Tuesday, June 2, 2009

Ilmu Bukan Sekadar Untuk Popular

Ilmu pemangkin kemajuan bangsa adalah suatu
kenyataan benar. Ini dijelaskan dalam laman
blog Dr Norhani Bakri. Namun sebenarnya ilmu
lebih daripada itu sekiranya kita hendak
mengupasnya.

Sebuah hadis daripada Muhammad Bin Abdullah
yang bermaksud, "Sesiapa sahaja yang mahukan
kebahagiaan di dunia, ia dapat diperoleh dengan
ilmu. Sesiapa yang mahukan kebahagiaan akhirat
juga dengan ilmu dan sesiapa yang mahukan
kebahagiaan kedua-duanya (dunia dan akhirat)juga
dengan ilmu." Jelas menggambarkan bahawa tingginya
ilmu dan kepentingan ilmu pada manusia. Malah
orang zaman purba sekali pun tetap mahukan ilmu.
Contohnya ilmu memasak bagi mendapatkan api untuk
menyediakan masakan dan minuman.

Renungkan pendapat Dr.Fadzilah Kamsah, ilmu sahaja
mampu mengubah hidup individu daripada mundur kepada
keadaan lebih maju dan secara langsung membantu
mengangkat martabat dan kedudukan individu.

Surah al-Mujadalah:11 bermaksud,"..Allah meninggikan
darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan
orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan daripada
kalangan kamu beberapa darjat. Dan Allah Maha Mendalam
Pengetahuan Nya tentang apa yang kamu lakukan." Jadi,
dalam Agama Islam sendiri memuliakan mereka yang
berusaha untuk menambah dan meningkatkan ilmu pengetahuan.
Malah janji Tuhan bahawa mereka diberikan ganjaran pahala
apa lagi jika ilmu itu diamalkan seterusnya mereka yang
menerima mengamalkannya pula. Sungguh besar ganjaran kepada
mereka yang menyebarkan ilmu pengetahuan.

Namun jangan kita megah dengan ilmu yang tinggi
melangit sahaja tetapi tidak diamalkan. Justeru
benarlah kata-kata Imam al-Ghazali berpesan bahawa
individu itu tidak dikatakan terpelajar selagi
belum nampak ilmu yang dimiliki memberi kesan kepada
kehidupan bangsanya. Ayuh! sebarkanlah ilmu tuan-tuan
dan puan-puan. Tidak kedekut menyampaikannya.

No comments:

Post a Comment