momentum baru kepada kemajuan ekonomi negara sekarang. Kedua kerana strategi dan pendekatan baru adalah seiring untuk menangani iklim ekonomi semasa dan ketiga adalah kerana model baru ekonomi negara maju mengalami perubahan daripada industri konvensional kepada industri lestari (BH, 10 Julai 2009:hlm 37).

Walau apa pun alasan, pada hemat saya, perubahan amat wajar dilakukan kerana how to get extraordinary result with ordinary action! Jadi banyak bukti yang telah ditunjukkan terhadap mereka yang berubah untuk mencapai hasil yang luar biasa. Perubahan dalam dunia perniagaan seperti Unilever, Indofood, Lion Air dan Air Asia, masing-masing membawa perubahan dan muncul sebagai pemain-pemain baru yang mengancam kedudukan pemain-pemain lama. Dr. Rhenald Kasali dalam bukunya bertajuk Change! menggambarkan wajah pemain-pemain lama seperti bola yang separuh kempis akibat asakan daripada pemain-pemain baru.

Fikirkan sejenak organisasi seperti Johor Corporation suatu ketika dulu mengalami kedudukan kewangan yang tenat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim telah melakukan banyak perubahan bermula perubahan minda kepada anggota pekerjanya sehinggalah penstrukturan semula syarikat dalam kumpulan Johor Corporation dan seterusnya meningkatkan budaya kerja ke arah pencapaian syarikat. Kini Johor Corporation telah keluar daripada zon tenat malah boleh berbangga dengan banyak pencapaian yang diperoleh seperti kejayaan memiliki KFC dan Pizza Hut (Malaysia) malah mereka optimis untuk bergerak seiring dengan syarikat gergasi di dunia.

Lihat usaha pemimpin perubahan, nasib negara dan bangsa menjadi semakin baik. Ketika Lee Kuan Yew, Singapuraa yang hanya mempunyai keluasan sebesar padang bola berubah menjadi wilayah perdagangan dan pelaburan yang sibuk. Di Finland, pemerintah ketika tahun 80an telah mengubah aktiviti utama negara tersebut kepada memperbanyakkan Research and Development malah peruntukan besar iaitu melebih satu pertiga belanjawan kerajaan ke atas aktviti R&D. Akhirnya, ekonomi Finland berkembang maju malah menjadikan negara tersebut disegani di kalangan negara jiran mereka Sweden.

Persoalannya, adakah pembaharuan selalu membawa perubahan? Walaupun sesuatu perubahan itu dinantikan dan diharapkan membawa kehidupan baru yang lebih baik, ternyata tidak semua perubahan berjaya membawa hasil yang diharapkan. Namun begitu, kita juga perlu fikirkan halangan terhadap perubahan. Oleh itu, Dr. Rhenald Kasali (2008) telah menggariskan beberapa batasan menjadikan sesuatu perubahan itu tidak berjaya sebagaimana berikut:-

1-Pemimpin yang tidak kuat
Tanpa kekuatan kepimpinan, perubahan tidak mempunyai tenaga bagi melaksanakan perubahan itu. Pemimpin yang kuat tidak bererti kepimpinannya kuku besi. Pemimpin yang kuat bermaksud pemimpin yang memiliki kewibawaan, bersih, berilmu, dipercayai dan jelas arah tujuannya.

2-Salah melihat reformasi
Reformasi sering dianggap sebagai menyusun semula organisasi iaitu mengubah bentuk organisasi. Tujuan perubahan sebenar adalah mengubah manusia, bukan mengubah organisasi. Apabila manusia tidak berubah, organisasi tidak mungkin berubah.

3-Sabotaj di tengah jalan
Perubahan sentiasa menghadapi halangan khususnya dari mereka yang khuatir kehilangan kenikmatan yang mereka dapat selama ini. Orang-orang seperti ini mencuba melakukan pelbagai perkara dalam usaha mereka hendak mensabotaj perubahan yang hendak dilaksanakan.

4-Komunikasi yang lemah.
Perubahan menuntut adanya komunikasi yang baik dan lancar dari pemimpin ke pekerja dan begitu juga sebaliknya. Maklumat, baik yang formal mahupun tidak formal perlu disampaikan secara berkesan kepada semua orang. Oleh sebab itu, sistem penyampaian maklumat yang baik perlu diwujudkan bagi memastikan semua orang mendapat maklumat dengan tepat. Apabila maklumat tidak sampai ke sasarannya, orang menjadi keliru dan tidak faham apa yang sedang berlaku.

5-Masyarkat yang tidak menyokong.
Perubahan memerlukan sokongan daripada masyarakat. Apabila pemimpin perubahan tidak menerima sokongan yang padu, kemungkinan besar perubahan tidak berjaya dilakukan. Sokongan masyarakat ini tidak sama dengan komen ataupun ucapan daripda penganalisis. Jadi sokongan yang diperlukan adalah yang melibatkan tindakan dan kesanggupan orang ramai bekerja ke arah mencapai perubahan itu.

6-Proses perubahan tidak berjalan lancar.
Perubahan perlu menjadi agenda semua komponen organisasi. Suatu perubahan yang baik mesti dirasakan oleh semua orang sebagai hak milik mereka. Jadi proses yang hanya dimiliki oleh pemimpin sahaja, tidak mempunyai tenaga hendak bergerak.

Maka saya berpendapat bahawa batasan di atas adalah wajar dipertimbangkan oleh sesiapa sahaja yang merancang untuk melakukan perubahan dalam organisasi sama ada besar mahupun kecil. Ini seiring dengan pendapat George Bernard Shaw, "Kemajuan mustahil dicapai tanpa perubahan dan mereka yang enggan mengubah fikiran mereka tidak boleh mengubah sesuatu apa pun."

No comments:

Post a Comment