Monday, December 21, 2009

Kajian Terhadap Perkahwinan Baik Untuk Kesihatan Mental

Cuti persekolahan di Malaysia pada bulan November dan Disember sering dikaitkan dengan percutian bersama keluarga sama ada dalam negara mahupun luar negara. Namun begitu, majlis perkahwinan juga mendapat perhatian oleh mereka yang ingin mendirikan rumahtangga. Dalam kesempatan cuti sekolah, ibu bapa sibuk mengadakan kenduri kendara untuk majlis perkahwinan.

Perkahwinan dalam Islam dikaitkan sebagai satu ibadah. Oleh itu, hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh SaƔd bin Abi Waqqah R.A bermaksud;

"Nafkah apa pun yang engkau berikan dengan harapan memperoleh keredhaan Allah, pasti engkau akan mendapat pahalanya, bahkan apa saja yang engkau suapkan ke mulut isterimu."

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa apabila berkahwin dan mereka berniat hendak menjaga kesucian diri daripada perbuatan yang diharamkan Allah (berzina) dan berniat menambah jumlah umat Nabi Muhammad SAW dengan kelahiran anak-anak soleh dan menjadi pendakwah agama Islam serta memperjuangkan prinsip-prinsip Islam maka dianggap sebagai ibadah.

Sungguhpun begitu, perkahwinan bukan hanya tuntutan agama semata-mata. Justeru terdapat beberapa kebaikan terutama kesihatan mental yang dibuktikan oleh beberapa kajian oleh masyarakat Barat.

Kajian di Universiti Otaga, New Zealand menunjukkan bahawa pasangan yang berkahwin kurang berisiko menghidap kemurungan, kebimbangan mahupun penyalahgunaan bahan terlarang seperti ubat, alkohol dan dadah.(BM, 20 Dis,2009:11)

Penyelidikan berkenaan menunjukkan hubungan perkahwinan menawarkan banyak manfaat kepada kesihatan lelaki dan wanita. Hal ini dapat dilihat situasi kepada pasangan yang berpisah lebih mudah mengalami kemurungan yang membawa kepada penyalahgunaan dadah di kalangan lelaki dan penyalahgunaan alkohol dalam kalangan wanita.

Di samping itu, wanita yang mengandung atau yang mempunyai anak kecil juga dilihat lebih mudah mengelak diri daripada menyalahguna bahan berbahaya berbanding mereka yang tidak berkahwin.

Maka berkahwin atau memiliki pasangan hidup bukan sekadar bersuka-ria serta menunjuk kepada rakan taulan yang anda memiliki pasangan tercantik di dunia. Hal ini adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah serta suatu cara untuk beribadah.

Thursday, October 22, 2009

Cegah Penyakit Berjangkit Sebelum Melancong


Umum mengetahui bahawa penyakit Influenza A diperoleh daripada mereka pergi melancong ke negara yang terlibat. Namun sebenarnya penyakit Influenza A ini bukanlah hanya penyakit ini sahaja yang dibawa oleh pelancong berkenaan tetapi terdapat banyak lagi penyakit pembawaan daripada negara lain akan diterima oleh pelancong berkenaan. Justeru saya ingin berkongsi maklumat bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai hobi melancong ke luar negara mempunyai kecenderungan memperoleh penyakit lain.

Perkara ini dijelaskan oleh Dekan Fakulti Sains Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa, Prof Yasmin Abdul Malik, berkata pengembara digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor mengenai langkah yang perlu diambil untuk melindungi diri sebaik-baiknya sebulan sebelum memulakan perjalanan.

Pengembara atau mereka yang ingin melancong perlu sedar bahawa penyakit lazimnya tersebar mengikut kawasan dan kajian menunjukkan penyakit yang paling mudah menular adalah Hepatitis A (HAV) dan B (HBV), demam tifoid, influenza serta meningokokal, maka vaksin diperlukan sebagai bantuan pencegahan.

“Hepatitis A terdiri daripada kumpulan endemik bagi negara yang kebersihannya tidak terjaga dan mudah dijangkiti oleh kanak-kanak yang tinggal di tempat yang kotor. Penyakit ini bagaimanapun jarang sekali menular secara tiba-tiba berbanding influenza,”
katanya ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Pengembara anjuran GlaxoSmithKline (GSK) Malaysia (BH, 22 Okt 2009:ms19).

Selain itu, kempen tersebut telah menyenaraikan beberapa jenis penyakit serta gejalanya yang sering dibawa oleh pengembara:
Hepatitis A (HAV):
Jangkitan yang disebabkan oleh virus HAV yang menjejaskan hati. Boleh mendatangkan radang dan mengganggu fungsi hati.

Gejala penyakit - Demam, penat, loya dan muntah, air kencing berwarna gelap, demam kuning dan sakit sendi.

Hepatitis B (HBV):
Jangkitan hati yang berpotensi membawa maut disebabkan virus HAB.

Gejala penyakit - Demam, kepenatan, seram sejuk, sakit kepala, muntah, sakit otot dan sendi.

Influenza:
Wabak yang bermusim dan disebabkan oleh virus yang menjangkiti saluran pernafasan.

Gejala penyakit - Demam panas, batuk, sakit tekak dan kepala, mata merah dan berair serta penat dan lemah.

Demam Kepialu:
Demam panas yang teruk disebabkan bakteria Salmonellstyphi dan dijangkiti dengan sentuhan serta orang yang mempunyai masalah pernafasan.

Gejala penyakit - Demam panas berterusan, cirit-birit, kepenatan, sakit kepala. otot dan sendi.

Meningokokal:
Mampu menyebabkan kematian disebabkan bakteria Neisseriamegningitidis yang boleh menjejaskan otak serta saraf tunjang akibat keracunan darah.

Gejala Penyakit - Sakit tekak, sakit anggota dan sendi, leher kejang, muntah, tidak suka cahaya terang, mengantuk.

Namun begitu, apakah pula persediaan bagi mereka yang ingin meneruskan perjalanan melancong ke luar negara?

Bagi mengatasi penyakit HAV daripada dijangkiti pengembara, mereka digalakkan mengambil vaksin yang tidak aktif (larut dalam air) sebanyak dua suntikan antara sifar hingga enam bulan dan ia mampu memberi perlindungan dalam lingkungan 10 tahun,

Tambahan lagi, digalakkan untuk mengambil vaksin seperti yang dicadangkan berikutan influenza boleh menyebabkan jangkitan bakteria sekunder terutama pada kanak-kanak dan orang yang berpenyakit kronik. Jika keadaan semakin teruk, ia boleh mendatangkan kematian kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang rendah.

Jadi, mereka yang masih ingin meneruskan hasrat ke luar negara maka langkah awal adalah mendapatkan nasihat oleh Doktor perubatan yang berhampiran dengan anda. Hal ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko penyakit terbabit berjangkit. Malah mendapatkan maklumat semasa keadaan negara yang terlibat seperti keadaan cuaca mahupun pergolakan politik serta kestabilan ekonomi.

Wednesday, October 21, 2009

Khasiat Buah Pisang


Panduan ini telah saya terima daripada seorang rakan sekerja. Mungkin khasiat buah pisang ada kebenarannya. Justeru itu, saya ingin berkongsi bersama-sama pembaca blog ini berhubung kebaikan buah pisang. Adalah disyorkan tidak sekali-kali menyimpan pisang dalam peti sejuk. Lepas baca anda semua pasti akan pandang tinggi pada buah pisang. Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi - sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan.

Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

Tekanan:
Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mud dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

PMS:
Lupakan pil-pil hospital - makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mud anda.

Anemia:
Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi:
Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi - garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda:
Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert).

Penghadaman:
Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.

Keletihan:
Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung:
Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi:
Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan Nyamuk:
Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.

Saraf:
Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.

Obesiti dan Tekanan Kerja:
Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang.

Ulser:
Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu:
Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool).

Seasonal Affective Disorder (SAD):
Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mud kita.

Ketagihan Rokok & Tembakau:
Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh.

Stres:
Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh. Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

Strok:
Mengikut kajian dalam buku ‘The New England Journal of Medicine‘, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Lain-lain Penyakit Kulit:
Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.
Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati.

Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, “Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!”

Saturday, October 10, 2009

Kejadian Alam Untuk Manusia Berfikir!

Apa yang berlaku di Padang, Indonesia telah dikaitkan dengan beberapa ayat Al-Quran. Seorang rakan saya telah menghantar email dengan menyatakan bahawa kemusnahan dan mala petaka yang berlaku di sana mempunyai kaitan dengan 3 ayat Al-Quran iaitu
1-Surah ke-17, al-Israk, ayat 16;
2-Surah ke-17, al-Israk, ayat 58; dan
3-Surah ke-8, al-Anfal, ayat 52.

Menurut Berita Harian melaporkan dalam rencana bertajuk Waktu gempa di Padang menyamai 3 nas al-Quran telah mengaitkan segala kejadian di muka bumi ini adalah ketetapan Allah SWT. Demikian pula dengan musibah gempa yang berlaku di Padang, Sumatera. Kebetulan juga waktu terjadi musibah itu dengan kaitan surah dan ayat yang ada hubungannya dalam kitab suci al-Quran al Karim.

Perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa).

Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.

Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud: Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz).

Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud: (keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya.

Tiga ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa di Sumatera. Mengenai azab Allah kehancuran dan kematian serta kaitannya dengan hidup mewah dan derhaka.

Dengan pelbagai kebetulan yang Allah SWT sampaikan ketika musibah itu, Allah jelas hendak mengingatkan kita. Apakah ia sekadar kebetulan di sebalik rahsia kejadian tanpa mengandungi pengajaran? Apakah mesej Allah itu akan mengubah kita agar lebih berhati-hati dan taat perintah dan menjauhi larangan-Nya? Mungkin kita tidak peduli atau mentertawakan seperti kaum Musyrikin Quraisy mempersendakan risalah disampaikan kepada Rasulullah SAW? Semua terpulang kepada kita.

Manusia bukan makhluk tunggal di muka bumi ini. Manusia bersama makhluk lain yang juga memiliki hak sama untuk dapat hidup mengikut sunnatullah yang ditetapkan Allah SWT. Walaupun alam dengan isinya mungkin ditundukkan oleh manusia dengan ilmu pengetahuan, tidak bererti alam harus tunduk kepada manusia.

Alam tetap patuh dan pasrah (Islam) kepada Allah. Alam dengan segala isinya memiliki kehidupan sendiri. Harus disedari, kita dan alam memiliki hak yang sama untuk mengabdikan kepada Allah, tentu saja dengan cara sendiri. Sebenarnya sesama makhluk Allah, kita harus dapat harmonikan kehidupan dengan alam. Jika tidak, berlaku ketegangan, pertembungan dan saling menghancurkan.

Antara yang perlu kita perhatikan disebut al-Quran tasbih bumi iaitu bumi juga makhluk Allah yang sentiasa bertasbih kepada Allah. Orang bertasbih menyucikan Allah daripada segala perbuatan yang tidak sewajarnya.

Kata Subhanallah yang selalu kita lafazkan selepas solat bererti Maha Suci Allah dengan segala sifat dan perbuatan-Nya. Ilmuwan Muslim, Zaghlul an-Najjar, dalam bukunya Shuarun min Tasbih al-Kainaat Lillah (Ketika Alam Bertasbih) menyatakan: Al-Quran menegaskan langit dan bumi dapat berbicara, menangis dan berasa sakit serta pedih.

Riwayat daripada Nabi SAW yang menjelaskan makna Surah al-Zalzalah, ayat 3, yang mengatakan: Pada hari itu bumi menceritakan. Baginda bertanya: Tahukah kamu beritanya? Mereka menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.' Baginda berkata: Sesungguhnya berita ia (bumi) bersaksi atas hamba atau umat yang berada di atasnya. Ia (bumi) berkata, melakukan ini pada hari ini, begini dan begitu. (Riwayat at-Tirmizi).

Amat mengelirukan jika kita menganggap bumi sebagai benda mati yang tidak memberi reaksi terhadap apa yang dilakukan manusia di muka bumi ini. Jelas bahawa bumi tempat kita berpijak selalu bertasbih dan berdialog kepada Allah SWT.

Bumi menyucikan Allah dan memuji-Nya dengan cara yang tidak kita ketahui. Apakah akan terjadi jika manusia yang hidup di muka bumi ini tidak bertasbih kepada Allah. Betapa seksanya bumi menampung manusia kufur, berdosa, bermaksiat dan melupakan Allah. Bumi berasa berat dan menanggung beban yang tidak tertahan kerana dipijak manusia yang derhaka dan berdosa.

Gempa adalah reaksi bumi. Kita memerlukan pendekatan teologi dan spritual. Gempa membuat manusia sedar bahawa selain manusia, langit dan bumi berserta apa yang ada di dalamnya juga makhluk Allah yang memiliki hukum dan kehidupannya sendiri. Bumi agak marah kepada manusia yang tidak pernah tersedar, kufur, dan ingkar kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban (yang dikandungnya), dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini?) (Surah al-Zalzalah : 1-3)

Pada hemah saya, apakah kita telah melanggar larangan serta ingkar perintah Tuhan? Jika kita telah melakukan kesalahan dan kesilapan maka segeralah meminta kemaafan drpd Yang Maha Esa dengan tidak mengulangi serta solat taubat. Justeru itu, saya menyeru diri saya serta pembaca sekalian agar muhasabah diri dan renung kembali segala perbuatan yang telah dilakukan. Sesungguhnya Allah SWT, Maha Pengampun lagi Maha Pemurah terhadap hamba-hamba yang bertakwa.

Wallahu a'alam

Tuesday, October 6, 2009

Jauhi 15 Perkara, Elak Bala

Pernahkan kita fikir bahawa apakah menyebabkan bala dan ujian Allah berikan kepada seseorang. Sebenarnya kita hanya diberi bala dan ujian yang kecil Allah jika dibandingkan bala Allah kepada Kaum Ad, Thamud, kaum Nuh, kaum Hud dan umat terdahulu sehingga mereka tidak meninggalkan generasi sehingga hari ini.

Jadi,Allah berfirman yang bermaksud, "Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu." (As-Syura: 30)

Ekoran daripada itu, kita dilarang sama sekali engkar suruhan Tuhan. Justeru itu, Rasullulah s.a.w. bersabda: "Apabila umatku membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:
1-Apabila harta negara hanya beredar kepada orang tertentu.
2-Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
3-Zakat dijadikan hutang.
4-Suami turut kehendak isteri.
5-Anak derhaka kepada ibunya.
6-Anak suka berbaik-baik dengan kawan.
7-Anak suka menjauhkan diri daripada ayah.
8-Suara ditinggikan di dalam masjid.
9-Ketua kaum adalah yang terhina di antara mereka.
10-Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11-Arak diminum di merata tempat.
12-Kain sutera banyak dipakai oleh lelaki.
13-Artis jadi pujaan.
14-Muzik banyak dimainkan.
15-Generasi akhir umat ini melaknat serta menyalahkan generasi pertama iaitu sahabat Nabi SAW.

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau mereka akan diubah menjadi makhluk yang lain. (Hadis Tarmizi)

Justeru, mari kita sama renungkan, adakah kecelakaan dan bencana berlaku adalah disebabkan kerakusan manusia melakukan perkara-perkara di atas. Sebagai peringatan kepada diri saya sendiri dan pembaca blog ini supaya tidak sekali-kali mengambil mudah perkara-perkara yang disuruh dan dilarang oleh Allah SWT agar kita tidak ditimpa bala.

Wallahu a'lam

Sunday, September 27, 2009

Tujuh Dosa Besar Dalam Kehidupan

Pernahkah kita mendengar bahawa kegunaan sebatang lidi manfaatnya adalah terhad iaitu mungkin mampu dijadikan sebatang mencucuk daging dijadikan satay atau hanya sebagai pencungkil gigi. Apabila lidi itu dikumpul dan diikat dalam bilangan yang banyak sudah tentu manfaatnya menjadi lebih seperti menjadi sebatang penyapu yang boleh membersihkan laman rumah atau dijadikan sebagai pemukul untuk menghalau lalat dan juga kucing. Jadi seiring dengan perumpamaan bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Namun, dalam kebanyakan situasi bersatu untuk mencari penyelesaian agak sukar dalam mentadbir kerja.Cuba kita perhatikan kemelut situasi semasa yang berlaku, antaranya kisah seorang Exco PAS di Selangor, beliau dibiar keseorangan bergelut dengan prinsip dan nilai integriti yang dipegangnya. Malah rakan seperjuangannya seorang ahli Parlimen juga ‘membelasahnya tanpa belas kasihan’ atas prinsip dan integriti yang dipegangnya. Parti dan pemimpin atasannya juga membiarkan dia bersendirian mempertahankan prinsipnya.(Petikan artikel bertajuk Jangan Lupa Prinsip dan Integriti, Berita Minggu 27 Sept,2009)

Apa yang hendak sama-sama fikirkan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak. Sesungguhnya, sebagai masyarakat ke arah negara berkemajuan sewajarnya harus dielakkan. Kita sewajarnya membincangkan apakah tindakan perlu dilakukan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat setempat kerana tujuan kita hidup adalah untuk memakmurkan dunia yang bersifat sementara. Malah mereka yang memperjuangkan prinsip dan integriti dianggap pengkhianat. Perkara ini juga telah wujud dalam masyarakat Melayu dalam kisah Singapura dilanggar todak. Apabila seorang budak kecil telah mencadangkan bagaimana untuk menghalang kemaraan todak yang membunuh masyarakat Melayu Singapura ketika itu. Tapi malangnya, budak kecil itu telah difitnah lalu dihukum dan dibunuh. Apakah kita tidak melihat perkara itu sebagai Constructive Idea?

Mohamed Mustafa Ishak adalah Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia telah menulis bahawa Mahatma Gandhi pada 1925, telah memberi ucapan yang dikatakannya sebagai “tujuh dosa besar dalam kehidupan” (seven deadly social sins) - “Politics without principles (politik tanpa prinsip), Wealth without work (kekayaan tanpa bekerja), Pleasure without conscience (keseronokan tanpa kesedaran), Knowledge without character (pengetahuan tanpa keperibadian), Commerce without morality (perdagangan tanpa moral), Science without humanity (sains tanpa kemanusiaan), Worship without sacrifice (beribadat tanpa pengorbanan).”

Politik tanpa prinsip ialah satu ‘dosa besar’. Namun pada hari ini, ‘dosa besar inilah yang paling banyak berlaku dalam dunia politik’. Justeru, tidaklah menghairankan apabila dalam politik hari ini ‘matlamat boleh menghalalkan cara’ asalkan menang dan mendapat kuasa.

Perbuatan menggadaikan prinsip dan integriti bukan saja khusus kepada dunia politik. Namun perbuatan menggadaikan prinsip dan berkompromi dalam soal integriti paling ketara dan sangat berleluasa dalam politik kerana ‘pertaruhannya’ lebih besar. Justeru, menjadi pemimpin politik menjanjikan kuasa yang tiada tolok bandingnya.
Maka atas dasar inilah pertarungan politik demi kuasa boleh saja menjadi begitu jelek sekali jika prinsip digadai dan integriti dikompromikan.

Namun kita masih boleh mendidik rakyat supaya memilih prinsip dan integriti asas menentukan pilihan mereka. Jika perkara ini dijadikan sebagai satu amalan, nescaya suatu hari nanti kita akan dapat mengurangkan bilangan orang yang tidak berprinsip dan berintegriti dalam politik. Sekaligus, yang bakal diangkat menjadi pemimpin dan kemudiannya memimpin kita semua diharapkan adalah pemimpin yang berprinsip dan ada integriti dan bukannya sekadar popular kerana bijak berpidato dan retorik semata-mata.

Dalam satu kajian mengenai kepemimpinan yang dilakukan dua sarjana iaitu Kouzes dan Posner (2002) secara berterusan selama 20 tahun di kalangan eksekutif kerajaan dan perniagaan merentasi semua benua bagi melihat ciri-ciri utama yang diharapkan wujud kepada seseorang pemimpin, terdapat empat ciri utama yang dipilih responden mereka sebagai ciri-ciri pilihan yang harus dimiliki oleh seseorang pemimpin . Pertama - ‘honest’ (jujur/amanah), kedua - ‘forward-looking’ (berwawasan), ketiga - ‘competent’ (berkeupayaan), keempat - ‘inspiring’ (mencetus idea/ilham).

Dalam kajian perbandingan itu, didapati 95 peratus responden di Malaysia memilih ciri kejujuran atau amanah sebagai ciri terpenting yang harus dimiliki oleh seseorang pemimpin. Apa yang dipilih di Malaysia adalah juga perkara yang sama yang menjadi pilihan responden di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Mexico, New Zealand, dan negara Scandinavia.

Berdasarkan kajian ilmiah dilakukan secara konsisten selama dua dekad apakah kita masih mahu lagi mempertikaikan mengenai ciri penting amanah atau kejujuran yang terasnya ialah berpegang kepada prinsip moral dan integriti? Nyatalah bahawa orang Malaysia masih percaya dan berpegang teguh kepada nilai orang berprinsip dan berintegriti. Populariti barangkali boleh memberikan pulangan dalam jangka pendek apabila orang dipengeruh emosi ketika membuat sesuatu pilihan.

Inilah perkara yang harus diberikan perhatian oleh ahli politik jika mereka mahu melahirkan sebuah negara, sistem dan masyarakat yang bermaruah, dihormati dan bebas rasuah. Inilah asas bagi pembinaan negara-bangsa yang harus kita pertahan dan perjuangkan. Inilah juga perkara yang harus kita terapkan di bilik darjah dan di dewan kuliah universiti. Bahawa menjadi individu yang berprinsip dan berintegriti adalah lebih mulia daripada menjadi individu yang hanya popular.

Walau apa jua yang ingin kita jadi, jadilah seseorang yang berprinsip dan berintegriti. Inti sarinya ialah orang yang tidak berprinsip dan tiada integriti tidak boleh dipercayai. Integriti, keperibadian (character) dan prinsip adalah sama dengan amanah dan kejujuran. Bagi membolehkan seseorang pemimpin itu terus diyakini dan dipercayai, beliau harus memiliki keperibadian yang unggul, berprinsip dan memiliki integriti yang padu. Tidak ada sesiapa pun yang suka dirinya ditipu atau diperolok-olokkan. Lebih-lebih lagi apabila ia ditipu oleh pemimpin idolanya sendiri. Rakyat tidak mahu mereka dipimpin ke jalan yang salah oleh seseorang pemimpin yang menipu dalam proses mencapai sesuatu kemenangan. Seseorang pemimpin yang jujur dan amanah adalah juga lambang dan manifestasi kepada pengikutnya yang jujur dan beramanah. Imej, prinsip hidup dan integriti kita sebagai pengikut juga tercemar apabila ketuanya pemimpin yang tidak berprinsip dan berintegriti. Seluruh masyarakat akan dilanda korupsi moral paling dahsyat dan luar biasa apabila pengikut sama-sama reda dan merestui penipuan dan pembohongan pemimpin dan terus menerus menyokong pemimpin yang menipu, tidak berprinsip dan tiada integriti.

Ringkasnya, kita tidak mahu hanya dikenal sebagai Gladiator apabila mempunyai kuasa sahaja tetapi sebagai tabiat serta disegani oleh masyarakat secara keseluruhannya yang apabila melaksanakan apa jua pekerjaan mengikut prinsip serta tidak berkompromi dalam soal integriti. Jadi kita berupaya bekerja di mana-mana sahaja tanpa mengira golongan tertentu.

Thursday, September 24, 2009

Don't Worry Be Happy!



Sewaktu berkunjung ke rumah saudara-mara sempena Hari Raya, bukan sepanjang hari kita beroleh kegembiraan dan ada juga peristiwa yang tidak diingini berlaku sebelum menjelang Hari Raya. Peristiwa kehilangan wang ringgit serta barang kemas sungguh memilukan bagi setengah-setengah orang. Apabila dilihat raut wajah sepupu saya tidak terfikir bahawa sebelum menyambut Hari Raya, beliau telah ditimpa musibah. Ini adalah pengakuannya sendiri. Namun, dengan nada gembira, beliau tidak merasakan perkara itu perlu ditangisi. Musibah yang dimaksudkan adalah rumah beliau telah dinaiki pencuri kira-kira jam 2.00 pagi seminggu sebelum Hari Raya. Gril tingkap rumah dipotong kemudian cermin tingkap dikeluarkan satu persatu sehingga membolehkan badan pencuri itu masuk ke dalam rumah. Beberapa barang kemas dan wang tunai telah dilarikan. Mereka sekeluarga tidak sedar sehinggalah terjaga untuk bersahur jam 3.30 pagi.

Beliau tidak sedikit pun meratapi peristiwa tersebut malah berpendapat bahawa sama ada kita solat banyak atau tidak, peristiwa itu telah dicatat dalam dairi kita dan Tuhan ingin menguji hambanya apabila nikmat dunia ditarik balik. Tambah beliau lagi, mujur pencuri masuk sebab sudah tentu ada juga barang akan tertinggal untuk diambilnya tetapi jika berlaku kebakaran, sudah tentu tiada satu pun akan ditinggalkan malah hancur menjadi debu. Saya pun berfikir, memang ada juga kebenarannya.

Apa jua kecelakaan, musibah atau sebarang bentuk bencana yang kita hadapi sudah ditentukan oleh Allah SWT. Persoalannya, bagaimana kita melihat perkara tersebut sebagai positif dan apakah tindakan selepas kejadian itu adalah lebih penting. Maka sama-sama kita renungkan pendapat Richie Rachman, Editor Majalah Remaja yang telah menggariskan beberapa perkara tentang Be Happy!:-
1-Jangan Ada Benci. Tak kiralah sama ada pada keluarga, kawan-kawan, bos mahupun guru dan pensyarah. Perasaan benci itu akan merosakkan niat dan keikhlasan . Benci itu ibarat api dalam sekam, yang akan membangkitkan dendam dan seterusnya satu pergaduhan.

2-Jangan Bimbang. Kebimbangan tanpa sebab akan membuatkan kamu sentiasa berada dalam keadaan serba salah, cemas dan tidak tenteram.Buang perasaan demikian.

3-Hidup Secara Sederhana Adalah Tuntutan Agama Kita.Kesederhanaan adalah kunci kesempurnaan.Biarpun hidup kamu tidak kaya, tidak mewah, tidak sempurna dan tidak popular tetapi sekurang-kurangnya kamu mempunyai ketenangan hati.Itu adalah yang paling penting. Jadi, pilihlah hidup serba sederhana dan bersyukur kerana masih ramai yang lagi menderita dan sengsara di serata dunia.

4-Jangan Terlalu Mengharap.Kadang-kadang pengharapan itu akan mengecewakan kamu.Belajarlah menerima kenyataan, biarpun kecil tapi bermakna dan jangan terlalu mengharap yang besar dan terbaik yang tidak mungkin akan menjadi milik kamu.

5-Banyakkan Memberi.Terapi untuk membersihkan minda dan diri. Kepuasan orang yang memberi lebih bermakna drpd menerima.Ini termasuklah bersedekah, membantu yang memerlukand dan berjihad ke jalan Allah.

6-Sentiasa Tersenyum.Orang yang mudah menghadiahkan senyuman bererti mempunyai jiwa yang damai, niat yang baik dan jujur.Itu adalah kualiti bagi penderma senyuman.Senyuman adalah sedekah menurut punjagga.Dengan menarik otot kiri dan kanan bibir akan membuat wajah anda nampak lebih cantik dan menarik, menceriakan suasana. Maka lengkapkan penampilan anda dgn senyuman.

7-Berkawan.Setiap orang memerlukan individu lain untk saling berteman, saling memahami, saling menghormati, Pilihlah kawan yang berkongsi kesedihan ketika berduka.Selalu mengirimkan sms bertanya khabar dan carilah insan yang dikategorikan sbg good friends.

Justeru, marilah kita bergembira mengikut lunas-lunas agama dan tidak berlebih-lebihan. Ini kerana banyak perkara jika berlebih-lebihan memudaratkan tetapi berlebihan wirid dan zikir kepada Allah SWT, sudah barang tentu menambahkan keberkatan dan rezeki daripadaNya.