Thursday, September 24, 2009

Don't Worry Be Happy!



Sewaktu berkunjung ke rumah saudara-mara sempena Hari Raya, bukan sepanjang hari kita beroleh kegembiraan dan ada juga peristiwa yang tidak diingini berlaku sebelum menjelang Hari Raya. Peristiwa kehilangan wang ringgit serta barang kemas sungguh memilukan bagi setengah-setengah orang. Apabila dilihat raut wajah sepupu saya tidak terfikir bahawa sebelum menyambut Hari Raya, beliau telah ditimpa musibah. Ini adalah pengakuannya sendiri. Namun, dengan nada gembira, beliau tidak merasakan perkara itu perlu ditangisi. Musibah yang dimaksudkan adalah rumah beliau telah dinaiki pencuri kira-kira jam 2.00 pagi seminggu sebelum Hari Raya. Gril tingkap rumah dipotong kemudian cermin tingkap dikeluarkan satu persatu sehingga membolehkan badan pencuri itu masuk ke dalam rumah. Beberapa barang kemas dan wang tunai telah dilarikan. Mereka sekeluarga tidak sedar sehinggalah terjaga untuk bersahur jam 3.30 pagi.

Beliau tidak sedikit pun meratapi peristiwa tersebut malah berpendapat bahawa sama ada kita solat banyak atau tidak, peristiwa itu telah dicatat dalam dairi kita dan Tuhan ingin menguji hambanya apabila nikmat dunia ditarik balik. Tambah beliau lagi, mujur pencuri masuk sebab sudah tentu ada juga barang akan tertinggal untuk diambilnya tetapi jika berlaku kebakaran, sudah tentu tiada satu pun akan ditinggalkan malah hancur menjadi debu. Saya pun berfikir, memang ada juga kebenarannya.

Apa jua kecelakaan, musibah atau sebarang bentuk bencana yang kita hadapi sudah ditentukan oleh Allah SWT. Persoalannya, bagaimana kita melihat perkara tersebut sebagai positif dan apakah tindakan selepas kejadian itu adalah lebih penting. Maka sama-sama kita renungkan pendapat Richie Rachman, Editor Majalah Remaja yang telah menggariskan beberapa perkara tentang Be Happy!:-
1-Jangan Ada Benci. Tak kiralah sama ada pada keluarga, kawan-kawan, bos mahupun guru dan pensyarah. Perasaan benci itu akan merosakkan niat dan keikhlasan . Benci itu ibarat api dalam sekam, yang akan membangkitkan dendam dan seterusnya satu pergaduhan.

2-Jangan Bimbang. Kebimbangan tanpa sebab akan membuatkan kamu sentiasa berada dalam keadaan serba salah, cemas dan tidak tenteram.Buang perasaan demikian.

3-Hidup Secara Sederhana Adalah Tuntutan Agama Kita.Kesederhanaan adalah kunci kesempurnaan.Biarpun hidup kamu tidak kaya, tidak mewah, tidak sempurna dan tidak popular tetapi sekurang-kurangnya kamu mempunyai ketenangan hati.Itu adalah yang paling penting. Jadi, pilihlah hidup serba sederhana dan bersyukur kerana masih ramai yang lagi menderita dan sengsara di serata dunia.

4-Jangan Terlalu Mengharap.Kadang-kadang pengharapan itu akan mengecewakan kamu.Belajarlah menerima kenyataan, biarpun kecil tapi bermakna dan jangan terlalu mengharap yang besar dan terbaik yang tidak mungkin akan menjadi milik kamu.

5-Banyakkan Memberi.Terapi untuk membersihkan minda dan diri. Kepuasan orang yang memberi lebih bermakna drpd menerima.Ini termasuklah bersedekah, membantu yang memerlukand dan berjihad ke jalan Allah.

6-Sentiasa Tersenyum.Orang yang mudah menghadiahkan senyuman bererti mempunyai jiwa yang damai, niat yang baik dan jujur.Itu adalah kualiti bagi penderma senyuman.Senyuman adalah sedekah menurut punjagga.Dengan menarik otot kiri dan kanan bibir akan membuat wajah anda nampak lebih cantik dan menarik, menceriakan suasana. Maka lengkapkan penampilan anda dgn senyuman.

7-Berkawan.Setiap orang memerlukan individu lain untk saling berteman, saling memahami, saling menghormati, Pilihlah kawan yang berkongsi kesedihan ketika berduka.Selalu mengirimkan sms bertanya khabar dan carilah insan yang dikategorikan sbg good friends.

Justeru, marilah kita bergembira mengikut lunas-lunas agama dan tidak berlebih-lebihan. Ini kerana banyak perkara jika berlebih-lebihan memudaratkan tetapi berlebihan wirid dan zikir kepada Allah SWT, sudah barang tentu menambahkan keberkatan dan rezeki daripadaNya.

Tuesday, September 22, 2009

Kawal Makan Pada Hari Raya

Setelah berpuasa selama sebulan maka tibalah masanya kita menikmati juadah yang dihidangkan dengan bermacam-macam jenis makanan. Kita janganlah rakus untuk menikmati semua juadah yang dihidangkan tapi adalah menjadi kewajiban kita untuk mengawal makan ketika berhari raya. Ini tidak bermakna kita menolak kesemua hidangan yang disediakan.

Oleh itu, pemilihan makanan yang betul membantu sistem badan kita cergas dan cerdas. Maka dikesempatan ini saya menyeru pembaca memikirkan juadah mengikut piramid makanan agar sistem dalam badan kita tidak terkejut selepas menjalani ibadah puasa.

Menurut Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Norlaily Md Nasir, makanan berserat seperti roti, nasi, bijirin dan ubi berfungsi membekalkan tenaga kepada tubuh badan manusia.

Selain itu, daging, ayam, ikan, kekacang, susu dan hasil tenusu perlu adalah sumber protein dan kalsium yang berguna untuk pertumbuhan dan kesihatan tulang kita.

Bagi ibu-ibu yang menghadapi perubahan fisiologi ketika hamil, dinasihatkan keperluan kalori, nutrisi seperti protein, kalsium, zat besi dan vitamin serta mineral lain sangat diperlukan.

Oleh yang demikian, pemakanan seimbang dan sihat ketika berhari raya mencerminkan kesungguhan individu untuk bergerak cergas malah ini membantu sistem penghadaman dan pencernaan dalam badan kita tidak mengalami sebarang kompilasi. Jadi piramid makanan yang mengandungi empat aras makanan yang penting dapat membantu pembaca untuk makan secara berhemah di sepanjang bulan Syawal.


# Aras pertama - nasi, roti, mi, bijirin dan ubi

Makanan dalam aras ini berfungsi untuk membekalkan tenaga dan perkembangan janin.

# Aras kedua - sayur-sayuran dan buah-buahan

Makanan dalam aras ini berfungsi membekalkan vitamin dan mineral untuk mencegah berlaku sembelit ketika kehamilan. Vitamin C, vitamin A serta zat besi juga boleh diperoleh dalam sayur-sayuran dan buah-buahan.

# Aras ketiga - ayam, daging, ikan, telur, kekacang, susu dan produk tenusu. Makanan dalam aras ini berfungsi membekalkan sumber protein yang penting dalam pertumbuhan tisu. Selain itu, makanan ini juga membekalkan sumber kalsium yang penting dalam pertumbuhan tulang serta zat besi untuk pembentukan darah.

# Aras keempat - lemak, minyak, gula dan garam

Makanan dalam aras ini membekalkan vitamin larut lemak (A, D, E dan K) serta asid lemak untuk perkembangan otak.

Piramid makanan adalah panduan untuk membantu melancarkan proses penghadaman dan perkumuhan. Pengambilan makanan berserat dipercayai boleh menyingkirkan toksin dalam badan yang menyebabkan kita berasa lesu dan letih. Ini kerana kehadiran vitamin dan mineral dalam makanan berserat membantu proses penyingkiran toksin ini. Di samping itu, banyak minum air kosong berupaya bertindak menyingkirkan kotoran dan toksin dalam badan. Selain ia diperlukan bagi mengelak berlaku dehidrasi.

Monday, September 21, 2009

Bersalaman Kelaziman Bermaafan di Malaysia

Saya tertarik sebuah artikel yang ditulis di akhbar Berita Minggu bertajuk Semangat Aidilfitri kukuh perpaduan umat. Penulis menjelaskan budaya rumah terbuka dan bersalaman di pagi Hari Raya agak sukar dilihat di beberapa masyarakat Asia Barat. Malah ucapan "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin" tidak diucapkan dalam kalangan mereka.

Bersalam-salaman serta mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin itulah budi bahasa masyarakat Malaysia yang diwarisi sejak zaman berzaman. Bahkan jika seseorang terinjak kaki di dalam bas atau keramaian, dia yang akan meminta maaf, ‘maaf, kaki saya terinjak’, bukan orang yang menginjak meminta maaf, ‘maaf, saya menginjak kaki anda”.

Inilah Budi bahasa yang dimiliki masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah di beberapa negara Nusantara adalah satu kebesaran Allah yang termaktub dalam ayat al-Quran bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujarat: 13)



Berbudi bahasa sepatutnya bahkan suatu kewajipan yang mesti dimiliki oleh setiap Muslim. Rasulullah SAW menegaskan maksudnya: “Sesungguhnya Allah mewajibkan (kalian) berbuat baik terhadap segala sesuatu, maka bila kalian hendak membunuh orang (dalam peperangan ataupun yang lainnya), bunuhlah dengan cara yang baik, dan bila kamu menyembelih (binatang), maka sembelihlah dengan cara yang baik, hendaklah kalian menajamkan pisau dan memperlakukan binatang sembelihan dengan lembut.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah Islam memerintah berbuat ihsan termasuk di dalamnya berbudi bahasa kepada binatang dan menunjukkan contoh amalinya. Maka ihsan kepada yang lebih mulia kedudukannya daripada pada binatang tentu lebih diperintahkan dan lebih dijelaskan contohnya. Oleh kerana itu tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya mengenai ihsan kepada Allah, kepada sesama makhluk baik yang berakal atau tidak berakal. Sungguh rahmat Allah dekat dengan orang muhsin.

Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) budi bahasa (adab) dari Allah. Jika Allah meluaskan budi bahasa baginya maka akan luas budi bahasanya dan (jika Dia) menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya budi bahasa) maka sempitlah budi bahasanya.” (Riwayat al-Hakim).

Keindahan bermaaf-maafan pada Aidilfitri adalah satu perkara yang disukai Allah SWT seperti diperoleh maknanya daripada sebuah hadis maksudnya: “Sesungguhnya Allah indah dan suka kepada keindahan. Bila seseorang ke luar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan dirinya. (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Budaya saling memaafkan adalah sinar yang terpancar dari diri seorang muslim yang berakhlak mulia. Nabi bersabda maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh simpati semua orang dengan hartamu tetapi dengan wajah yang menarik dan dengan akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Ya'la dan al-Baihaqi)

Melalui saling maaf memaafkan pada Aidilfitri kita akan dapat memperkukuh perpaduan kita dengan menghilangkan permusuhan dan dendam dan menghapuskan semua kesalahan sesama kita.

Ada baiknya, dalam suasana kemeriahan dan kesyahduan Aidilfitri yang mana kita semua dalam keadaan fitrah atau suci dan bersih daripada segala dosa berkat Ramadan, kita merapatkan barisan kita yang selama ini menjadi celah untuk diganggu oleh musuh-musuh kita agar kita selalu bermusuhan.

Ada baiknya, dalam suasana yang penuh keberkatan ini kita bertafakur dan merenungi ayat al-Quran berikut demi memperkukuh perpaduan umat kerana sebab perbalahan, perseteruan, pertelingkahan dan permusuhan di antara umat Islam tidak terlepas daripada maksud yang terkandung di dalamnya. Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.

Dan ketahuilah! Bahawa di antaramu ada Rasulullah; kalaulah ia menurut kehendakmu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu mengalami kesukaran; akan tetapi Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta dihiaskannya dalam hatimu, dan menjadikan kekufuran dan kefasikan serta kederhakaan itu perkara yang kamu benci; mereka itulah orang yang tetap menurut jalan yang lurus. Sebagai kurnia dan nikmat pemberian daripada Allah dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.

Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim. Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujarat: 6-12)

Tidak ada ruginya jika kita mendahulukan perpaduan walaupun dengan mengorbankan kepentingan peribadi mahupun kelompok tetapi banyak ruginya jika kita mengetepikannya walaupun dengan sebab sekecil apa pun juga. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Wednesday, September 16, 2009

Bergembiralah di Aidil Fitri!

Tidak sampai seminggu lagi, umat Islam di Malaysia akan meraikan Aidil Fitri. Maka sudah tentu banyak persiapan sama ada keperluan diri sendiri hinggalah keperluan kediaman dihias dengan cantik. Namun begitu, adakah itu pengertian Aidil Fitri? Persoalannya, sejauhmanakah pengisian Aidil Fitri itu? Apa pula pandangan agama berhubung fitrah menyambut Aidil Fitri?

Oleh yang demikian, Allah menegaskan bahawa ‘fitrah’ adalah ‘ketetapan Allah yang telah ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.

Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Maka sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan dalam suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka-ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah-menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang di Ramadan yang lalu.

Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah-menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.

Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk saja di rumah menonton rancangan menarik yang disajikan. Daripada sudut ekstrem, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah-menziarahi yang digalakkan di Aidilfitri.

Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Tuesday, September 15, 2009

Merdekakah Minda Kita?

Jami'ah Shukri telah menulis artikel bertajuk Minda Kita Belum Merdeka Selepas 52 Tahun. Antara hujah yang diutarakan ialah:-

Pensyarah Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman berpendapat kemerdekaan dalam erti kata lain adalah negara yang bebas daripada segala bentuk penaklukan termasuk minda. Justeru, masyarakat masih konservati dengan berpegang kuat pada asas budaya sehingga takut untuk membawa transformasi secara besar-besaran. Jadi dengan sikap yang tidak begitu terbuka itu menampakkan seakan ada budaya kebimbangan untuk menghadapi sebarang risiko bagi melakukan perubahan.

Mengapa? Hal ini berlaku disebabkan berada di persimpangan untuk memenuhi atau menjaga hak kepentingan masing-masing berikutan negara dihuni oleh masyarakat majmuk. Tapi ledakan dunia teknologi lebih nampak ketara dan rakyat mendapat apa saja maklumat tanpa sempadan. Jadi wujudnya pertembungan pemikiran antara generasi lama dan muda kerana lebih terdedah kepada banyak sumber berkenaan.

Ahli Sejarawan, Prof Emiritus Datuk Dr Khoo Kay Kim mengulas bahawa pembinaan bangsa negara masih gagal mencapai tahap diharapkan dan tidak wujud nilai murni walaupun sudah 52 tahun merdeka. Kenapa? Kepincangan itu adalah berpunca daripada sistem pendidikan yang kurang menekankan kepada aspek pengkajian, pemahaman dan penghayatan terhadap subjek sejarah itu sendiri.

Namun, penulis menyingkap beberapa pencapaian yang dicapai oleh rakyat Malaysia seperti Datuk Nicol David sebagai pemain skuash nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dalam arena badminton. Episod baru turut tercatat apabila Malaysia menghantar angkasawan pertama, Datuk Dr Sheikh Muzafar meneroka ke angkasa lepas. Pencapaian ini juga satu langkah untuk memerdekakah minda yang dahulunya kita tidak terfikir untuk ke sana. Apa yang penting, pengisian kemerdekaan kepada seluruh masyarakat Malaysia seperti mengembalikan kefahaman Rukun Negara serta Perlembagaan Malaysia agar kita senantiasa berada dalam keadaan aman dan damai serta hidup tenteram.

Monday, September 14, 2009

Islam Adalah Suatu Cara Hidup

Manusia dan agama adalah ibarat irama dan lagu, jasad dan roh. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Sejak dahulu hingga kini, walaupun di mana sahaja manusia berada pasti memerlukan agama. Mengapa? Ini jelas beragama adalah fitrah dan tabiat semula jadi yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia.

Dalam ruangan kali ini, saya ingin menyeru diri saya dan pembaca blog yang Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap. Maka dengan itu, kita sama-sama renungkan penulis Zainul Rijal Abu Bakar (seorang Peguam bela, Peguam cara dan Peguam Syarie) menulis artikel bertajuk Peraturan Islam pentingkan hubungan sesama manusia. Kenapa? Saya dan tuan/puan yang beragama Islam sudah barang tentu adalah contoh kepada mereka yang tidak beragama Islam. Jadi, sehingga kini masih terdapat golongan yang fanatik tentang Islam lalu memingkirkan orang bukan Islam. Pada hemat saya, ini tidak wajar sebab Islam itu mengajak semua mahkluk di dunia bersikap toleransi dan memupuk perpapuan tanpa mengira kaum. Tapi terdapat juga had-had yang sewajarnya kita pelihara seperti makanan halal atau haram, aurat sesama muhrim, bercakap jujur dan benar dan banyak lagi. Justeru itu, saya tampilkan artikel yang saya maksudkan untuk kita jadikan panduan bermasyarakat di Malaysia dan akhirnya mencapai hasrat Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan SATU MALAYSIA.

Masyarakat Islam adalah sebuah komuniti yang berpegang teguh kepada akidah dan ideologi yang kemudian muncul cabang seperti undang-undang, hukum, peradaban dan tata susila. Namun, ini bukan bermakna orang Islam memutuskan seluruh kehidupannya dengan orang bukan Islam sama ada di peringkat individu, tempatan mahupun antarabangsa.

Undang-undang Islam sebenarnya mementingkan hubungan sesama manusia menjangkaui batasan agama. Umat Islam menjalinkan hubungan sesama mereka dan begitu juga dengan orang bukan Islam. Dasar tetap digariskan merangkumi prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada bukan Islam. Prinsip utama dalam melayani orang bukan Islam ialah mereka hendaklah diberi layanan sama rata dengan umat Islam melainkan atas beberapa aspek saja. Pengecualian ini amat terhad dan selalunya hanya berkisar dalam perkara yang membabitkan ibadat saja.

Orang bukan Islam berhak mendapat perlindungan dalam negara Islam. Hak ini merangkumi perlindungan daripada pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam negara. Golongan bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup. Hak ini adalah hak sama yang dikecapi orang Islam. Pemerintah Islam bertanggungjawab untuk melindungi walaupun setitik darah mereka. Orang Islam di dalam negara Islam juga adalah dilarang sama sekali menyakiti orang bukan Islam atau mencerobohi diri, keluarga harta atau agama mereka sama ada melalui tangan (kekuasaan) ataupun lidah mereka. Apatah lagi umat Islam ditegah daripada membunuh mereka ini. Ini adalah disebabkan hak perlindungan yang tetap ini meliputi darah, jiwa dan tubuh mereka, begitu juga harta benda dan kemuliaan mereka.

Islam menjamin orang bukan Islam mengamalkan agama mereka. Orang bukan Islam bebas menganuti agama, kepercayaan dan beribadat mengikut agama mereka. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama Islam dan tidak akan ditekan semata-mata agar mereka memeluk Islam. Sejarah membuktikan bahawa Islam disebarkan bukan melalui mata pedang tetapi kerana keindahan dan keadilan Islam itu yang menambat hati orang bukan Islam memeluk Islam.

Orang bukan Islam juga bebas menjawat jawatan di dalam kerajaan Islam selain jawatan yang membabitkan hal keagamaan seperti ketua negara, ketua angkatan tentera, ketua hakim dan sebagainya yang mana jawatan itu membabitkan urusan agama. Dalam urusan lain tiada halangan bagi orang bukan Islam menyandang jawatan kerajaan berkenaan.

Bagi jawatan ketua negara umpamanya, jawatan pentadbiran sebuah negara Islam yang adalah negara ideologi. Maka wajar bagi orang Islam sendiri mengendalikannya, begitu juga dalam hal jawatan ketua angkatan tentera yang mana dalam Islam sebenarnya mempertahankan kedaulatan negara adalah satu ibadat. Jihad adalah kemuncak seluruh ibadat di dalam Islam.

Oleh itu dalam hal ibadat seperti ini adalah tidak wajar diserahkan kepada orang bukan Islam. Namun begitu orang bukan Islam tidak dilarang bersama-sama dengan orang Islam berjuang mempertahankan kedaulatan negara. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menjadi askar di dalam sebuah negara Islam.

Dalam hal muamalah pula orang bukan Islam mempunyai hak yang tidak boleh disangkal untuk bekerja, berniaga dan mendapat untung. Ini boleh dilakukan dengan berkongsi sesama mereka ataupun dengan orang Islam ataupun bekerja secara sendirian. Keadaan mereka dari aspek ini langsung tidak berbeza dengan keadaan orang Islam yang diberi peluang untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan bagi memajukan diri masing-masing.

Dalam Islam, umat Islam dan orang bukan Islam perlu bersaing demi untuk memajukan diri mereka sendiri. Orang bukan Islam tidak ditindas di dalam mencari kekayaan dan ini memberi peluang kepada semua rakyat bersaing dalam keadaan yang memberi keadilan kepada semua pihak.

Syariat Islam memperuntukkan hak asasi yang jelas bagi orang bukan Islam dan kebebasan ini dijamin pemerintah Islam. Adalah menjadi kesalahan bagi umat Islam sekiranya mereka melanggar ataupun mengugut untuk melanggar hak asasi orang bukan Islam. Dari aspek ini sebenarnya, syariat Islam dilihat lebih melindungi hak orang bukan Islam berbanding dengan mana-mana agama lain di dunia ini.

Masyarakat Islam secara kolektif bertanggungjawab menjalankan syariat Islam dan melaksanakan hukum yang termaktub di dalamnya termasuklah perkara berhubungan dengan hak orang bukan Islam. Sekiranya berlaku kecuaian atau penyelewengan dilakukan oleh orang Islam dan melampaui batas yang dibenarkan, maka umat Islam sendiri perlu memperbetulkan keadaan.

Syariat Islam sebenarnya sentiasa memihak kepada orang yang dizalimi atau dicerobohi termasuk bukan Islam. Pembelaan akan diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira faktor keagamaan hatta pemerintah Islam yang zalim terhadap rakyat bukan Islam boleh diambil tindakan kerana kezaliman yang dilakukan.

Hak orang bukan Islam ini sebenarnya wajib dipelihara orang Islam kerana ia tuntutan yang wajib dipatuhi setiap umat Islam. Membenarkan hak ini adalah suatu kewajipan dan menafikannya adalah suatu tegahan.

Friday, September 11, 2009

Amalan Bersedekah Dekati Diri Dgn Tuhan


Amalan bersedekah yang amat dianjurkan Islam dan akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.’ (Hadis Bukhari). Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai keikhlasan niat di hati.

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”. (Hadis Bukhari). Begitulah indahnya ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah dan Allah SWT sendiri menjamin pahala untuk orang yang mengamalkannya sebagai agenda kehidupan mereka.

Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh masa malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut kemampuan seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal di sisi Allah SWT ialah ketika bulan Ramadan. Ini dapat kita perhatikan menerusi satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.’ (Hadis Bukhari dan Muslim) Jadi berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita sebagai umat Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh berkat itu.

Dalam soal memberi sedekah itu, semua orang mampu melakukannya sama ada dalam kuantiti yang banyak mahupun sedikit. Apa yang utama ialah sikap dan niat kita mesti menjuruskan kepada ikhlas kerana Allah SWT. Banyak yang boleh seseorang sumbangkan sebagai sedekah pada bulan Ramadan ini. Antaranya ialah memberikan makan minum kepada orang berpuasa. Dalam masyarakat Melayu, menyediakan juadah untuk berbuka sentiasa diadakan di masjid, surau mahupun di madrasah. Hal itu sangat mulia dan wajar diteruskan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,’ Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia memperoleh pahala sama dengan orang yang berpuasa; sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurang sedikit pun. (Hadis At Tirmidzi) Hadis ini mendorong kita umat Islam supaya tidak mementingkan diri sendiri pada bulan Ramadan, akan tetapi menggalakkan umatnya menjaga kepentingan orang lain.

Alangkah indahnya tuntutan Islam ke atas umatnya kerana dengan pengamalan bersedekah khususnya ketika bulan Ramadan pasti membibitkan rasa kebersamaan dan semangat ukhwah yang mantap dalam kalangan ummah.

Justeru, ketika kita sedang asyik menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan ini, segala amalan sunat dan amal makruf seperti bersedekah seharusnya diperbanyakkan dengan satu niat, hanya ingin mendapat reda Allah. Insya-Allah mereka yang pemurah dalam bulan Ramadan itu pasti ‘dekat dengan Allah’ dan Allah SWT meredainya serta diberikan ganjaran pahala yang besar.
(sumber:Berita Harian 11 Sept,2009)