Saturday, July 25, 2009

Pengalaman Bukan Jaminan Kejayaan

Pernahkah kita lihat sesebuah perniagaan tidak bertahan lama? Mungkin lima tahun, tujuh tahun malah sehingga sepuluh tahun. Peristiwa ini banyak berlaku sama ada di Malaysia mahu pun di luar negara. Mungkin objektif penubuhannya bersifat jangka pendek. Mungkin perancangannya tidak meliputi perubahan persekitaran dan banyak lagi sebab terkuburnya sesebuah perniagaan. Begitu juga pekerjaan yang kita lakukan. Hanya bersemangat di peringkat awal tapi layu di tengah jalan.

Mungkinkah kita tidak optimis terhadap kerja yang dilakukan? Apakah kita manusia selalu negatif? Justeru dikesempatan ini saya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada pembaca blog ini. Albert Ellis telah menggariskan beberapa perkara mengapa manusia selalu negatif?

1-Ingin dicintai oleh semua orang.
2-Ingin cekap pada setiap masa.
3-Kegagalan mesti faktor luaran.
4-Ingin segalanya berlaku seperti dirancang.
5-Pengalaman menentukan kejayaan di masa hadapan.


Sebagai contoh, apa jadi General Motor(GM)? Dulunya sebuah perniagaan berorientasikan pengeluaran kereta jenama Ford dan kini menghadapi kedudukan kewangan yang tenat malah ramai pekerja diberhentikan di seluruh dunia. Sudah tentu GM mempunyai pengalaman luas tentang industri pembuatan kenderaan. Tapi akhirnya mohon untuk bantuan kewangan kepada kerajaan Amerika Syarikat bagi menyelesaikan dan menyelamatkan GM.

Bagaimana pula kenderaan bas milik South Johore(SJ) yang berpangkalan di Tampoi,Johor. syarikat SJ telah beroperasi lebih 30 tahun dalam menjalankan perkhidmatan bas dan akhirnya tutup. Pada hemat saya, banyak lagi perusahaan yang beroperasi lebih awal dan berpengalaman tapi akhirnya tutup. Jadi hanya dengan memiliki pengalaman tidak menjamin kejayaan di masa hadapan malah menjadikan kita manusia negatif spt kata Albert Ellis.

Bagi mengatasi masalah manusia yang negatif adalah manusia positif. Justeru, mereka yang positif sudah tentu mentaliti berfikir secara optimis, proaktif dan bertanggungjawab penuh terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Hal ini ditunjukkan oleh Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang dalam penulisannya bertajuk "Budaya inovasi majukan teknologi hijau tempatan" (BH, 24 Julai 2009:hlm 35) berpendapat bahawa melalui budaya inovasi menjadi penggerak kepada pertumbuhan ekonomi masa depan menerusi gagasan 'ekonomi inovasi'. Seiring perubahan zaman, maka sentiasa banyak aspek perlu ditambah nilai dan dipertingkatkan. Cadangan, teguran dan maklum balas yang sering kali dikemukakan pelbagai pihak menerusi lisan dan tulisan menjadi pemangkin memudahkan amalan dan penghayatan inisiatif serta amalan inovatif. Pada hemat saya, Datuk Dr Zaini Ujang melihat inilah masa untuk meningkatkan kecemerlangan melalui budaya inovasi. Mungkinkah UTM akan menjadi juara? Hal ini disebut oleh Dr Walter Doyle Staples bahawa kita mesti memikirkan kecemerlangan jika mahu berfikir seperti juara.

Kesimpulannya, kita tidaklah sewajarnya hanya berbangga dengan pengalaman yang ada malah dituntut juga menambah nilai ilmu pengetahuan. Justeru itu, pengalaman hanya panduan dan bukan jaminan kejayaan di masa hadapan.

Thursday, July 23, 2009

Pokok Pangkalnya Hati

Satu kisah yang berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW. Apabila seorang lelaki bertanya kepada Nabi, "Ya, Rasulullah, siapakah manusia terbaik?" Nabi menjawab, "Mereka adalah orang mukmin yang berhati makhmum." Orang itu bertanya lagi, "Apakah hati makhmum itu?" Nabi bersabda yang bermaksud, "Ia adalah hati yang bertakwa lagi bersih yang tidak ada dalamnya penipuan, sikap melampaui batas, tipu daya, khianat dan hasad."

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim menjelaskan Nabi bersabda, "Tidak berjalan Omar di suatu lorong melainkan syaitan memilih jalan lain (supaya tidak bertembung dengan Omar)." Kisah Omar menunjukkan perasaan gerun Syaitan terhadap kecemerlangan takwa yang wujud dalam hati Omar.

Kisah lain menunjukkan Allah mengilhamkan kepada hati itu pelbagai ilmu dan petunjuk. Antara ilham yang mungkin terhasil adalah firasat mukmin. Menurut Imam Tirmizi, nabi bersabda, "Takutlah kamu dengan firasat mukmin kerana sesungguhnya dia melihat dengan nur Allah.

Ini digambarkan, apabila Anas bin Malik terpandang seorang wanita dan terpegun dengan kecantikannya. Kemudian beliau bertemu dengan Uthman bin Affan. Lalu Uthman berkata, "Telah masuk ke majlisku seorang lelaki yang terdapat di matanya tanda-tanda zina." Anas terkejut dengan perkataan Uthman dan terus bertanya, "Adakah masih ada wahyu selepas Nabi?" Jawab Uthman, "Tidak, tetapi yang ada adalah mata hati dan firasat yang benar." Oleh yang demikian, bentuk-bentuk ilham yang dianugerahkan Allah merupakan mereka yang mempunyai hati yang bersih.

Justeru itu, kita seharusnya mengenali sifat hati supaya hati kita tergolong dalam hati yang cemerlang. Jadi, Imam Ghazali telah menggariskan empat sifat hati iaitu:-

1-Sifat buas
2-Sifat binatang
3-Sifat syaitan
4-Sifat tuhan.

Pendedahan ini membantu diri saya dan juga para pembaca mengetahui serta berfikir seketika sebelum melakukan sesuatu dengan bertanya, "apakah kelakuan ku ini mempunyai sifat hati yang mana satu?"

Apabila hati dikuasai perasaan marah, maka sudah pasti melahirkan sifat buas seumpama binatang buas. Pada masa itu, lahir sifat suka bermusuhan, bersengketa, menyerang dan memaki hamun. Ini ditunjukkan kepada kaum nabi Ibrahim selepas beliau menyampaikan risalah Allah kepada mereka. Dalam surah al-Anbiya ayat 68 Allah berfirman yang bermaksud, "Mereka (kaum nabi Ibrahim) berkata, bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu jika kamu benar-benar hendak bertindak." Pada masa itu, kaum nabi Ibrahim bersikap buas tanpa dapat dikawal.

Apabila hati manusia dikuasai nafsu syahwat pula, lahirlah sifat binatang. Ketika ini terserlah kerakusan, ketamakan, keangkuhan dan sifat mementingkan diri. Sifat-sifat ini yang menguasai Qarun sebelum ini seperti mana yang dinyatakan Allah dalam surah Al-Qasas ayat 78 yang bermaksud,"Qarun berkata, sesungguhnya akau diberikan hata kerana ilmu yang aku miliki. Apakah dia tidak mengetahui bahawa Allah telah membinasakan umat-umat sebelumnya sedangkan mereka lebih kuat dan lebih banyak menghimpun harta daripadanya." Jelas menunjukkan bahawa manusia seumpama ini berkedudukan seperti binatang yang sesat. Nafsu syahwat dalam diri mereka menutup pemikiran serta hati sehingga menjadi buta daripada kebenaran.

Bayangkan sifat-sifat syaitan menguasai hati, semua kehebatan ini disalahgunakan oleh manusia. Ketika itu, berlaku tipu daya dan putar belit sebagai landasan hidup bagi memperoleh kemuliaan dan kehebatan diri. Maka Allah berfirman dengan maksudnya, "Sesungguhnya Firaun berbuat sewenang-wenang di muka bumi. Dia menjadikan penduduknya berpecah belah dengan cara menindas sebahagian drpd mereka. Dia juga membunuh anak-anak mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk dalam golongan yang melakukan kerosakan."

Firaun memiliki kuasa, hebat dan merdeka. Semua ini adalah sifat-sifat ketuhanan yang baik. Namun begitu, sifat-sifat syaitan lebih menguasai dirinya, segala kelebihan yang dimiliki digunakan ke arah kemungkaran.

Lihat pula, sifat-sifat terpuji ini terus menerus bersinar, hati berada di atas landasan kebenaran. Ketika ini, hati boleh diumpamakan seperti cermin yang cemerlang cahaya dan sinarannya disebabkan ia tidak diselimuti dengan debu. Hati yang bersih seumpama ini mampu mengilhamkan nasihat dan petunjuk kepada manusia.

Sabda Nabi yang bermaksud,"Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang, Dia menjadikan bagi orang itu penasihat di hatinya." Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Mansur. Hal ini menunjukkan apabila hati sentiasa mengingati Allah dan pada masa yang sama ketenangan dan ketenteraman terhasil. Allah berfirman dalam surah ar-Ra'd ayat 28 yang bermaksud, "Ketahuilah dengan mengingati Allah sajalah hati akan tenang."

Kesimpulannya, apabila hati dikuasai sifat-sifat buas, binatang dan syaitan maka seperti cermin yang diselaputi wap pernafasan. Semakin kukuh individu menguasai sifat-sifat ini, semakin pudar cahaya dan sinaran di hati sehingga akhirnya menjadi gelap dan hitam.

Walahu a'llam

Tuesday, July 21, 2009

Berfikir Seperti Juara!

Cuba kita renungkan komen pengurus pasukan apabila mereka tidak berjaya. Adakah mereka menyalahkan org lain? Dalam komen ini, terdapat dua karektor iaitu pengurus yang berkredibiliti dan pengurus yang gagal. Bagi pengurus yang berkredibiliti tidak menyalahkan keadaan berbanding pengurus yang gagal sudah tentu mencipta berbagai alasan terhadap kegagalannya.

Jadi kisah Ruben Gonzalez adalah satu contoh mereka yang berfikir seperti juara. Beliau adalah pemegang pingat emas di Sukan Olimpik. Beliau pada peringkat awalnya merasakan begitu sukar utk melakukan acara olahraga. Namun setelah menonton aksi Scott Hamilton di televisyen dan beliau berjaya dalam Olimpiade musim dingin di Sarajevo 1984 maka terdetik dalam fikirannya lalu berkata, "Kalau orang sekecil ini boleh melakukannya dan menjadi pemenang, maka sudah tentu saya juga boleh lakukan."

Pada hemat saya, tidak cukup sekadar kita fikir kita boleh buat malah lebih daripada itu. Persoalannya, apa usaha yang dilakukan untuk menjadi juara? Sekali lagi Ruben Gonzalez mendapat kritikan. Apabila beliau ingin berlatih dan mempelajari apa saja tentang olahraga. Akhirnya menemui tempat bernama Lake Placid, New York dan menelefonnya. Namun jurulatih di sana kurang menyokong untuk melatih beliau. Lantas kerana semangat dan kegigihannya, Ruben juga terus ke sana untuk mendapatkan khidmat latihan. Apabila beliau berlatih bersama empat belas atlet lain, Ruben merasakan hampir putus asa. Badannya merasa sangat letih dan beliau menangis berkali-kali akibat kesakitan. Lalu semua orang memandangnya sinis dan mentertawakan seakan-akan merekan ingin mengatakan, "You are too old to learn, You guy from Latin America can not do this."

Setelah sebulan berlatih, Ruben berhasrat untuk berhenti. Tetapi rakannya, seorg atlet di kota lain menyuruhnya pergi ke depan cermin dan melihat dirinya sendiri di sana. Lalu teman itu menegur Ruben untuk terus berlatih sampai akhir dengan berkata,"Tak peduli betapa sulitnya, tak peduli bagaimana hasilnya, saya harus terus melakukannya."

Kalimat di atas sentiasa diucapkan sampai ia merasa biasa dan mulai bisa mengendalikan. Ruben berjaya melepasi latihan di musim panas manakala empat belas atlet yang sudah belajar lebih dahulu gagal satu demi satu. Berkat kerja keras, ketekunan dan kegigihan, Ruben Gonzalez pada tahun 1988 melangkah gagah menerima medal emas dalam Olimpiade musim dingin di Calgary. Seterusnya beliau menjadi pemenang dalam tiga Olimpiade berikutnya iaitu di Albertiville 1992, Salt Lake City 2002 dan Torino Winter Olimpics 2006.

Kisah di atas adalah satu daripada seribu kisah bagaimana berfikir seperti juara. Kisah Ruben Gonzalez ditulis oleh Dr.Renald Kasali (2007)dalam bukunya bertajuk Re-code Your Change DNA. Justeru, tuan/puan yang membaca kisah di atas dapat memikirkan iktibarnya mengikut pandangan anda. Pada hemat saya, pelumba basikal bernama Lance Amstrong juga wajar dijadikan iktibar kerana beliau menjadi juara lumba basikal lebih 3 kali berturut-turut dalam masa yang sama beliau mengidap kancer. Bagaimana pula dengan anda? Sudah tentu anda yang sihat tubuh badan boleh lakukan lebih daripada itu!

Mari kita fikirkan kata-kata Dr.Walter Doyle Staples (1998), "Jika anda mahu mendapat keputusan sebagaimana yang para juara dapat, pertama sekali anda mesti berfikir seperti juara!" Justeru itu, beliau dalam bukunya bertajuk "Think Like Winner"telah menetapkan sepuluh kepercayaan bagaimana seorang juara berfikir seperti berikut:-

1-Juara bukan dilahirkan tetapi dia dicipta.
2-Kekuatan utama dalam diri anda ialah cara anda berfikir.
3-Anda diberi kuasa untuk mencipta realiti diri sendiri.
4-Ada nikmat disebalik setiap kesusahan.
5-Setiap satu kepercayaan anda ialah suatu pilihan.
6-Anda tidak tewas sehinggalah anda menerima ketewasan itu sebagai suatu kenyataan dan berhenti untuk mencuba.
7-Anda telah sedia memiliki kebolehan untuk berjaya dalam sekurang-kurangnya suatu bidang kehidupan.
8-Sekatan sebenar tentang apa yang anda boleh laksanakan dalam hidup ialah apa yang anda kenakan pada diri sendiri.
9-Tiada kejayaan terbesar tanpa tanggungjawab yang besar.
10-Anda memerlukan sokongan dan kerjasama orang lain untuk mencapai matlamat yang anda idam-idamkan.

Selain itu, input sesuatu kejayaan juga bergantung kepada usaha yang dilakukan. Pada hemat saya, "Apa yang ditanam dan dibajai itu yang dituai!" seperti anda menanam pokok durian mana mungkin hasilnya pokok rambutan.

Wednesday, July 15, 2009

Peristiwa Engkar Perintah

Peristiwa si Tanggang menggambarkan akibat anak yang derhaka kepada ibunya. Anak Ku Sazali pula mengisahkan seorang bapa mengabaikan tanggungjawab pembentukan rohani dan sahsiah murni seorang anak. Bagaimana pula akibat keengganan mengikut perintah ketua?

Peperangan bermula apabila orang kafir hendak melakukan balas dendam terhadap kekalahan mereka di Perang Badar, terdiri tujuh puluh orang pemimpin Muslim terkemuka terbunuh dan tujuh puluh orang lainnya ditangkap, sementara hanya empat belas orang Muslim yang mati syahid termasuk Saidina Hamzah RA.

Peristiwa ini menunjukkan apabila pengikut engkar kepada arahan. Ini berlaku apabila Muhammad SAW perintahkan pasukan pemanah tidak meninggalkan posisi mereka dalam keadaan apapun. Kebanyakan para pemanah merasakan bahawa Allah SWT telah memberikan kemenangan kepada angkatan perang Muslim. Mereka tidak tahan untuk mengumpulkan barang rampasan musuh yang berharga tersebut. Abdullah bin Jubair RA, pemimpin pasukan pemanah mengingatkan mereka tentang perintah dari Nabi Muhammad SAW.

Tetapi pasukan pemanah tidak mengendahkannya lalu Abdullah bin Jubair RA ditinggalkan di sana dengan hanya sembilan orang pemanah. Musuh mengambil kesempatan ini dan sekali lagi menyerang para pemanah Muslim. Kesembilan orang pemanah ini mati syahid. Tujuh orang sahabat Nabi Muhammad SAW mati syahid satu persatu termasuk Bukhari dan Anas bin Nadar RA.


Suasana Persekitaran Makam Saidina Hamzah RA



Berada di puncak Jabar Uhud peristiwa di atas berlaku


Jadi faktor yang menyebabkan berubah kemenangan menjadi kekalahan kaum Muslimin adalah ketidakpatuhan perintah Nabi Muhammad SAW. Oleh sebab itu, kita sebagai Muslim dituntut wajib menurut perintah pemerintah. Arahan untuk mengikut perintah bukan bertujuan menyeksa tetapi demi kesejahteraan dan kelancaran hubungan antara pemerintah dengan rakyat.Jika dilaksanakan dengan baik, tuntutan itu akan menguatkan negara. Ini dijelaskan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Kamu wajib patuh dan setia sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, disukai atau dibenci dan biarpun merugikan kepentinganmu". (Riwayat Muslim)

Bagaimanapun, dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat , tidak harus lagi didengar dan dipatuhi." (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Namun begitu, amalan "saya menurut perintah" secara buta tuli kurang menjadikan pekerja kreatif dalam pekerjaan. Pada hemat saya, seorang Ketua juga wajar memberikan ruang dan peluang untuk pekerja berfikir dan menyatakan pandangan terhadap sesuatu arahan yang kurang munasabah? Ekoran itu, pekerja akan melaksanakan kerja dengan kreativiti masing-masing. Tegasnya sebagai pekerja atau apa jua pekerjaan yang dilakukan ikutilah saranan Bob Nelson (2001) iaitu "Please Don't Just Do What I Tell You, Do What Needs To Be Done".

Sunday, July 12, 2009

Bermulalah Perubahan Ikut Kemampuan

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'd:11)

Setiap hari kita berhadapan dengan perubahan. Berubah dari negatif kepada perubahan yang bersifat positif. Apa yang pasti, perubahan merupakan satu keperluan kerana perubahan adalah suatu tuntutan hidup. Jadi setiap orang Islam perlu ada semangat dan cita-cita untuk berubah.

Persoalannya, apakah hijrah yang mendapat keredhaan Allah? Marzulina Omar dalam artikelnya bertajuk "Hijrah:Pengorbanan untuk Perubahan." menjelaskan bahawa terdapat empat bentuk hijrah yang diredhai Allah:-

1-Hijrah dalam persoalan aqidah.
Sebagai contoh mengubah aqidah syrikik kepada tauhid, mengubah sikap mendewa-dewakan manusia kepada mengagungkan Allah SWT.

2-Hijrah dalam persoalan ekonomi.
Mengubah punca rezeki yang haram kepada punca rezei yang halal bagi menyara diri dan keluarga.

3-Hijrah dalam persoalan sosial.
Mengubah perpecahan kepada keamanan dan kerjasama, penindasan kepada pembelaan dan seumpamanya.

4-Hijrah dalam persoalan akhlak.
Umpamanya berubah daripada perbuatan buruk dan keji kepada akhlak yang mulia dan terpuji. Jadi hijrah akhlak adalah berkaitan dengan hijrah hati dan minda yang perlu dibersihkan, dididik, digilap dan dijaga sentiasa kerana hati adalah rohaniah bagi seseorang Muslim/Muslimah.

Bagaimana pula hubungan hijrah dengan iman? Hakikatnya, tiada ujian tiadalah iman. Maka iman akan diuji sama ada dengan kedudukan, harta dan kekayaan, keseronokan, kesenangan dan kemewahan dan juga akan teruji dengan hawa nafsu dan keindahan dunia yang bersifat sementara.

Oleh itu, hijrah akan menguji sejauh mana tahap pergorbanan seseorang individu tersebut terhadap agamanya kerana hijrah bukan dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya tetapi memerlukan sifat sabar, sanggup berjihad dan menerima apa jua rintangan dan cubaan yang melanda serta sanggup berkorban jiwa, harta mahupun keluarga. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 218 bermaksud, "Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) mereka inilah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani."

Namun begitu, perubahan itu jangalah sekadar melepaskan batuk di tangga. Bila merasa bosan kita kembali ke asal semula. Jadi hijrah memerlukan kesungguhan dan niat yang betul sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesiapa yang berhijrah semata-mata kerana taat kepada Allah dan RasulNya, maka hijrah itu adalah kerana Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan duniawi yang dikejarnya atau kerana perempuan yang akan dinikahinya, maka hijrahnya terhenti kepada apa yang ia niatkan itu." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Walau apa pun hijrah yang anda ingin buat, pada pendapat saya bermulalah dengan sedikit-sedikit kerana "to start not to be great but to be great have to start". Ini sesuai dengan saranan Dr.Rusly Abdullah menyatakan bahawa biar kecil asalkan berhasil berbanding besar bubar.Antara intipati buku Jutawan Senyap adalah bermulalah dengan apa yang ada..berniagalah tanpa perlu berhutang. Berjiwa besarlah bukan berhati besar. Dekatkanlah diri dengan Tuhan dan fahamilah jiwa sendiri dan ambillah iktibar daripada mereka yang telah berjaya. Justeru dalam agama Islam juga menjadi amalan sunat apabila kita menuruti ciri-ciri hijrah oleh Rasulullah SAW.

Walahu a'allam

Saturday, July 11, 2009

Berubahlah Seiring Dgn Perkembangan Semasa

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melonggarkan Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing(FIC) dan mewujudkan model ekonomi baru yang akan dilaksanakan oleh Malaysia adalah antara perubahan aktiviti yang difikirkan untuk merancakkan kegiatan ekonomi khusus untuk rakyat Malaysia amnya kepada masyarakat seluruh dunia.

Persoalannya mengapakah perubahan di atas perlu? Prof Datuk Dr Zaini Ujang dalam penulisannya bertajuk Ekonomi Berteras Kreativiti, Inovasi berpendapat bahawa pertama kerana model ekonomi terdahulu tidak lagi mampu menyediakan momentum baru kepada kemajuan ekonomi negara sekarang. Kedua kerana strategi dan pendekatan baru adalah seiring untuk menangani iklim ekonomi semasa dan ketiga adalah kerana model baru ekonomi negara maju mengalami perubahan daripada industri konvensional kepada industri lestari (BH, 10 Julai 2009:hlm 37).

Walau apa pun alasan, pada hemat saya, perubahan amat wajar dilakukan kerana how to get extraordinary result with ordinary action! Jadi banyak bukti yang telah ditunjukkan terhadap mereka yang berubah untuk mencapai hasil yang luar biasa. Perubahan dalam dunia perniagaan seperti Unilever, Indofood, Lion Air dan Air Asia, masing-masing membawa perubahan dan muncul sebagai pemain-pemain baru yang mengancam kedudukan pemain-pemain lama. Dr. Rhenald Kasali dalam bukunya bertajuk Change! menggambarkan wajah pemain-pemain lama seperti bola yang separuh kempis akibat asakan daripada pemain-pemain baru.

Fikirkan sejenak organisasi seperti Johor Corporation suatu ketika dulu mengalami kedudukan kewangan yang tenat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim telah melakukan banyak perubahan bermula perubahan minda kepada anggota pekerjanya sehinggalah penstrukturan semula syarikat dalam kumpulan Johor Corporation dan seterusnya meningkatkan budaya kerja ke arah pencapaian syarikat. Kini Johor Corporation telah keluar daripada zon tenat malah boleh berbangga dengan banyak pencapaian yang diperoleh seperti kejayaan memiliki KFC dan Pizza Hut (Malaysia) malah mereka optimis untuk bergerak seiring dengan syarikat gergasi di dunia.

Lihat usaha pemimpin perubahan, nasib negara dan bangsa menjadi semakin baik. Ketika Lee Kuan Yew, Singapuraa yang hanya mempunyai keluasan sebesar padang bola berubah menjadi wilayah perdagangan dan pelaburan yang sibuk. Di Finland, pemerintah ketika tahun 80an telah mengubah aktiviti utama negara tersebut kepada memperbanyakkan Research and Development malah peruntukan besar iaitu melebih satu pertiga belanjawan kerajaan ke atas aktviti R&D. Akhirnya, ekonomi Finland berkembang maju malah menjadikan negara tersebut disegani di kalangan negara jiran mereka Sweden.

Persoalannya, adakah pembaharuan selalu membawa perubahan? Walaupun sesuatu perubahan itu dinantikan dan diharapkan membawa kehidupan baru yang lebih baik, ternyata tidak semua perubahan berjaya membawa hasil yang diharapkan. Namun begitu, kita juga perlu fikirkan halangan terhadap perubahan. Oleh itu, Dr. Rhenald Kasali (2008) telah menggariskan beberapa batasan menjadikan sesuatu perubahan itu tidak berjaya sebagaimana berikut:-

1-Pemimpin yang tidak kuat
Tanpa kekuatan kepimpinan, perubahan tidak mempunyai tenaga bagi melaksanakan perubahan itu. Pemimpin yang kuat tidak bererti kepimpinannya kuku besi. Pemimpin yang kuat bermaksud pemimpin yang memiliki kewibawaan, bersih, berilmu, dipercayai dan jelas arah tujuannya.

2-Salah melihat reformasi
Reformasi sering dianggap sebagai menyusun semula organisasi iaitu mengubah bentuk organisasi. Tujuan perubahan sebenar adalah mengubah manusia, bukan mengubah organisasi. Apabila manusia tidak berubah, organisasi tidak mungkin berubah.

3-Sabotaj di tengah jalan
Perubahan sentiasa menghadapi halangan khususnya dari mereka yang khuatir kehilangan kenikmatan yang mereka dapat selama ini. Orang-orang seperti ini mencuba melakukan pelbagai perkara dalam usaha mereka hendak mensabotaj perubahan yang hendak dilaksanakan.

4-Komunikasi yang lemah.
Perubahan menuntut adanya komunikasi yang baik dan lancar dari pemimpin ke pekerja dan begitu juga sebaliknya. Maklumat, baik yang formal mahupun tidak formal perlu disampaikan secara berkesan kepada semua orang. Oleh sebab itu, sistem penyampaian maklumat yang baik perlu diwujudkan bagi memastikan semua orang mendapat maklumat dengan tepat. Apabila maklumat tidak sampai ke sasarannya, orang menjadi keliru dan tidak faham apa yang sedang berlaku.

5-Masyarkat yang tidak menyokong.
Perubahan memerlukan sokongan daripada masyarakat. Apabila pemimpin perubahan tidak menerima sokongan yang padu, kemungkinan besar perubahan tidak berjaya dilakukan. Sokongan masyarakat ini tidak sama dengan komen ataupun ucapan daripda penganalisis. Jadi sokongan yang diperlukan adalah yang melibatkan tindakan dan kesanggupan orang ramai bekerja ke arah mencapai perubahan itu.

6-Proses perubahan tidak berjalan lancar.
Perubahan perlu menjadi agenda semua komponen organisasi. Suatu perubahan yang baik mesti dirasakan oleh semua orang sebagai hak milik mereka. Jadi proses yang hanya dimiliki oleh pemimpin sahaja, tidak mempunyai tenaga hendak bergerak.

Maka saya berpendapat bahawa batasan di atas adalah wajar dipertimbangkan oleh sesiapa sahaja yang merancang untuk melakukan perubahan dalam organisasi sama ada besar mahupun kecil. Ini seiring dengan pendapat George Bernard Shaw, "Kemajuan mustahil dicapai tanpa perubahan dan mereka yang enggan mengubah fikiran mereka tidak boleh mengubah sesuatu apa pun."

Wednesday, July 8, 2009

Lagi Kisah Keberkatan

Saya ingin berkongsi pengalaman sewaktu mengendali dan memantau urusniaga khidmat pelanggan, saya didatangi oleh seorang pegawai drpd salah sebuah bank yang menguruskan perbankkan Islam. Beliau bertanya kepada saya, "Adakah anda mengetahui seseorang itu diberkati oleh Allah akan harta serta sumber pencariannya?" Saya berfikir seketika.

Lalu saya bertanya,"Apakah tuan boleh buktikan?" Beliau menjelaskan bahawa sepanjang 15 tahun mengurus kemudahan pinjaman kepada pelanggan dan mendapati mereka yang mengeluarkan zakat perniagaan mahupun zakat simpanan menunjukkan mereka telah diberkati oleh Allah akan harta dan simpanan itu berbanding yang engkar. Tahun 1994 adalah tahun gemilang kerana ekonomi M'sia meletup, ketika itu pasaran saham di KLSE (kini dikenali Bursa Malaysia) melonjak sehingga 1000 mata ke atas. Ekoran itu, ramai pelabur sehinggalah penjawat awam menikmati keuntungan berlipat kali ganda dan ini memaksa mereka membuat pinjaman peribadi. Ketika ini, semua bank memperoleh begitu banyak sekali pelanggan untuk tujuan itu sehingga mereka tidak perlu membuat sebarang aktiviti pemasaran bagi mencapai target.

Akibat keghairahan memperoleh keuntungan maka pinjaman bertambah dr hanya memiliki sebuah kereta bertambah kepada dua. Bermula pinjaman hanya untuk memiliki sebuah rumah dan kereta, kini bertambah kepada pinjaman peribadi. Hutang kira-kira hampir habis, tambah pinjaman untuk renovasi rumah dan bermacam-macam lagi bentuk pinjaman. Begitulah situasi mendorong mereka untuk menambah hutang yang kurang perancangan dan bukan kerana keperluan.

Namun, ku sangka panas hingga ke petang tapi hujan ditengah hari. Pada tahun 1997, perampok matawang iaitu George Soros telah mengubah situasi sesebuah negara. Pada asalnya hutang tinggal sedikit, menyebabkan matawang negara Indonesia jatuh teruk. Mereka mengambil keputusan membuat pinjaman IMF. Malaysia tidak terkecuali mengalami kejatuhan ekonomi akibat merundumnya matawang Ringgit di pasaran. Diikuti kadar BLR meningkat menyebabkan kadar pinjaman turut meningkat.

Jadi, tahun 1997 ini juga menunjukkan mereka diberkati oleh Allah atau tidak? Bagaimana? Mereka yang insaf dan sedar akan janji Tuhan serta faham akan nilai keberkatan itu, terselamat daripada kemurkaan Allah. Pegawai bank tersebut menambah bahawa mereka yang membuat pinjaman pada 1994 dan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai muslim seperti membayar zakat serta bersedekah, kini mereka diisytihar muflis dan bankrap. Berbanding mereka yang faham nilai keberkatan lalu mengamalkan segala suruhan Tuhan.

Jadi saya mengingatkan diri saya dan juga kepada pembaca blog ini agar tidak melakukan perkara-perkara mungkar yang bertentangan dengan Islam, lambat laun perbuatannya itu diketahui juga. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW berkata yang bermaksud, "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya iaitu Al-Quran dan sunnah."


Pendeknya harta itu adalah nikmat Allah yang diberikan sebagai amanah dan perlu dibelanjakan dengan cara-cara yang ditetapkan oleh Allah.

Wallahu a'alam

Monday, July 6, 2009

Bagaimana Keberkatan Dalam Perniagaan?

Peristiwa mengemparkan Amerika Syarikat(AS) apabila Bernard Madoff didapati bersalah oleh mahkamah kerana melakukan penipuan pelaburan yang dianggap terbesar dalam sejarah AS. Tuduhan-tuduhan itu ialah penipuan sekuriti, penipuan nasihat pelaburan, penipuan pos, penipuan talian, pelaburan haram, kenyataan palsu, sumpah bohong, melakukan pemfailan palsu dengan Suruhanjaya Sekuriti dan mencuri dari pelan faedah pekerja.

Mahkamah menjelaskan bahawa perbuatan jenayah Madoff adalah satu kejahatan luar biasa. Akibat perbuatan beliau mangsa-mangsa pelaburan itu mengalami kerugian lebih AS$13 billion. (BM, 5 Julai 2009:hlm 9).

"Kami hidup bagaikan dalam neraka. Hal seperti ini satu mimpi ngeri yang kami tidak boleh bangun daripadanya. Dia mencuri drpd orang kaya, dia mencuri drpd orang miskin dan dia manusia yang tidak berguna. Dia melakukan penipuan itu bagi membolehkan, dia dan isterinya hidup mewah." kata Carla Hirshborn dan Tom Fitzmaurice.

Namun kelicikan Madoff memperdayakan orang ramai ternyata tidak mampu bertahan lama, akhirnya pada 10 Disember 2008, beliau mengaku kepada anak-anaknya, Mark dan Andrew bahawa bahagian pengurusan aset firmanya merupakan satu penipuan besar.

Akibat perniagaan Madoff tidak berlandaskan ajaran Islam maka Tuhan bukan sahaja murka malah ditunjukkan balasan di dunia akibat kerakusan itu. Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 276 yang bermaksud,"Allah SWT mengurangkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba, dan Dia pula mengembangkan(berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya."

Ini menunjukkan bahawa Allah SWT akan mengurangkan keberkatan kepada riba dan sebaliknya menambahkan keberkatan pada sedekah, iaitu sebarang pinjaman yang diberikan kepada orang miskin tanpa diambil bunga/faedah. Malah kita sebagai Muslim/Muslimah digalakkan untuk menyedekahkah harta yang dipinjamkan iaitu sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya. Selain itu, Allah juga memberkati segala bentuk jual beli dan perniagaan yang halal. Jadi bagaimanakah untuk memperolehi keberkatan dalam pernigaan?

Hj Sulaiman Ibrahim (1999) dalam artikelnya bertajuk Antara Bisnes dan Keberkatan telah menggariskan panduan untuk mendapat keberkatan dalam perniagaan antaranya:-

1-Membetulkan Niat.
Berniaga kerana Allah SWT. Islam menyatakan bahawa sesuatu amalan itu tidak dikira sah jika tidak disertakan dengan niat. Oleh itu, setiap perniagaan harus dimulakan dengan niat iaitu kita berniat untuk memulakan perniagaan kerana Allah SWT dan sebagai punca mencari rezeki yang halal bagi menyempurnakan perhambaan diri kepada Allah.

2.Bersifat Jujur.
Peniaga yang jujur akan bersama dengan para malaikat. Oleh sebab itu, kejujuran dalam perniagaan adalah merupakan asas penting kepada kemakmuran ekonomi sesebuah negara. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Barangsiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada golongan kita."

3.Menjauhkan Diri Drpd Monopoli
Rasulullah SAW melarang keras sebarang bentuk monopoli dalam perniagaan termasuklah kegiatan menyorok barang keperluan asas di waktu orang ramai amat memerlukan barangan berkenaan dengan tujuan untuk menaikkan harga. Kebanyakan perniagaan kapitalis Barat mengumpul modal yang besar dan kemudian digunakan untuk membeli syarikat-syarikat kecil. Jadi syarikat tersebut berupaya menguasai pasaran dan akhirnya menaikkan harga barangan.

4.Tidak Lupa dan Lalai Drpd Mengingati Allah
Allah SWT telah berfirman dengan maksudnya; "Lelaki-lelaki yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli drpd menyebut serta mengingati Allah SWT dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."

Dalam Al-Quran jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memberi puji-pujian kpd kaum peniaga yang bersifat mulia iaitu tidak lalai dan tidak lupa akan perintah Allah SWT. Kemuncak pujian Allah SWT kpd hamba Nya ialah apabila Allah SWT mengabdikan pujian itu dalam Al-Quran.

Tambahan lagi, terdapat 7 perkara yang telah dikemukakan oleh al-Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin bagi memperoleh keberkatan dalam perniagaan seperti berikut:-

1-Membetulkan niat.
2-Melaksanakan tugas-tugas fardu kifayah.
3-Menumpukan kepada perniagaan akhirat dengan makna perniagaan dunianya tidak menghalangnya drpd menjalankan perniagaan akhirat.
4-Melazimkan diri utnuk berfikir kepada Allah SWT.
5-Bersifat qanaah dan tidak terlalu prihatin terhadap dunia.
6-Menjauhkan syubahat.
7-Muraqabah dan muhsabah diri.

Wallahu a'lam

Saturday, July 4, 2009

Tuntut Ilmu Juga Zikir

Tanggal 3 Julai 2009, saya solat Juma'at di Masjid UTM Skudai dan khutbahnya menyentuh siswa & siswi supaya mengajak insan ini bersungguh-sungguh dalam membongkar ilmu pengetahuan serta bermatlamatkan bukan hanya mendapat keputusan cemerlang malah dapat dipergunakan untuk semua mahkluk di dunia ini.

Persoalannya, mengapa menuntut ilmu? Dr.Danial Zainal Abidin (2004)dalam bukunya bertajuk 7 formula individu cemerlang mendapati bahawa dengan ilmu, karat jahiliah yang ada dalam diri individu dapat dikikis dan hasilnya adalah insan yang berkualiti. Hal ini dinyatakan oleh nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud,"Manusia itu ibarat lombong emas dan perak. Mereka yang baik pada masa jahiliah akan menjadi baik dalam Islam apabila mereka mempunyai kefahaman (ilmu) yang mantap." Tambahan lagi, ilmu memudahkan perjalanan ke syurga. Ini jelas dalam riwayat Imam Muslim nabi berkata yang bermaksud,"Sesiapa yang mengikut suatu jalan untuk mendapatkan ilmu, Allah mempermudah baginya jalan ke syurga."

Sewaktu Berkunjung ke UUM:Pendaftaran Pelajar Baru

Dalam kitab Sahib Muslim, diriwayatkan sebuah hadis bermaksud, pada suatu hari nabi mendatangi majlis para sahabat dan baginda bertanya, "Apakah tujuan kamu semua berhimpun di sini?" Sahabat-sahabat menjawab, "Kami berhimpun untuk berzikir kepada Allah serta memujinya kerana telah mengurniakan petunjuk kepada kami sehingga kami memeluk Islam." Baginda seterusnya bersabda, "Benarkah itu tujuan kamu?" Sesungguhnya JIbrail telah datang dan memberitahu kepada ku bahawa Allah menyebut-yebut kebaikan kamu kepada para malaikat.

Apabila menyebut kalimat zikir, terbayang pada minda kumpulan-kumpulan yang berhimpun untuk bertahlil, bertahmid, bertasbih dan berselawat. Sebenarnya, maksud zikir adalah lebih luas daripada itu. Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkar menjelaskan bahawa sebenarnya zikir tidak hanya dikaitkan dengan majlis tahlil, tasbih, tahmid, takbir dan seumpamanya. Bahkan setiap mereka yang melaksanakan amalan taat kepada Alllah dianggap sebagai golongan yang berzikir. Pendapat ini diutarakan oleh Imam Said bin Jubair serta ramai ulama lain. Imam Atha berpendapat, "majlis zikir adalah majlis yang berbicara tentang halal dan haram, hukum hakam jual beli, solat, puasa, nikah, talak, haji dan seumpamanya."
Justeru, berpandukan pendapat-pendapat ini, majlis ilmu yang menambah kefahaman serta keyakinan individu adalah majlis zikrullah.

Bersama pelajar Master & PhD FPPSM UTM Skudai

Thursday, July 2, 2009

Kaitan Solat Dgn Tenaga Alam

Kali ini saya ingin mengajak tuan/puan berfikir sejenak akan penemuan yang diperolehi. Seorang drpd rakan saya telah mengirimkan hubungan Solat dengan peralihan tenaga alam. Jika kita perhatikan setiap peralihan waktu solat sebenarnya
menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.

Lihat pada waktu Subuh, ketika alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Oleh itu, mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya atau pun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Justeru itu, rahsianya supaya kita diperintahkan solat diawal waktu.. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkait dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai kaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Lihatlah mereka yang tengah sakit perut, ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Apabila menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Hal ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Malah mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dahulu) kerana banyak interferens berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan
seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.

Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan
sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Justeru itu, amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya!

Wallahu a'lam

Wednesday, July 1, 2009

Kebendaan Perlu Keredhaan Allah

Mari kita fikirkan kenyataan ini, "kita sering bertanya apa yang kita boleh dapat sekiranya kita bersetuju untuk berbuat sepertimana yang diminta oleh pihak yang lain. Tak kira lah samada yang meminta itu ibubapa kita sendiri ke, suami, isteri, anak-anak, kawan-kawan atau siapa saja. Kita terlalu berkira tentang faedah yang kita akan dapat daripada bantuan yang kita berikan itu."

Pada hemat saya, adakah dorongan itu wajar pada setiap masa? atau adakah wajar setiap tindakan itu kita minta habuan? atau apakah pandangan Islam tentang ganjaran? Jadi banyak sekali persoalan yang wajar kita kupas secara mendalam. Namun dalam blog ini saya hanya ingin berkongsi pendapat kepada pembaca sekalian berdasarkan pengalaman dan pembacaan.

Jadi, pernyataan di atas ada kaitan dengan model dorongan tradisional oleh Frederick Taylor yg berpendapat pekerja hanya boleh didorong dengan ganjaran kewangan dan tidak akan menyumbangkan tenaga lebih drpd itu. Hasilnya pendekatan ini telah terbukti berkesan. Apabila kecekapan meningkat, kuranglah bilangan pekerja yang diperlukan untuk sesuatu tugas tertentu.

Namun begitu, Islam juga menggalakkan umatnya berlumba-lumba untuk mendapatkan ganjaran seperti diberikan pahala mahu pun dosa (bagi yang engkar) kpd mereka. Allah menjelaskan dalam surah al-Ahzab ayat 72 bermaksud;

"Sesungguhnya kami bentangkan tanggungjawab amanah kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang untuk memikulnya, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya dan pada masa itu manusia dengan persediaan yang ada padanya sanggup memikulnya. Ingatlah! Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."

Kenapa ayat di atas diturunkan? Hal ini menjelaskan bahawa tabiat manusia suka melakukan kerosakan, kekejian dan kebinasaan pada alam ciptaan Allah ini. Walhal Allah menjadikan manusia untuk beribadat kepadanya. Oleh kerana itu manusia perlu mematuhi hukum dan ajaran Allah dan sentiasa takut dan mengingatinya setiap masa. Ini jelas menunjukkan bahawa Allah menggalakan mereka berbuat baik dengan memberi ganjaran pahala begitu juga sebaliknya.

Lihat jutawan menyumbang kepada badan-badan kebajikan seperti Yayasan Al-Bukhari. Pemiliknya Syed Mokhtar setiap tahun menyumbang berjuta ringgit kepada pengubahsuai Masjid Negara. Berapakah pendapatan yang diperoleh daripada sumbangan itu? Sudah tentu tiada! Manakala Yayasan Al-Bukhari memberikan sumbangan kepada mereka yang tidak berkemampuan dalam sektor pendidikan. Berapa pula yayasan terima? Sudah tentu tiada!

Justeru itu, harta kekayaan adalah pada hakikatnya milik Allah dan ia merupakan amanahnya kepada mereka yang mendapatkannya. Hal ini perlu digunakan bagi tujuan beribadat kepada Allah. Sesungguhnya kekayaan sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun harta kebendaan bukan milik manusia yang mutlak dan dapat dilakukan mengikut kehendak hatinya. Hal ini dijelaskan Allah dalam surah al-Run ayat 18 bermaksud;

"Maka bagi mengatakan kesyukuran berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskn serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Wallahu a'lam